Walaupun bentuk badan sangat serupa dengan HR-V, di bawahnya e:N1 membawa DNA baru bersama platform EV, pek bateri besar, dan kelengkapan teknologi moden.
Semua itu untuk memenuhi kehendak pasaran dengan pakej lengkap yang semakin mahukan kereta bersih, senyap dan berprestasi baik.
Dari segi spesifikasi, Honda e:N1 dibina atas platform e:N Architecture F yang khusus untuk pacuan roda hadapan, di mana ia memilki motor elektrik tunggal di roda hadapan yang mampu menghasilkan 204 PS dan 310 Nm.
Sumber kuasa dibekalkan melalui pek bateri NMC 68.8 kWj dengan kemampuan jarak gerak sehingga 412 km berdasarkan WLTP.
Dimensi luaran hampir sama seperti HR-V biasa dengan panjang 4,380 mm, lebar 1,790 mm, tinggi 1,592 mm dan jarak roda 2,610 mm, beratnya pula kira-kira 1,662 kg, lebih berat berbanding versi hibrid.
Dari luar, ada beberapa tanda yang membezakan e:N1 daripada HR-V petrol atau hibrid, antaranya bahagian gril depan ditutup dengan pintu pengecas terintegrasi, lencana “H” putih khas EV, tulisan “Honda” penuh di belakang, lampu LED penuh di hadapan dan belakang, strip lampu melintang, serta rim aloi 18-inci dua tona.
Bahagian dalaman pula tampil lebih futuristik dengan panel instrumen digital 10.25 inci dan skrin infotainment besar 15.1 inci menegak.
Ia turut hadir dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, bersama kawalan pendingin hawa dua zon, pengecas tanpa wayar, port USB lengkap dan pencahayaan ambient yang menambah suasana premium.
Dari segi pemanduan, e:N1 memberi pengalaman yang menyeronokkan dalam kelas EV SUV kompak, tork 310 Nm tersedia segera sebaik pedal ditekan, membuatkan pecutan 0-100 kmj hanya sekitar 7.7 saat, cukup pantas untuk sebuah kereta bandar.
Kuasa linear membuatkan ia sesuai digunakan harian, sama ada memotong di lebuh raya atau bergerak pantas di lampu isyarat.
Dalam trafik bandar, keheningan kabin terasa mewah kerana tiada bunyi enjin, manakala suspensi yang diadaptasi daripada HR-V memastikan kestabilan kekal terjaga.
Berat tambahan akibat bateri memang terasa sedikit bila melalui jalan tak rata, tetapi keseluruhannya masih selesa dengan kendalian di selekoh yang baik.
Sistem brek regeneratif boleh dilaras, membolehkan pemandu pilih sama ada mahu lebih banyak penjimatan tenaga atau rasa pemanduan seperti kereta biasa.
Honda turut membekalkan e:N1 dengan pakej keselamatan penuh Honda Sensing, antaranya ciri standard termasuk Adaptive Cruise Control dengan Low-Speed Follow, Lane Keep Assist System, Collision Mitigation Braking System, Road Departure Mitigation dan Lane Departure Warning.
Menariknya, model ini juga menampilkan Blind Spot Information dan Rear Cross Traffic Alert, yang lebih praktikal untuk pasaran Malaysia berbanding sistem LaneWatch lama.
Namun begitu, ada beberapa perkara yang mungkin jadi pertimbangan, ground clearance lebih rendah berbanding HR-V biasa kerana bateri dipasang di lantai, menjadikannya sedikit sensitif di jalan tak rata.
Pengecasan pantas DC juga agak terhad pada 78 kW, jadi untuk caj 10 hingga 80 peratus, ia masih mengambil masa lebih kurang 45 minit.
Dan yang mungkin mengecewakan peminat HR-V ialah ketiadaan fungsi “Ultra Seats”, kerana lantai bateri tidak membenarkan mekanisme kerusi serbaguna itu dipasang, bagaimanapun ruang but masih seluas 344 liter.
Harga semasa pelancaran pula agak premium, sekitar RM149,900 tanpa insurans, lebih mahal berbanding HR-V hibrid.
Tetapi sempena kempen istimewa “Because of You” yang akan berlangsung dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2025 oleh Honda Malaysia, pelanggan terpilih kini boleh nikmati rebat sehingga RM34,000 untuk Honda e:N1.
Dengan rebat yang ditawarkan, EV pertama Honda untuk pasaran Malaysia itu kini boleh dimilik pada harga bermula dari RM115,900 sahaja.