Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, terdahulu video berkenaan dikesan pihaknya pada Rabu di aplikasi X.
“Kejadian didapati berlaku jam 10.50 malam pada Ahad lalu di Jalan Masjid Negeri, di Georgetown.
“Didapati sebuah kereta dirakam dipandu secara melawan arus di laluan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, pada Khamis.
Mengulas lanjut Abdul Rozak berkata, siasatan mendapati kereta berkenaan didaftarkan atas nama wanita warga tempatan berusia 32 tahun yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan dan semasa kejadian, kereta terbabit dipandu suaminya.
“Dia mendakwa baharu sahaja bekerja di Pulau Pinang dan tidak mahir dengan jalanraya di sini.
“Semasa kejadian, pemandu itu tidak sengaja masuk ke laluan bertentangan di Jalan Masjid Negeri,” katanya lagi.
Menurut Abdul Rozak, tindakan saman trafik sudah diambil terhadap pemandu kereta itu mengikut Peraturan 6(1) Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.