Pagani Utopia - supercar 852 hp dengan transmisi manual 7 kelajuan!

oleh Mohamad Hanif|
Sudah tidak banyak pengeluar yang mahu menawarkan kotak gear manual sebagai ciri standard untuk kereta-kereta produksi mereka.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Untuk para peminat tegar transmisi manual (dan tiga pedal), Pagani membawakan kepada anda - Utopia.

Sebelum membangunkan model Utopia, Pagani telah menghubungi kebanyakan pemilik model terdahulu, dan mereka meminta tiga perkara: kesederhanaan, ringan, dan keseronokan pemanduan.
 

pagani


Hasilnya, sebuah supercar dengan nadi V12 6.0 liter turbo berkembar bersudut 60 darjah yang diperoleh daripada Mercedes-AMG, dengan kuasa setinggi 852 hp @ 6,000 rpm dan daya kilas 1,100 Nm @ 2,800-5,900 rpm.

Menariknya, enjin ini telah direka supaya mampu untuk memenuhi piawaian emisi standard California.

Pembeli boleh memilih untuk mendapatkan transmisi AMT tujuh nisbah kelajuan yang menawarkan penukaran gear terpantas, atau pilihan transmisi manual sebenar dengan tujuh nisbah kelajuan (dan sudah pasti klac pedal).

Gandar belakang pula dilengkapi dengan differential elektro-mekanikal.
 

pagani


Binaan casis monocoque Utopia ini menggunakan bahan yang digelar Carbo-Titanium HP62 G2 dan Carbo-Triax HP62, sementara sub-rangka depan dan belakang pula menggunakan keluli Chromoly.

Panel badan luaran Utopia yang minimalis ini pula menggunakan bahan baharu gentian karbon A-class yang lebih tegar 38 peratus, sementara tip ekzos titanium dengan salutan seramik mempunyai berat sekitar 6 kg sahaja.

Penggunaan bahan ringan ini membolehkan Utopia mengekalkan berat sekitar 1,280 kg.
 

pagani


Sistem gantungan terdiri daripada tetapan double wishbone aluminium tempa yang dibantu dengan penyerap hentak kawalan elektronik, manakala sistem brek pula menggunakan angkup enam omboh (empat omboh di belakang) dan rotor brek seramik karbon Brembo.

Rekaan rim bersaiz 21 inci (22 inci di belakang) itu mempunyai liang udara berbentuk turbin yang diperbuat daripada gentian karbon yang mampu untuk menyalurkan udara panas dari sistem brek.

Tayar Pirelli yang digunakan itu mempunyai bayangan Utopia pada bahagian dinding sisi.
 

pagani


Untuk ruang kabin pula, Pagani menggandingkan elemen moden dengan menampilkan skrin digital, sementara di bahagian tengah pula tiada sebarang skrin infotainmen dipasang, sebaliknya digantikan dengan gugusan meter fungsi dan kawalan HVAC.

Difahamkan, sebanyak 99 unit sahaja model Pagani Utopia yang akan diproduksikan. Tiada sebarang harga jualan didedahkan buat masa ini.