Pandu Uji: GAC GS3 2022 - alternatif SUV yang tidak laju

oleh Mohamad Hanif|
Kelibatnya di atas jalan mungkin tidak sebanyak pesaingnya dari negara China, iaitu Haval memandangkan ia baharu sahaja dilancarkan pada penghujung tahun lalu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Namun, SUV pendatang baharu ini dilihat mampu memberikan pilihan alternatif bagi mereka yang mahukan sebuah crossover/SUV pada harga yang lebih mampu milik.

Model yang penulis maksudkan ialah GAC GS3 2022, di mana model baharu ini dibawa masuk secara rasmi oleh pihak WTC Automotif (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat subsidiari di bawah Tan Chong Group.

Ya, pihak sama yang turut membawakan kenderaan berjenama Nissan dan Renault secara rasmi di sini.

Dengan julat harga di bawah RM100,000, adalah GAC GS3 ini mampu untuk memenuhi keperluan gaya hidup aktif anda?

Ikuti lima poin yang sempat penulis catatkan sewaktu pandu uji ringkas tempoh hari:

 

1. SUV segmen B yang bergaya

GAC


Dari segi rupa luaran, GAC GS3 ini membawakan bahasa rekaan Flying Dynamic Wing 3.0 dengan rekaan jeriji yang terpampang besar di hadapan, unit lampu projektor halogen (sayang sekali bukan jenis LED), serta kehadiran perumah lampu kabus berbentuk segi tiga di penghujung bampar.

Di bahagian sisi, anda akan mendapati pemasangan rim bersaiz 17 inci yang dibaluti tayar 215/60, efek bumbung terapung serta pemasangan cladding plastik - antara elemen yang wajib ada pada SUV masa kini.
 

GAC


Unit lampu belakang adalah kombinasi LED sementara lampu membelok dan lampu undur pula menggunakan mentol.

Tidak dilupakan, kehadiran rel bumbung berwarna hitam yang melengkapi imej SUV gaya hidup aktif ini.

 

2. Dimensi

GAC


GAC GS3 membawakan ukuran sepanjang 4,358 mm, lebar 1,825 mm, tinggi 1,685 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,560 mm.

Menjadikannya salah satu pemain di dalam padang bola sepak B yang turut disertai oleh Proton X50, Honda HR-V, Perodua Ativa, Toyota Corolla Cross dan Subaru XV.
 

GAC


Bagaimana pula dengan kapasiti kargo?

Secara standard, GAC GS3 mampu menyediakan ruang barangan sebesar 356 liter di belakang tempat duduk baris kedua, atau sehingga 780 liter apabila kerusi tersebut dilipat ke bawah.

Lebih besar berbanding ruang kargo Proton X50, namun kalah kepada ruang yang ditawarkan pada Perodua Ativa (369 liter).

 

3. Ruang kabin

GAC


Duduk di dalam ruang kabin, anda akan mendapati GAC GS3 ini mampu menawarkan keselesaan yang tersendiri, dengan kerusi yang empuk secukup rasa, dan masih lagi boleh menyokong bahagian bawah kaki sewaktu pemanduan dibuat.

Secara standard, varian Premium yang penulis pandu uji kali ini didatangkan dengan skrin paparan LCD di bahagian kluster meter, balutan bahan kulit palsu pada tempat duduk, perehat tangan dan penghadang kepala, dan sistem kemasukan tanpa kunci.
 

GAC


Sistem infotainmen adalah bersaiz lapan inci dengan ciri skrin sentuhan, selain turut menyokong Apple CarPlay secara standard.

Sayang sekali, penulis tidak langsung berkesempatan untuk menguji ciri Apple CarPlay ini sewaktu sesi pandu uji disebabkan oleh slot USB yang rosak, tambahan pula dengan lokasi slot USB yang sukar untuk diakses disebabkan ia terlindung di sebalik tombol gear spesifikasi kapal terbang itu.

Jadi, terpaksalah penulis bersabar dengan karenah DJ yang suka buat lawak dan ketawa sendiri itu sepanjang tempoh pandu uji.
 

GAC


Apa yang penulis boleh puji pada SUV ini adalah kehadiran butang fungsi kawalan pendingin hawa yang besar dan mudah untuk dicapai, tidak terlalu bergantung kepada butang atau fungsi digital seperti kebanyakan model di pasaran.

Paparan meter pula ringkas, dengan jalur keliling berwarna biru yang mengingatkan penulis pada model Perodua Myvi 1.3X pra-facelift yang dipandu uji beberapa tahun yang lalu.


4. Ciri keselamatan - cukup tapi tidak sempurna

GAC


Untuk sebuah SUV berharga RM96 ribu, anda mungkin berharap ia hadir dengan kelengkapan yang lebih moden seperti pesaing-pesaing di dalam pasaran.

Namu, apa yang anda bakal dapat adalah pakej yang terdiri daripada enam beg udara SRS (empat pada model Standard), ABS, EBD, kawalan kestabilan, bantuan brek, bantuan mula mendaki, bantuan menurun cerun, sistem pemantauan titik buta, kamera undur dan cagak ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak.
 

GAC


Tiada sebarang ciri bantuan pemandu termaju (ADAS) yang dimuatkan pada model GAC GS3 ini.

Memadai, tapi untuk mereka yang mahukan ekstra, GAC GS3 ini mungkin boleh dibuang daripada senarai pilihan.

 

5. Aspek pemanduan - enjin 1.5 liter yang... Err... lembab!

GAC


Atas kertas, GAC GS3 didatangkan standard dengan enjin empat silinder sebaris 1.5 liter (1,495 cc) yang mampu menjana kuasa setinggi 112 hp dan daya kilas 150 Nm, jauh lebih berkuasa berbanding Perodua Ativa sebenarnya.

Dipadankan dengan transmisi automatik enam nisbah kelajuan Aisin, GAC GS3 ini boleh mencapai bacaan penggunaan bahan api sekitar 6.9 liter untuk setiap 100 km, yang sememangnya boleh dicapai disebabkan prestasi SUV ini yang tidak memberangsangkan.
 

GAC


Untuk menggerakkan badan SUV seberat 1,350 kg ini ditambah pula dengan rim sebesar 17 inci, enjin 1.5 liter NA itu dirasakan tidak cukup kuasa dan tidak bertenaga sewaktu pedal pendikit ditekan habis.

Jadi, untuk julat kelajuan 10-60 km/j, SUV ini tiada masalah untuk dipandu, namun saat memasuki kelajuan lebuh raya, anda ternyata perlu menanamkan sifat sabar dan tidak terburu-buru dengan pemanduan SUV ini.

Ya, dalam bandar, ia mampu menjadi sebuah SUV yang lincah disebabkan dimensi badan yang memadai, namun di atas jalan raya dengan had laju yang lebih tinggi, anda perlu mengalah dengan nafsu diri sendiri.
 

GAC


GAC GS3 turut didatangkan dengan beberapa mod pemanduan yang boleh dipilih menerusi butang di konsol tengah, dan ternyata di dalam mod Sport pun ia masih lagi tidak berjaya untuk menjadikan SUV ini lebih responsif seperti yang dikehendaki.

Mod manual turut disertakan, di mana anda boleh mengaksesnya bukan menerusi paddle shifter, akan tetapi butang kawalan tambahan di bahagian tombol gear kapal terbang itu.

Sayang sekali, berdasarkan beberapa percubaan yang tidak terkira, mod manual itu memang tidak boleh digunakan serentak dengan mod pemanduan Sport.
 

GAC


Mujur juga sewaktu pemanduan tidak kira laju atau perlahan, penulis mendapati keadaan ruang kabin yang sangat selesa dan senyap, tidak terganggu pun dek bunyi bising angin yang cuba menembusi dari bahagian luar.

Satu perkara yang cukup penulis hargai pada sebuah SUV moden.

Jadi, dengan harga jualan bermula dari RM96,800, adakah GAC GS3 2022 ini mampu untuk memenuhi keperluan anda? Cuba dan nilai sendiri sebelum buat keputusan.

 

Spesifikasi Ringkas GAC GS3 2022

GAC


Enjin: empat silinder sebaris aspirasi natural (NA)
Sesaran: 1,495 cc
Kuasa: 112 hp at 6,000 rpm
Daya kilas: 150 Nm at 4,500 rpm
Transmisi: Automatik Aisin enam nisbah kelajuan
Pacuan: Roda depan (FWD)
Penggunaan bahan api: 6.9 liter/100 km
Harga: RM96,800