Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake, berkata terdahulu pihaknya mengesan video tular berkenaan yang memaparkan pemandu memandu kereta secara melulu serta mendapat perhatian masyarakat.
Katanya, semakan mendapati kejadian berlaku pada jam 6.18 petang, 12 September lalu di sekitar Jalan Dato Keramat dan Lebuh Chulia.
"Lelaki berkenaan adalah warga tempatan, berasal dari Ayer Itam dan sudah ditahan pada jam 7.30 malam, Khamis lalu di Jalan Dato' Keramat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Pemandu berkenaan turut disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan berikutan khianat kerana memecahkan cermin sebuah kenderaan menggunakan tangan berkaitan jenayah berasingan yang dilapor pada Khamis lalu," katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.
Ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati positif dadah jenis methamphetamin dan amphetamine.
Video tular berdurasi tiga minit 52 saat yang dirakam menerusi kamera papan pemuka sebuah kenderaan memaparkan suspek memandu secara melulu termasuk memberhentikan kenderaannya secara mengejut apabila ada pemandu kereta lain membunyikan hon susulan pemanduannya yang berbahaya.
Artikel dari Berita Harian