Walaupun bukan perubahan besar, HR-V facelift membawa beberapa sentuhan kosmetik serta teknologi terkini bagi memastikan ia terus relevan dalam pasaran Malaysia yang semakin kompetitif.
Dari luar, HR-V tampil lebih segar dengan muka baharu yang menampilkan gril lebih lebar, disertakan rekaan bampar yang lebih kemas.
Identiti bahagian belakang juga diberi nafas moden menerusi lampu LED nipis yang merentangi tailgate, memberikan visual lebih elegan berbanding model terdahulu.
Bagi varian RS, rim 18-inci dengan kemasan dua tona menjadikannya lebih menyerlah berbanding rim kelabu yang digunakan sebelum ini.
Masuk ke bahagian dalam, perubahan utama dapat dilihat pada bahagian konsol tengah, rekaan lama yang seakan melingkari pemandu kini diganti dengan susun atur lebih simetri.
Hasilnya, ruang di bawah kawalan pendingin hawa kini lebih praktikal untuk meletakkan barang kecil, selain itu skrin infotainmen 8 inci masih ada di tengah, tetapi kali ini ia menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Dari segi trenkuasa, HR-V facelift masih ditawarkan dengan 3 pilihan enjin dan 4 pilihan varian.
Varian asas iaitu S hadir dengan enjin 1.5 liter i-VTEC NA yang menghasilkan 121 PS dan 145 Nm, varian E dan V pula dikuasakan enjin 1.5 liter VTEC turbo dengan kuasa 181 PS dan 240 Nm.
Manakala varian tertinggi iaitu RS e:HEV menggunakan sistem motor elektrik bersama enjin 1.5 liter i-VTEC Atkinson cycle dengan kuasa 131 PS dan 253 Nm, memberikan gabungan pemanduan senyap, responsif, dan lebih jimat bahan api.
Varian RS e:HEV dipadankan dengan transmisi e-CVT dan semua varian lain menggunakan transmisi CVT, varian dengan enjin turbo turut dilengkapi kawalan paddleshift dan pilihan mod pemanduan Econ, Normal, dan Sport.
Dari segi pemanduan, HR-V facelift masih mengekalkan karakter asalnya yang mudah dipandu, selesa, dan sesuai untuk kegunaan harian.
Varian Turbo memberikan kuasa yang cukup untuk memotong dengan yakin di lebuh raya, walaupun CVT ada sedikit lengah sebelum ia benar-benar memberi respons penuh.
Aspek kendalian pula dibantu suspensi jenis MacPherson strut di depan dan torsion beam di belakang, tidak terlalu lembut hingga terasa melambung, dan tidak terlalu keras hingga menggigit pinggang.
Olengan badan masih terasa sedikit ketika mengambil selekoh laju, tetapi kawalan casisnya cukup baik untuk sebuah SUV keluarga.
Sterengnya pula menggunakan sistem Variable Gear Ratio (VGR) untuk varian tertentu, menjadikan putaran stereng lebih natural ketika parkir dan lebih stabil di kelajuan tinggi.
Bagi varian e:HEV Hybrid, pengalaman pemanduan yang diberikan lebih unik untuk mereka yang mahukan kelainan, kebanyakan masa enjin tidak akan menggerakkan tayar, hanya motor elektrik yang bekerja.
Hasilnya, anda akan merasakan pengalaman memandu sebuah EV kecil, senyap, responsif, dan cukup efisien.
Bila perlu, enjin akan hidup untuk menjana kuasa tambahan, tetapi peralihan antara mod elektrik dan enjin berlaku dengan sangat lancar.
Satu lagi perkara yang perlu dipuji ialah tahap NVH (Noise, Vibration, Harshness) berbanding model sebelum ini, cabin HR-V facelift terasa lebih senyap, terutamanya pada kelajuan sederhana.
Bunyi angin masih ada bila mencecah 120 kmj ke atas, tetapi dalam julat kelajuan biasa, ia cukup baik untuk sebuah SUV dalam segmennya.
Satu lagi perkara yang tidak boleh diketepikan ialah aspek keselamatan, HR-V facelift datang dengan sistem Honda Sensing sebagai standard untuk semua varian.
Ia termasuk ciri Adaptive Cruise Control, Lane Keeping Assist, Forward Collision Warning serta Automatic Emergency Braking.
Dari sudut praktikaliti, HR-V masih mengekalkan kekuatan asalnya dengan ruang kargo yang luas, serta tempat duduk belakang dengan konfigurasi “Ultra Seats” membolehkan pemilik membawa barang besar dengan mudah.
Secara keseluruhan, HR-V facelift 2025 ini bukanlah sebuah revolusi, tetapi ia memberikan segala yang diperlukan untuk menjadikannya SUV kompak yang lengkap.
Pemanduan selesa, pilihan enjin pelbagai, teknologi moden, dan rekaan yang lebih matang memastikan HR-V masih sukar digugat.
Untuk mereka yang mahukan SUV praktikal, selamat, dan berteknologi, HR-V facelift semestinya akan kekal sebagai antara pilihan paling selamat dalam segmen ini.
Baca: Honda HR-V 2025 facelift rasmi di Malaysia