Pam RON95 sesak di sempadan, ada kereta buat pembelian berulang!

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Pam diesel di beberapa stesen minyak sekitar kawasan sempadan, di Rantau Panjang, didapati lengang tetapi pam petrol sebaliknya sesak sehingga pelanggan perlu menunggu giliran untuk membuat pengisian bahan api itu.

Malah, berdasarkan hasil tinjauan seawal jam 7 hingga 9 pagi tadi, pembelian berulang untuk pengisian RON95 dilihat masih berlaku walaupun kerajaan baru-baru ini mengumumkan ia dilarang di semua stesen minyak di Kelantan bagi mengelak petrol bersubsidi itu diseleweng ke negara jiran.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024
CHERY Omoda 5 NCAP MREC Banner Campaign September 2024

Bukan itu saja, puluhan kereta yang kebanyakannya jenis Proton Waja dengan nombor pendaftaran Malaysia turut didapati memenuhi beberapa stesen minyak untuk mengisi petrol sebelum sebahagian kenderaan terbabit dilihat masuk ke negara jiran menurut tinjauan dari Berita Harian.

Bahkan, ada sebilangan kenderaan terbabit dilihat beredar ke lokasi lain selepas mengisi petrol RON95 tetapi kemudian datang semula ke stesen sama untuk membuat pembelian lagi.

Selain Proton Waja, kenderaan pacuan empat roda termasuk Pajero dan Hilux juga dilihat membuat pengisian petrol RON95.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail, ketika dihubungi memaklumkan jualan diesel di sempadan mengalami pengurangan, manakala petrol pula berlaku peningkatan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, pihaknya tidak mempunyai data tepat memandangkan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel baru bermula, dan jumlah pengurangan serta peningkatan itu dijangka diperoleh akhir bulan ini.

"Namun, sepanjang bulan ini hingga semalam, tiada kes tangkapan dan rampasan membabitkan diesel. Sebaliknya, hanya kes petrol direkod membabitkan 27 kes rampasan 4,005 liter petrol bernilai lebih RM8,200.

"Kebanyakan penyeludup petrol dikesan menggunakan kenderaan biasa dengan kebanyakannya adalah Proton Waja disebabkan tangki yang besar," katanya.

Pada masa sama, Azman turut mengaku masih berlaku pengisian petrol secara berulang di sempadan, namun ia sukar dibuktikan berikutan kekangan anggota.

"Untuk membuktikan kegiatan berkenaan, kita perlu berada di stesen terbabit 24 jam sedangkan kita sendiri berdepan kekangan keanggotaan.

"Namun, sekiranya perancangan kita untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak sekitar kawasan sempadan dilaksanakan, kita akan lebih mudah membuat pemantauan," katanya.

Semalam, media melaporkan jualan diesel di sempadan menunjukkan penurunan 40 peratus sejak kerajaan mengumumkan pengapungan harga subsidi diesel, sekali gus mengesahkan memang wujud aktiviti penyeludupan diesel ke negara sempadan sebelum ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dipetik berkata langkah penyasaran subsidi bermula 10 Jun lalu menyaksikan jumlah jualan runcit diesel di stesen minyak menurun hampir lapan juta liter sehari atau 30 peratus untuk minggu pertama selepas pengumuman penetapan semula harga diesel, berbanding minggu sebelum pengumuman.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Tidak, tidak pernah ada perbincangan," katanya ringkas ketika ditanya pemberita mengenai khabar…
Berita Domestik
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S Jegan,…
Berita Domestik
Ia memberikan pengguna tiada pilihan selain berdepan dengan kenaikan kos hidup, disebabkan RON95…