Dalam satu ceramah di Persatuan Aeronautik Diraja (RAS), Marchand dan Blelly dilaporkan mendakwa, pencarian baharu itu boleh dilakukan dalam tempoh 10 hari sahaja.
"Kami telah membuat kajian kami, mencadangkan kawasan itu kecil dan (pencarian) akan mengambil masa 10 hari dengan mengambil kira keupayaan baharu.
"Ia boleh menjadi pencarian yang cepat sehingga bangkai pesawat MH370 ditemui. Walaupun tiada siapa yang tahu (apa berlaku), ini adalah trajektori yang munasabah," kata Marchand.
Mereka juga memberitahu RAS, kawasan pencarian baharu itu berdasarkan kajian teori pesawat malang berkenaan sengaja dirampas dan ditenggelamkan di lautan dalam.
Marchand dilapor menyifatkan ia sebagai perjalanan sehala yang mengerikan, yang dipercayainya mungkin dilakukan oleh juruterbang berpengalaman.
"Kami dapati melalui kajian yang kami lakukan, rampasan itu mungkin dilakukan oleh juruterbang berpengalaman," katanya.
Kedua-dua mereka juga mengetengahkan teori bahawa kabin MH370 mengalami tekanan.
"Ia adalah kawalan teliti untuk menghasilkan serpihan yang minimum. Ia sengaja dilakukan untuk tidak terperangkap atau ditemui. Sudah tentu, pesawat itu tidak kelihatan, kecuali oleh radar tentera.
"Pelaku tahu operasi mencari dan menyelamat akan dilakukan di laluan asal penerbangan," dakwanya.
Pesawat milik MAS jenis Boeing 777-200ER dengan nombor penerbangan MH370 itu membawa 239 penumpang dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, apabila ia terputus hubungan dengan menara kawalan, kurang sejam selepas berlepas.
Selepas usaha mencari tidak berjaya, kerajaan Malaysia membatalkan operasi pada 1 Januari 2015 dan mengisytiharkan semua 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu berkemungkinan terkorban, namun punca kehilangan pesawat belum dapat dipastikan.