Pandu Uji: Honda Civic Type R FK8 - RM330,002

oleh HEZERI SAMSURI|
Antara jenama aiutomotif terkuat di seluruh dunia ialah Type R oleh Honda.

Ia sinonim dengan sebuah jentera 2.0L yang menggunakan teknologi injap, pacuan roda hadapan dengan transmisi manual serta warna putih dan spoiler sebesar tiang gol di belakang.

Ia menjadi idaman dan impian anak-anak muda dari yang berusia belasan tahun sehingga remaja berusia 60 tahun yang gemarkan jentera laju.

Honda Malaysia mula memperkenalkan Civic Typre R secara rasmi 11 tahun yang lalu dengan model FD2. 

Penulis bersyukur ke hadrat Illahi kerana dibenarkan memandu uji FD2 itu beberapa kali, dan setiap kali ia dipandu keluar, penulis tidak berupaya untuk menahan godaan dari tersenyum dan tersengih sendirian kerana walaupun FD2 itu mempunyai sistem gantungan yang lebih keras dari hati bekas teman wanita semasa di uni, daya pecutan dan cengkaman di selekoh oleh Civic itu nyata mengatasi segalanya.

 

 

Paling menarik, ia memerlukan kepakaran untuk bermain dengan gear dan klac untuk memastikan putaran enjin berada di zon tenaga. Bunyi injap VTEC yang menerjah masuk seolah-olah mencabar nafsu yang membuak-buak untuk pergi lebih laju dari kebiasaan.

Kemahiran "heel and toe" pula diperlukan bagi memastikan kereta prestasi dengan transmisi bapok (automatik) tidak dapat memotong anda di selekoh. 

Secara ringkas, Civic Type R FD2 menghadiahkan pemandu yang mahir dengan prestasi pemanduan sebenar.

 

 

Resipi yang sama digunakan oleh Honda untuk Civic Type R FK8 ini, walaupun ada yang berbeza.

Perbezaan pertama ialah penggunaan enjin K20C1 2.0-liter 4-silinder, dengan pengecaj turbo.

  • Masalah dengan undang-undang emisi atau asap yang semakin ketat di Eropah dan di US menyebabkan Honda memilih jalan turbo untuk mencapai kuasa maksimum yang dimahukan.
  • Enjin ini menghasilkan 310PS pada 6,500 rpm dan daya kilas 400 Nm antara 2,500 hingga 4,500 rpm. Rendah sikit dari prestasi Type R yang sama di Eropah kerana FK8 ini ditala untuk menggunakan bahanapi RON95.
  • Menurut jurutera Honda, Hideki Kakinuma, anda tidak akan mendapat sebarang tambahan tenaga pun jika anda menggunakan RON97 atau RON100, kecuali jika bahanapi premium itu menggunakan aditif yang lebih. 
  • Enjin baharu ini memberikan prestasi yang merisaukan ramai pesaingnya:
    • Pecutan 01-100 kmsj dalam 5.7 saat
    • Halaju maksimum 272 kmsj (tanpa sebarang had 250 kmsj yang ada pada kereta buatan Jerman)
  • Sayang sekali dengan turbo, VTEC hanya diberi peluang untuk menjaga injap ekzos untuk memastikan turbo-lag berkurangan. Tiada lagi terdengar laungan "V-TEC kicking in yo!". 

 

 

Perbezaan kedua ialah dari segi rekabentuk. 

  • Jika Civic Type R FD2 nampak lebih ringkas dengan spoiler belakang besar, FK8 hadir dengan pelbagai kepak dan sayap yang membuatkan anak lelaki penulis berusia 15 tahun menjerit terkinja-kinja kerana seronok melihat sebuah kereta yang cantik di matanya.
  • Ini sebenarnya tidak akan menjadi masalah besar jika bukan kerana perbezaan ketiga, harga.
  • Type R FD2 dibawa masuk terus dari Jepun, kerana Honda memasang model itu di kilang mereka di sana.
  • Untuk Type R FK8, Honda berkata kajian mereka mendapati pasaran terbesar Type R ialah di Eropah dan di US.
  • Kerana itu, Honda bertindak untuk memindahkan pembikinan Type R itu ke kilang mereka di Swindon, UK. 

 

 

Perbezaan ketiga ialah hasil dari pemindahan kilangnya ke UK.

  • Masalah yang terhasil dari tindakan ini ialah pasaran di Asia akan mengalami kenaikan harga yang mendadak - dan di dalam kes Malaysia, harga FK8 ialah RM120,000 lebih mahal dari FD2.
  • Dengan harga melebihi RM300,000, para pembeli kebanyakannya akan berusia lebih dari 40 tahun, dan mereka ini ialah jenis yang mungkin akan gemarkan kereta prestasi dengan transmisi automatik seperti Golf R atau A45 AMG, atau kereta-kereta lain yang kurang berkepak dan bersayap.
  • Apapun, Honda berkata segala kepak, sayap dan lubang yang wujud pada FK8 mempunyai fungsi dan bukan hanya untuk tujuan kosmetik semata.

 

 

Namun begitu, masih banyak lagi yang sama.

Contohnya, masuk ke kabin FK8, warna-warna terang terpalit di sana sini, mengingatkan anda bahawa ini ialah sebuah kenderaan istimewa - sama seperti Type R yang lain.

Tombol gear aloi bulat dengan warna titanium tercacak megah di konsol tengah, mengingatkan anda bahawa pemandu tulen ialah mereka yang gemarkan tiga pedal di kaki.

Untuk yang tidak tahu memandu manual, mereka akan tercari-cari alasan untuk menidakkan fakta ini sambil berkata di dalam hati menyesal tidak tahu memandu manual.

Yang lebih penting ialah ruang kabin FK8 ini mudah difahami. Tidak ada yang pelik dan tidak ada yang baharu. Lima minit di dalam Civic Type R ini dan anda mungkin sudah tahu kesemua fungsi-fungsi utamanya.

 

 

Ia juga lebih praktikal - jauh lebih praktikal dari Perodua Alza yang acah MPV itu. Sekurang-kurangnya ruang penumpang hadapan mempunyai banyak ruang meletak barang. 

Konsol tengah itu contohnya cukup besar untuk memuatkan kamera DSLR bersaiz sederhana (jangan pula masukkan Nikon D4S pula).

Ruangan but juga luas untuk kereta prestasi, tanpa ada palang-palang besi yang penuh di dalam Satria Neo yang anda jumpa berjalan perlahan di sekitar bandar.

Tempat duduk belakang FK8 juga luas dan mampu memuatkan tiga orang penumpang dewasa. Ruang kaki masih memadai, walaupun tempat duduk hadapan jenis bucket itu besar.

 

 

Memandu Civic Type R ini selama lima hari membolehkan kami menyelami apa yang mampu dilakukan oleh FK8.

Ya, ia tetap sebuah senjata agresif untuk anda pergi berjimba di laluan-laluan Kuala Kelawang, Bukit Putus, Batang Kali, lebuhraya Karak dan sebagainya.

Enjin 2.0L turbo itu sebenarnya tidak langsung terasa seperti sebuah turbo. Ia lancar dan hantaran tenaga sangat linear - tanpa "turbo-kick" yang menyusahkan pengendalian.

Pengecaj turbo itu pula menghasilkan boost maksimum setinggi 22.8 PSI atau 1.57 bar, lebih tinggi dari turbo yang dipasang pada Civic 1.5L Turbo. 

Mod-mod pemanduan jelas mengubah karektor enjin. Tiga mod diberikan - Comfort, Sport dan +R. Ia juga mengubah setting untuk sistem gantungan dan ini sangat-sangat berguna.

 

 

Transmisi manual memastikan pemandu tahu gear apa yang diperlukan, dan klac yang telus pula membenarkan tukaran gear secepat mungkin dilakukan. 

Klac itu memang sesuatu yang jauh berbeza dari klac kenderaan biasa. Ia tidak seberat klac kereta perlumbaan, tetapi masih mampu memberikan anda perasan bila ia akan mula "menggigit". 

Itu sangat penting bila anda mahu melakukan pemanduan tangkas.

Prestasi brek juga tidak mengecewakan. 

 

 

Angkup Brembo bersaiz 350 mm di hadapan dan 305 mm di belakang itu menggigit tanpa menyentap, dan aksi pedal juga lebih "direct", menyebabkan anda dengan cepat belajar berapa kuat tekanan diperlukan untuk memperlahankan ia pada kelajuan yang anda mahukan di selekoh. 

Tidak lagi kita perlu trail-braking sebelum selekoh, dan kerana itu FK8 ini lebih laju dilitar kerana kita tidak membazir tenaga pecutan untuk brek terlalu awal.

Pacuan roda hadapan secara jujurnya akan memberikan sedikit masalah bila anda menyerang selekoh-selekoh dengan terlalu agresif. 

Walaupun Honda melengkapkan roda hadapan ini dengan LSD jenis helical, masih terasa ia meronta-ronta untuk aksi "understeer" bila keadaan terlalu ekstrem.

 

 

Ia tidak seteruk Mazda3 MPS dan ia juga jauh lebih baik dari Honda Civic Type R FD2, tetapi tidak akan dapat melawan kecekapan kenderaan dengan sistem All-Wheel-Drive seperti VW Golf R ataupun Mercedes-Benz A45 AMG. 

Bayangkan roda hadapan yang terpaksa membrek, kemudian membelok dan seterusnya memberi pacuan untuk ke hadapan. 

Manusia pun akan pitam bila diberi tiga tugasan seberat itu, kecuali perempuan. Kaum hawa memang boleh melakukan aktiviti "multi-tasking" dengan lebih baik dari kaum lelaki.

Jadi apa yang penulis lakukan ialah mengambil selekoh dengan cara yang lebih berdisiplin - perlahankan FK8 ini pada kelajuan yang sepatutnya, masuk ke apex dan kemudian perlahan-lahan tegakkan stereng sambil menekan pendikit secara linear.

Jangan henyak!

 

 

Civic Type-R FD2 dahulu sebenarnya mengalami dua masalah besar yang menghalangnya menjadi kenderaan yang praktikal - walaupun ia sebuah sedan.

Masalah pertama, FD2 mempunyai sistem gantungan yang hanya sesuai untuk kegunaan di litar. Di jalanraya biasa, segala anggota badan yang boleh bergegar akan bergegar dengan jayanya. 

Masalah kedua, nisbah gear yang sekali lagi lebih sesuai untuk litar. Memang ada pemilik yang berkata ini tidak benar dan ia bukan masalah, tetapi mereka ini juga mungkin akan berkata roket Apollo itu sama selesa seperti sebuah Boeing Dreamliner. 

Yang pasti, enjin akan berpusing pada anggaran 2,500 rpm bila anda di gear tertinggi pada kelajuan 100 kmsj. 

Ini menjadikan pemanduan di atas lebuhraya bising dan enjin menderam-deram seperti orang yang sakit perut ditahan dari ke tandas.

 

 

Untuk Civic Type R FK8 ini, kesemua masalah itu dilupuskan.

Ia mempunyai sistem gantungan yang jauh lebih lembut dan selesa, walaupun masih boleh membenarkan anda memandu laju di selekoh.

Malah berbanding dengan Proton Iriz 1.6L Premium manual milik penulis, Type R ini jauh lebih selesa dan lebih senyap walaupun Honda ini menggunakan roda aloi bersaiz 20-inci.

Tayar Continental SportContact 6 ini juga sangat baik, tanpa bunyi bising yang selalu menghantui tayar-tayar berprestasi tinggi.

Tiga corong ekzos itu juga berfungsi untuk meredakan bunyi ngauman ketika dipandu di atas jalanraya.

 

 

Nisbah gear juga membolehkan penulis memandu dengan tenang di lebuhraya, sehingga ada Myvi kuning yang mencucuk kerana mimikirkan ekzos tiga lubang itu propa semata.

Mungkin pemandu Myvi itu tidak perasan Civic ini ialah sebuah hatchback - dan hanya Type R sahaja yang hatchback di bumi Malaya ini.

Sukar untuk tidak menyukai FK8 Type R ini, lebih-lebih lagi ia mampu dipandu setiap hari dengan selesa.

Bayangkan penulis menggunakannya untuk menghantar anak ke sekolah, dan kemudian menghantar seorang lagi anak ke taska. Selepas itu memandunya ke pusat bandar untuk menghadiri mesyuarat dan majlis.

 

 

Malam, penulis membawa keluarga untuk keluar makan sambil memandu dengan santai. Selepas itu keluar balik ke mamak untuk berjumpa rakan-rakan.

Acapkali ketika memandunya di dalam bandar dan di kawasan perumahan, ia terasa seperti sebuah kereta manual biasa dengan pengendalian yang selesa.

Dan bila ada masa terluang, penulis akan memakai kasut pemandu Puma hitam dan keluar ke jalan-jalan lazim yang diminati oleh peminat kereta untuk meratah dan membaham apa yang sepatutnya.

 

 

Civic Type R FK8 sememangnya ialah dua jentera di dalam satu badan. 

Ia praktikal, ia selesa dan ia mudah dikendali.

Ia juga laju, ia ganas dan ia boleh melakukan apa yang kereta lumba mampu lakukan bila mod Sport atau +R dipilih.

Cuma bagi penulis, selepas pintu ditutup dan penggera dikunci, terus sahaha memandang ke hadapan sambil berjalan ke arah tempat yang dituju kerana jika penulis memusingkan kepala untuk melihat FK8 ini, terus jatuh rasa hiba kerana terasa seperti seorang datuk berusia 80 tahun memegang tangan teman wanitanya yang berusia 21 tahun.

Harapnya Honda boleh menghasilkan varian Type R tanpa kepak di masa akan datang, khusus untuk mereka yang sedikit beruban ini.

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Global
Bersempena dengan itu, Honda telah menerbitkan sebuah gambar acah yang memaparkan bahagian profil…
Berita Global
Fasiliti yang dibina atas tanah berkeluasan 2.56 juta meter persegi ini mempunyai bilangan pekerja…
Berita Domestik
Acara kemuncak kepada kempen "Road to 900,000th Unit Milestone" ini merupakan penyampaian sembilan…