Pengedar rasmi bagi jenama kelahiran Korea Selatan itu, Dinamikjaya Motors baru baru ini telah menganjurkan sesi pandu uji untuk pengamal media merasai sendiri keupayaan Sportage 2025.
Perjalanan bermula dari ibu pejabat Kia di Glenmarie, Shah Alam, Selangor menuju ke Janda Baik, Pahang di mana kami dapat merasai pengalaman memandu Sportage 2025 melalui jalan dalam Bentong yang berliku-liku.

Untuk pasaran Malaysia, Sportage 2025 ditawarkan dengan empat pilihan varian iaitu 2.0L 2WD, 2.0L 2WD High, 1.6T 2WD High dan 1.6T AWD High.
Bagaimanapun bagi sesi pandu uji kali ini, kami disediakan dengan dua varian tertingginya sahaja iaitu Sportage 1.6T 2WD High dan 1.6T AWD High.
Berikut merupakan ulasan yang penulis dapat berikan berdasarkan pandu uji ringkas tersebut:
Pengendalian yang selesa dan stabil

Kia Sportage 2025 dilengkapi dengan suspensi MacPherson di hadapan dan suspensi multi-link di belakang.
Tetapan suspensi tersebut semestinya telah terbukti untuk memberikan pengalaman pemanduan yang sangat stabil dan selesa, terutamanya semasa melalui jalan yang berliku atau berbukit.
Dalam ujian pemanduan kami di lebuh raya dan jalan kampung, Sportage mampu mengendalikan selekoh dengan baik, walaupun sedikit olengan badan boleh dirasai pada kelajuan tinggi.
Enjin turbo yang cukup berkuasa untuk SUV segmen C

Dua varian tertinggi Sportage 2025 yang kami uji dikuasakan oleh enjin Gamma II 1.6 liter empat silinder yang menghasilkan 177 hp dan 265 Nm.
Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan, memberikan pecutan yang responsif terutama sekali varian 1.6T AWD High dengan pacuan semua roda.
Bagi purata penggunaan bahan api, Kia Sportage 2025 mampu menawarkan sekitar 7.0 hingga 8.0 km/l, bergantung pada cara pemanduan dan keadaan jalan. Ini menjadikannya salah satu pilihan SUV yang efisien dalam segmennya.
Jika dibandingkan dengan dua varian terendah, iaitu Sportage 2.0L 2WD dan 2.0L 2WD High, ia dikuasakan enjin Smartstream 2.0 liter NA petrol dipadankan dengan transmisi automatik 6 kelajuan yang menghasilkan 154 HP dan 192 Nm.
Susun atur papan pemuka berorientasikan pemandu

Salah satu perkara yang menonjol pada Kia Sportage 2025 adalah reka bentuk kokpit yang memfokuskan keselesaan dan kemudahan pemandu.
Papan pemuka yang kemas dan sistem infotainmen yang diposisikan dengan sudut ke arah pemandu memastikan setiap butang dan skrin mudah dicapai tanpa perlu menukar posisi pemanduan.
Papan skrin tengah dan panel kawalan juga lebih mudah dioperasikan, terutamanya sistem pendingin hawa yang kini menggunakan panel sentuh.
Tambahan lagi, tombol gear pada konsol tengah menggantikan lever gear konvensional, memberikan ruang lebih luas.
Ruang dalaman yang premium

Kia Sportage 2025 juga tampil dengan reka bentuk dalaman yang elegan dan premium, di mana bahagian kabin dilengkapi dengan bahan-bahan berkualiti tinggi dan kemasan moden yang memberi rasa eksklusif.
Dua varian yang kami uji tersebut juga hadir dengan paparan instrumen digital dan skrin infotainmen bersaiz 12.3 inci, lengkap bersama sistem Apple CarPlay dan Android Auto
Tempat duduk di bahagian belakang juga sangat selesa, dengan ruang kaki yang luas dan sudut sandaran yang sesuai untuk perjalanan panjang.
Harga yang Kompetitif

Untuk pasaran Malaysia, Kia Sportage 2025 hadir dengan harga bermula pada RM149,781 untuk varian 2.0L 2WD, diikuti dengan varian 2.0L 2WD High pada harga RM157,218.
Bagi dua varian tertinggi yang kami uji, Sportage 1.6T 2WD bermula dari RM179,599, manakala varian 1.6T AWD dijual pada harga RM189,599.
Perbezaan antara kedua-dua varian 1.6T ini terletak pada sistem pacuan semua roda (AWD), rel bumbung, dan sistem audio premium Harman Kardon dengan lapan pembesar suara.
Walaupun varian 1.6T 2WD sedikit lebih murah, ia tetap dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan seperti enam beg udara, amaran pelanggaran titik buta (BCW), bantuan suluhan tinggi (HBA), dan kawalan jelajah pintar (SCC).
Baca: Kia Sportage 2024 rasmi untuk pasaran Malaysia