“Bagaimanapun, isu kapasiti perlu diberi perhatian serius. Pihak pengendali perlu menambah kekerapan jadual tren dan bersedia menerima peningkatan jumlah penumpang akibat diskaun yang ditawarkan.
“Penambahan pengguna ini mesti didahului dengan peningkatan jadual perjalanan serta penambahan gerabak, khususnya pada waktu puncak pagi dan petang,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pemberian diskaun 30 peratus bagi pembelian tiket ETS untuk semua sektor serta tren Ekspres Rakyat Timuran (ERT) laluan Johor Bharu (JB) Sentral-Tumpat-JB Sentral sebagai langkah membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup susulan kenaikan harga bahan api akibat krisis Asia Barat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama KTMB bagi menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan rel sebagai mod pengangkutan utama yang lebih menjimatkan dan efisien.
Menurut Rosli, negara perlu mencontohi model operasi tren di Eropah, terutama bagi perkhidmatan bukan ekspres seperti tren komuter dan tren tempatan yang tidak memerlukan tempahan tempat duduk.
Katanya, pendekatan tersebut membolehkan tiket dijual pada harga lebih rendah, dengan penumpang mempunyai pilihan sama ada untuk duduk atau berdiri berdasarkan kapasiti tren.
“Bererti penumpang mengambil risiko, sekiranya ada tempat duduk mereka boleh duduk, sekiranya penuh, mereka terpaksa berdiri.
“Tiket tanpa tempahan tempat duduk juga lebih murah. Tiket sebegini amat popular di banyak negara di Eropah,” ujarnya.
Beliau berkata, dengan kelajuan tren sedia ada, kebanyakan penumpang tiada masalah berdiri untuk tempoh lama, lebih-lebih lagi jika ditawarkan dengan harga tiket lebih murah.
“Bagi laluan antara bandar seperti Kuala Lumpur ke Seremban atau Kuala Lumpur ke Tanjung Malim, kaedah sistem tanpa tempat duduk ini sesuai dilaksanakan kerana tempoh perjalanan yang singkat.
“Dengan kelajuan (tren) sekarang, ramai penumpang tiada halangan untuk berdiri selama hampir satu jam dengan harga tiket murah.
“Ini amat memadai untuk menarik lebih ramai penumpang,” kata beliau.