Pandu Uji: Honda Civic 2019 dengan ciri Honda SENSING

oleh Mohamad Hanif|
Awal bulan lalu, sekumpulan para pengamal media permotoran telah diterbangkan ke Bangkok, Thailand untuk melihat dengan lebih dekat Honda Civic 2019 yang diberikan kemas kini untuk pasaran Malaysia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Secara ringkasnya, perubahan yang dibawakan pada Honda Civic 2019 adalah sangat minima, di mana anda boleh melihat sedikit perubahan yang dibawakan pada bahagian hadapan, seperti rekaan bawah bampar yang lebih memanjang yang lebih kemas. 

 


Sayap Honda juga kini dilayangkan dengan warna hitam berkilat menggantikan penggunaan krom pada model terdahulu, nampak lebih sporty untuk model sedan yang sudah tersedia sporty ini. 

 


Bahagian belakang juga menampilkan sedikit perubahan, di mana terdapat kemasan krom melintangi bahagian bawah bampar, dan spoiler but yang bertenggek kini lebih panjang. 

Menurut pihak Honda, rim juga akan didatangkan dengan rekaan baharu bersaiz 18 inci yang akan diumumkan kelak. 

Tolak ketepi kemasan yang bersifat astetik ini, kerana Civic 2019 ini ada sesuatu yang jauh lebih penting untuk rakyat Malaysia. 

 


Honda SENSING.

Ciri yang telah diperkenalkan pada model CR-V dan Accord sebelum ini sudah boleh didapati pada sedan kegemaran rakyat Malaysia. 

Pakej Honda SENSING ini merangkumi ciri-ciri keselamatan seperti:

Kawalan Pemanduan Adaptif (ACC)
Kemampuan Mengikut Kelajuan Rendah (LSF)
Sistem Bantuan Kekal Laluan (LKAS)
Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (CMBS)
Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
Sistem Mitigasi Keluar Jalan (RDM)
Amaran Penukaran Laluan (LDW)
Bantuan Suluh Tinggi Automatik (AHB)

 


Di Honda Safety Driving Centre, Prachinburi, kami diberikan peluang untuk menguji dua ciri penting, iaitu CMBS serta ACC yang disekalikan dengan LSF itu tadi. 

Ternyata, apa yang ditawarkan di dalam sedan ini bukan omong kosong, walaupun ketika sesi ujian CMBS kami memecut agak laju, sistem FCW sudah pun memberikan amaran diikuti oleh sistem CMBS yang kemudian 'mengambil alih' tugas pemandu untuk memberhentikan kenderaan dengan sempurna. 

Dalam satu sesi yang berbeza, dua buah Honda Civic disediakan untuk menguji fungsi ACC dan LSF - ciri yang biasanya ada pada kereta mewah kini sudah boleh didapati untuk pasaran sedan segmen C. 
 


Ciri ini lazimnya digunakan di atas lebuhraya, di mana anda boleh memberikan 'kebenaran bersifat sementara' kepada sistem untuk meneruskan pemanduan tatkala anda merehatkan tubuh badan ketika perjalanan jauh. 

Malah penulis kira, ciri LSF ini juga boleh digunakan ketika kesesakan jalan raya yang sibuk, dengan fungsi yang sememangnya mudah untuk diakses menerusi butang di sebelah kanan stereng. 

Selesai ujian di litar buatan, kami diberikan peluang untuk memandu Honda Civic 2019 ini menghala ke Bangkok dengan jarak kira-kira 170 km mengambil masa kira-kira tiga ke empat jam - disebabkan cuaca hujan dan faktor trafik. 
 


Menyelusuri jalan raya Thailand, disinilah gunanya kami untuk menguji dengan lebih terperinci ciri-ciri yang telah dijelaskan termasuklah ciri Honda LaneWatch. 

Jika anda perasan di cermin sisi sebelah kiri, pihak Honda telah memasang sebuah kamera bantuan yang membolehkan anda memantau titik buta di sebelah kiri ketika menukar laluan menerusi paparan di skrin tengah. 

Perlu diingatkan, ia hanya akan berfungsi apabila anda rajin memberikan lampu isyarat sebelum menukar laluan atau memasuki simpang.
 


Berdasarkan pemanduan selama beberapa jam menuju ke bandar Bangkok, penulis tidak merasakan sebarang perubahan yang ketara kepada cara pemanduan yang ditawarkan oleh Civic 2019.

Ini kerana menurut pihak Honda, tiada sebarang perubahan mekanikal yang dibuat, jadi enjin asal 1.5 liter VTEC Turbo itu kekal dengan angka 172 hp dan 220 Nm yang dipadankan dengan tranmsisi CVT. 

Ia masih sama dengan pemanduan Civic sedia ada, senyap, selesa dan mampu menawarkan pemanduan yang sporty tidak kira apa jua keadaan jalan. 
 


Bagi mereka yang berminat, Honda Civic 2019 kini sudah boleh ditempah di mana-mana pusat pameran Honda yang bertauliah manakala pelancaran rasminya pula akan diumumkan dalam suku keempat tahun ini. 

Harga jualan pula masih belum ditetapkan, kami menjangkakan akan ada sedikit kenaikan harga berikutan ciri Honda SENSING yang dilengkapkan pada sedan segmen C ini. 

Terima kasih kepada Honda Malaysia kerana sudi menerbangkan kami ke Thailand selain merebut peluang untuk menyedut udara segar di kala jerebu yang melanda Malaysia pada ketika ini. 



Perbezaan antara Honda Civic 2019 vs Honda Civic 2018

 

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Siapa yang tidak kenal dengan SUV Honda CRV yang merupakan SUV terbesar dalam kalangan keluarga SUV…
Telah Diuji
Varian tertinggi terbaharu ini merupakan gabungan trenkuasa hibrid antara petrol dan motor elektrik…
Telah Diuji
Selain daripada jenama automotif Jepun, mereka yang mahukan kelainan boleh mendapatkan SUV jenama…