PANDU UJI: Kia Picanto 1.2 EX - Kereta urban kecil berkuasa!

oleh Mohamad Hanif|
Rata-rata kereta di dalam segmen A disasarkan kepada pembeli kereta untuk kali pertama khususnya wanita yang mahukan kenderaan kecil yang mudah untuk dikendalikan, terutama di dalam kawasan bandar.

Malah, kereta-kereta sebegini selalunya dijadikan sebagai kuda kerja yang membawa mereka berulang alik daripada pejabat ke rumah, ataupun sekadar memenuhi keperluan harian di dalam kawasan bandar.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Jadi, apakah yang istimewanya pada Kia Picanto jika dibandingkan dengan rakan-rakan sekelasnya, atau lebih tepat rakan yang mempunyai julat harga di bawah RM50,000?

 


Penulis berpeluang mencuba Kia Picanto 1.2 EX selama empat hari kereta hatchback segmen A yang merupakan satu-satunya varian yang ditawarkan oleh Kia Malaysia dengan harga yang agak mampu milik, sekitar RM47,079.43. 

Jika melihat kepada trend masyarakat Malaysia yang suka membandingkan kereta mengikut julat harga, Kia Picanto ditakdirkan untuk bersaing dengan Perodua Myvi dan juga Proton Iriz yang ditempatkan berlainan segmen berbanding Picanto yang berada di segmen A. 

Namun, setelah empat hari mencuba, tidak salah untuk penulis katakan bahawa Kia Picanto sebenarnya tidak layak untuk duduk di segmen yang sebenar. 
 


Daripada luaran sehinggalah kepada bahagian kabin, Kia Picanto telah diserapkan dengan elemen kemewahan dari segi sentuhan, pandangan, serta gerak geri pemanduan yang ditawarkan untuk kereta sekecil ini. 

Seperti yang disebut pada awal artikel, Kia Picanto hadir dengan varian tunggal menggunakan enjin KAPPA 1.2 liter MPI yang mampu menghasilkan 83 kuasa kuda dan daya kilas sebesar 122 Nm yang masuk penuh pada putaran enjin 4,000 rpm. 

Atas kertas, ia mungkin nampak biasa-biasa sahaja, umpama Nora Danish tanpa mekap, apatah lagi bila digandingkan dengan kotak gear empat kelajuan automatik yang agak konvensional berbanding pengeluar lain yang mula berhijrah kepada kotak gear CVT. 
 


Sebenarnya, ia memang lebih daripada mencukupi untuk sebuah kereta kecil yang urban ini, memandangkan sasaran penggunanya adalah mereka yang inginkan sebuah kereta yang tahan lasak untuk kegunaan seharian. 

Jangan terkejut apabila Kia Picanto ini sebenarnya selesa juga untuk dibawa pada kelajuan malar di lebuhraya. 

Tatkala pesaingnya yang berada di segmen yang sama dirasakan membuai pada kelajuan yang dibenarkan, Kia Picanto pula tidak sesekali memberikan perasaan yang serupa ketika berada di lorong kanan sekali sekala. 

Ia turut dibantu oleh penggunaan stereng elektrik yang memberikan rasa premium ketika mengendalikan kereta kecil ini, menyumbang kepada keseronokan dan kepuasan ketika memandu. 
 


Meninjau ke dalam ruang kabin, Kia bijak menggunakan sumber yang ada untuk menampakkan dalaman yang tampak premium dan tidak seperti kereta murahan. 

Antara kesukaan penulis ialah sistem infotainmen skrin sentuh terapung pada tengah papan pemuka dengan ciri sambungan Apple CarPlay dan Android Auto yang mudah untuk digunakan serta lebih mesra pengguna.

Kedudukannya yang serba menegak serta kehadiran butang fizikal yang telah ditetapkan menu itu memberikan penulis lebih kawalan untuk menukar tetapan pada sistem hiburan tanpa perlu kerap mengalihkan pandangan daripada hadapan ketika memandu. 
 


Malah, kualiti imej yang dihasilkan oleh kamera undur juga sebenarnya lebih baik lebih baik berbanding model sedan yang lebih mahal RM30,000 akan tetapi memberikan lebih silau matahari semata-mata berbanding info penting. 

Sistem hiburan walaupun didatangkan dengan enam pembesar suara yang memberikan kualiti bunyi yang biasa-biasa sahaja, sekadar cukup untuk melayan kesunyian kabin ketika mengharungi kesesakan di Jalan Tun Razak yang kian lama kian menguji jiwa dan raga para pemandu. 
 


Penggunaan material plastik licin pada sesetengah tempat seperti trim pintu dan konsol tengah pula memberikan rasa mahal kepada para pemilik Kia Picanto, walaupun pada hakikat ia dijual pada julat harga di bawah RM50,000. 

Ruang meletak barang di belakang yang ditawarkan oleh Kia Picanto sebesar 255 liter itu boleh ditambah dengan melipat kerusi belakang dengan nisbah 60:40 itu mampu memberikan ruang sebesar 1010 liter, lebih daripada mencukupi untuk keperluan seharian seperti ke pasar pagi, menghadiri kuliah agama di masjid, malah berseronok seketika sambil membeli belah di shopping mall terkemuka di ibu negara. 

Mahukan yang lebih, sila sambar sebuah trak pikap. 
 


Melengkapkan sebuah kereta yang serba urban ini ialah rekaan serba baharu pada lampu belakang LED berbentuk C serta lampu utama projektor dengan DRL berbentuk U di hadapan yang terpadam dengan sendiri ketika brek tangan dinaikkan sewaktu berhenti di persimpangan lampu isyarat. 

Satu perkara yang membuatkan Kia Picanto sebuah kereta bandar yang lebih selamat berbanding pesaing di dalam kelasnya ialah spesifikasi keselamatannya yang serba lengkap seperti enam buah beg udara SRS, sistem brek anti-kunci, sistem bantuan brek (BA), kawalan kestabilan elektronik (ESC), kawalan cengkaman (TC), bantuan mula mendaki (HAC) dan juga cagak ISOFIX pada kerusi belakang.
 


Kia Picanto ini didatangkan dengan lima pilihan warna yang serba menarik seperti Lime Light, Honey Bee, Titanium SIlver, Clear White serta warna yang diberikan kepada penulis, Orange Pop. 

Jadi, sekiranya anda ingin lari daripada tipikal permintaaan pasaran, dan mahukan sebuah kereta bandar yang kecil-kecil cili padi, dengan ciri-ciri yang disebutkan seperti di atas, tidak salah untuk meletakkan Kia Picanto sebagai calon kereta baharu anda. 
 

Berita Berkenaan

Berita Global
  Picanto yang berada dalam segmen A digemari pengguna UK dan sekarang ini model petrol baharu…
Berita Global
Berdasarkan gambar yang dibocorkan oleh Autospy, Kia Picanto 2024 kini membawakan rekaan jeriji…
Berita Global
  Sekumpulan orang awam yang merangkumi enam orang dewasa telah dilihat cuba mengejar Kia Picanto…