Pandu Uji: Mini Cooper S Convertible - Model topless yang jadi punca laki bini bergaduh

oleh HEZERI SAMSURI|
Sebut Mini dan pastinya akan ada segelintir "netizen" yang memandang Mini ini sebagai kereta pondan.

Mereka ini selalunya adalah yang acah-acah "gila kereta", memandu kenderaan "lowered" dengan rim berwarna-warni dipadankan dengan ekzos buluh serta bodykit terlebih plaster tetapi menggantungkan semua jenis "tag" pejabat dan majlis pada tangkai cermin pandang belakang.

Lihat sahaja pada komen-komen di media sosial dan anda boleh cam mereka ini yang tidak akan membaca lebih dari tajuk mana-mana artikel. 
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
convertible Mini side

 

Untuk yang mahu menimba ilmi, jenama ikonik British itu cukup unik kerana di seluruh dunia, ia mempunyai dua jenis peminat yang berlawanan khutub.

Di satu hujung, Mini diminati oleh sekelompok yang gemarkan fesyen dan sentiasa mahu kelihatan up-to-date. 

Golongan "lifestyle" ini lebih tertarik kepada rekabentuk, tema dan imej yang dibawakan oleh produk-produk Mini.

Kelompok lain pula berada jauh di seberang pagar - mereka ini masih berpakaian kemas tetapi simple - cukup dengan jeans biru, t-shirt tiada jenama dan sepasang sneakers tetapi di sebalik penampilan itu, mereka adalah peminat tegar kenderaan berprestasi, terutama dalam bab-bab pengendalian.

Kerana itu bila dikaji balik cara Mini diiklankan, anda boleh perhatikan bahawa bahan-bahan yang digunakan juga berbeza - ada iklan yang lebih menarik perhatian golongan pertama dan ada iklan yang menampilkan kegiatan motorsport Mini.

 

 

Model Mini Cooper S Convertible 2019 adalah contoh terbaik bagaimana kedua-dua polar yang berbeza itu boleh digabungkan dengan baik sekali.

Harga RM279,888 boleh diterima, terutama bila tidak ada banyak model convertible yang ada dijual di Malaysia.

Harga untuk eksklusiviti juga perlu diambil kira kerana Mini Malaysia cuma membawa masuk 20 unit sahaja.

Mini dengan nama kod F57 ini sebenarnya adalah model facelift untuk tahun 2019, dan ia nampak seperti sama dengan model-model sebelumnya.

Ini adalah satu masalah untuk ikon-ikon kenderaan dunia kerana walau apa pun yang berlaku, Mini tidak boleh lari dari bentuk ikonik itu - sama seperti Porsche dengan 911-nya dan Volkswagen dengan Beetle.

 

 

Namun begitu BMW telah melakukannya dengan baik - evolusi bentuk Mini ini masih nampak segar walaupun sudah masuk 19 tahun gergasi Jerman itu mengambil alih jenama British itu.

Walaupun dari segi saiz, ia memang sudah sebesar Volkswagen Golf atau BMW 1-Series, pandangan mata kasar melihat ia sebagai sebuah kenderaan kompak.

Besarnya Mini 2019 ini terserlah bila penulis duduk di dalamnya. Dengan bumbung tertutup, masih ada dalam ruang 3-inci berbaki di atas kepala penulis yang setinggi 6-kaki ini.

Malah tempat duduk hadapan terasa lapang dan memudahkan pergerakan untuk mencapai segala suis dan butang yang perlu dicuit.

 

 

Papan pemuka sebenarnya masih menggunakan konsep pada Mini BMW dari saat ia mula dilancarkan dalam tahun 2001. 

Cuma yang berbeza, paparan meter kelajuan dan meter lain diletakan di dalam kelompok tolok di belakang stereng.

"Meter" bulat sebesar pinggan makan Arcoroc yang terpampang di tengah-tengah papan pemuka itu kini adalah lebih kepada skrin sesentuh bersaiz 6.5 inci dengan sistem Mini Connected yang memerlukan data telefon.

 

 

Walaupun Mini ini dipanggil 2+2, penulis yakin tempat duduk belakang masih boleh digunakan untuk penumpang dewasa bersaiz kecil. Cuma tempat sandarnya terlalu tegah untuk dapat duduk dengan selesa.

Selain dari itu, ada dua lagi perkara di dalam kabin berbalut kulit coklat Chester Malt ini yang akan membuatkan anda rasa kurang selesa - tiang A yang tebal dan menggangu penglihatan, terutama bila kita perlu keluar dari simpang, dan bumbung belakang yang bila dibuka dan dilipat, akan menghalang separuh dari pemandangan pada cermin pandang belakang.

Ruang but? 

Memang ia kecil kerana jika anda hendak ruang but yang besar, mungkin anda salah kenderaan.

 

 

Untuk mereka yang lebih pentingkan keseronokan pemanduan, nadi Convertible ini ialah enjin B48 2.0L 4-silinder dari BMW.

Dengan kuasa turbo, ia menghasilkan 192 hp dan daya kilas setinggi 280 Nm. Pecutan 0-100 kmsj dilakukan dalam 7.1 saat dan ia akan memecut sehingga kepada kelajuan maksimum 230 kmsj.

Transmisi Steptronic Sports dwi-klac automatik dengan 7-kelajuan menyampaikan tenaga kepada kedua-dua roda hadapan.

Tiga mod pemanduan diberikan - Sport, Mid dan Green. Kami syak mod yang terakhir itu memungkin anda mencapai tahap penggunaan bahan api serendah 5.7 liter untuk setiap 100 km.

 

 

Kali pertama melihat Mini seksi tanpa bumbung ini, warna hijau Petronas Bebaskan Gerak Mu itu tidaklah begitu mengujakan sebenarnya.

Namun bila teringatkan enjin 2.0L turbo itu, terus terdetik di hati - adakah ini seperti varian John Cooper Works dahulu yang sepantas kilat tetapi dengan sistem gantungan yang mampu menggugurkan kandungan lemak secara paksaan kerana terlalu keras? 

Seperti biasa, anak-anak sudah seronok dan mahu menaikinya. Itu adalah kelebihan mana-mana model convertible atau cabriolet - lebih hebat dari efek sunroof yang sebenarnya membosankan selepas dua minggu.

 

 

Untuk membuka bumbung, cuma tarik suis dan pegang selama ia melakukan "tarian kipas" itu. Hanya 18 saat dan proses itu lengkap. Ia juga boleh dilakukan semasa Mini ini dipandu pada kelajuan tidak melebihi 30 kmsj.

Prestasi sebenar enjin ini tidak begitu dirasakan pada awalnya. Ia lebih bersahaja, dan transmisi juga terasa lancar.

Bahagian kabin yang luas menambahkan lagi ciri-ciri keselesaan kenderaan ini dan membuatkan kita tidak rasa terpekup di dalam bilik stor.

Dengan bumbung dibuka, lagilah terasa luasnya cuma segan bila ramai mata memandang.

 

 

Logo Union Jack jelas kelihatan pada atas bumbungnya dan juga elemen yang sama digunakan pada lampu LED di belakang. 

Ya, walaupun jenama ini milik Jerman dan convertible ini dipasang di Netherlands, logo Union Jack itu ada di merata-rata tempat pada kereta ini.

Bila pendikit ditekan dengan lebih agresif, barulah enjin itu "hidup" dan corong ekzos berkembar itu mula menghasilkan bunyi meletup-letup seperti pada Volkswagen Golf GTI.

Di laluan lurus, kelajuan akan membosankan kerana kurang cabaran. Mini ini juga tidak menunjukan keistimewaannya bila di laluan lurus. Ia senyap (untuk sebuah convertible) dan penulis masih mampu berbual dengan penumpang walaupun bumbung terbuka dan kelajuan di bawah 100 kmsj.

 

 

Bunyi radio memang lebih jelas dan lebih padat bila bumbung dinaikan. Bunyi angin tetap wujud, sesuatu yang mana-mana convertible dengan bumbung kanvas (anti toreh ya) akan hadapi.

Kecemerlangan teknologi BMW mula menyinar bila Mini ini sampai di kawasan berliku-liku. Di sinilah penulis sangat bersyukur kerana Mini ini dapat pada tangan BMW, bukan Mercedes-Benz, bukan Volkswagen dan bukan mana-mana syarikat China yang berfikiran semua benda boleh dibeli dengan duit.

BMW sendiri sudah terkenal dengan ciri-ciri pemanduan yang hanya didambai oleh peminat automotif. Pada Mini, BMW turunkan segala ilmu mereka untuk menjadikan Mini ini sehebat yang disangkakan, tanpa sistem gantungan yang terlalu keras sehingga menyakitkan tulang tongkeng.

Pengendalian ala gokart itu cukup nikmat bila memandu jentera ini di jalan-jalan yang tidak henti-henti dengan selekoh. 

 

 

Kadang-kadang terasa sakit hati juga bila tiang A yang tebal itu menggangu tetapi penulis lebih menggunakan tingkap sisi untuk melihat "ke dalam" selekoh bila memandu laju di kawasan itu.

Stereng, brek dan pendikit cukup bijak untuk memberikan balik respon dan "rasa" bagi penulis mengawal dan memandu Mini ini hampir kepada batasan cengkaman tayar atau sistem gantungannya.

Ia memang cukup-cukup menyeronokan dan membuatkan penulis terasa seperti mahu memandu Mini ini ke 1,000 Corners di Thailand.

Tiba di rumah, si isteri sudah menunggu dengan muka serius.

 

 

"Kenapa lambat sangat balik? Saya kena ke menghantar anak ke pusat tuition, kemudian kena ke pasar untuk beli barang dapur dan kemudian ke pasaraya untuk mencari baju," ujarnya sambil mengambil kunci Mini.

Pelik juga kerana ada lagi empat kenderaan yang boleh dipandu di rumah, tetapi beliau sanggup tunggu tiga jam untuk membawa Mini ini.

Itulah Mini - diminati oleh si isteri, didambai oleh si suami.

Lebih hebat dari godaan anak dara. 

 

 

Mini Malaysia memberikan waranti tanpa had perbatuan untuk empat tahun bagi Cooper S Convertible ini.

Cuma jika anda membeli model ini sebelum tarikh merdeka (31 Ogos 2019), Mini Malaysia akan memberikan anda pakej Ulang Tahun Ke-60, iaitu:

- Waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan
- Servis percuma selama lima tahun atau 80,000 km, mana yang terdahulu (Pakej 60 Bulan Mini Service + Repair Inclusive) 

Skim pembayaran Balloon Financing dari BMW Group Financial Services Malaysia pula membolehkan anda membayar sebanyak RM3,028 sebulan, berdasarkan bayaran pendahuluan 20 peratus dan  pinjaman 80 peratus selama lima tahun.

Oleh kerana cuma ada 20 unit sahaja di Malaysia, siapa cepat, dia dapat! 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Sejak diperkenalkan buat pertama kalinya di Malaysia pada 2011, MINI Countryman telah mendapat…
Berita Domestik
Pelanggan yang membuat pembelian jentera MINI baharu akan dapat menikmati kadar faedah serendah 0.…
Kereta
Ruang ekzos digunakan untuk mengisi bateri 32.6 kWh dan kerana Mini ialah sebuah kenderaan yang…