Pandu Uji Pertama: Perodua Axia 2023, hatchback segmen A paling berbaloi?

oleh Mohamad Hanif|
Seusai Perodua menyingkap tirai Axia 2023, para pengamal media turut diberikan peluang untuk merasai sendiri pemanduan hatchback segmen A tersebut.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Kali ini bukanlah di dalam litar ujian di kilang Rawang, akan tetapi laluan sejauh lapan kilometer yang sengaja dipilih berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang.

Mungkin supaya orang ramai lebih teruja untuk menempah kereta baharu ini, almaklumlah tempahan Perodua setakat semalam sudah melebihi 3,500 unit.

Tidak mahu berceloteh panjang, penulis senaraikan lima perkara menarik yang ada pada Axia 2023 berdasarkan pandu uji singkat yang dibuat baru-baru ini.

 

1. Platform

Axia


Platform DNGA yang digunakan pada Axia kali ini merupakan antara penyumbang terbesar kepada pengalaman pemanduan Axia yang mengujakan.

Untuk makluman, Axia 2023 merupakan model ketiga yang dibangun atas platform DNGA selepas Ativa dan Alza.

Dengan adanya platform baharu DNGA ini, dimensi Axia 2023 kini lebih besar berbanding model terdahulu, dan secara tidak langsung ia menjadikan Axia lebih selesa dengan ruang kabin yang lebih besar.

Selain itu, pemanduan Axia ketika di selekoh dirasakan lebih stabil dengan respons stereng yang lebih mudah dikawal.

Talaan suspensi juga kini lebih selesa, tidak terasa olengan badan yang mampu membuatkan peluh dingin anda menitik. Namun sejujurnya sukar untuk penulis ulas lebih lanjut berdasarkan sesi pemanduan yang sangat ringkas itu.

 

2. Tiada enjin turbo...tapi..

Axia


Harap maaf, kepada mereka yang mahukan nadi turbo, adalah lebih baik kami sarankan anda beli Perodua Ativa.

Perodua Axia 2023 masih lagi cuba mengekalkan statusnya sebagai kereta marhaen yang mampu milik, jadi enjin tiga silinder asal 1KR-VE 1.0 liter masih lagi wujud di sebalik bonet.

Cuma, transmisi asal automatik empat kelajuan telah dihukum buang daerah, dan digantikan dengan transmisi D-CVT.

Menurut Perodua, transmisi D-CVT ini menyumbang kepada kadar penggunaan bahan api yang lebih jimat, dan mereka mendakwa satu liter petrol membolehkan Axia 2023 berjalan sejauh 23.2 km (4.31 liter/100 km).

Berdasarkan pemanduan ringkas sepanjang lapan km semalam, Axia masih lagi didapati mengekalkan 'bunyi bising' tipikal sewaktu memulakan perjalanan, namun anda akan merasakan ruang kabin yang lebih senyap sewaktu kereta berada dalam julat kelajuan lebuh raya.

Tiada 'shift shock', pengedaran kuasa juga dirasakan lebih lancar, sama seperti apa yang penulis rasakan pada model Myvi facelift sebelum ini.

 

3. Kereta murah yang mesra pemandu

Axia


Salah satu perkara yang penulis tidak gemar pada Axia lama ialah postur pemanduan yang tidak ergonomik. Untuk perjalanan jarak jauh, masalah kepenatan itu sememangnya menghantui.

Namun sebaik sahaja penulis masuk dalam kabin Axia, segala kelemahan yang dirisaukan pada model ini (serta Myvi) lesap sama sekali.

Untuk Axia 2023 (khususnya varian AV), ia telah didatangkan dengan tempat duduk ala bucket yang lebih selesa, kusyen yang menyokong bahagian bawah peha menjadikan kaki tidak rasa tergantung, serta posisi tombol gear yang lebih tinggi bagi memudahkan tangan kiri mencapai.

Seperkara yang penulis hargai ialah roda stereng yang kini boleh dilaras posisinya, walaupun hanya larasan 'tilt' sahaja yang disediakan.

Namun penambahbaikan itu merupakan satu perkara yang penulis amat hargai untuk sebuah kereta aras mula.

Sukar untuk menduga tahap kepenatan mengendalikan hatchback ini, memandangkan jarak pemanduan yang agak singkat.

Mungkin satu masa kelak, kami akan kongsikan lebih pengalaman pemanduan jarak jauh untuk panduan anda, kerana penulis tahu kebanyakan rakyat Malaysia gemar juga memandu Axia untuk jarak jauh. Terutama naik Genting. Itu wajib!

 

4. Papan pemuka, dah macam Lexus!

Axia


Ok, untuk membandingkan Perodua dan Lexus mungkin satu perkara yang keterlaluan.

Namun, apa yang penulis gemar pada Axia 2023 ialah susun atur papan pemuka yang kini jauh lebih moden berbanding Axia terdahulu.

Skrin di bahagian tengah, jika anda perasan ia tidak diletakkan pada satu garis melintang yang lurus, sebaliknya ia sengaja diposisikan senget supaya skrin paparan itu menghadap ke arah pemandu.

Mudah untuk pemandu mencapai fungsi yang diinginkan di sebalik skrin sembilan inci itu.

Satu ciri yang wujud pada kereta-kereta Lexus kini sudah tersedia untuk kereta Perodua. Biarpun harga murah, tapi pengalaman pemanduan yang premium.

 

5. Lebih banyak ciri moden dimuatkan

Axia


Varian AV yang kami pandu uji dalam masa singkat itu dilengkapi dengan skrin kluster digital tujuh inci, skrin infohibur sembilan inci, serta sistem kawalan iklim digital.

Selain daripada kelengkapan ASA 3.0, varian AV juga turut mendapat ciri tambahan seperti Bantuan Suluhan Tinggi Automatik (AHB), Amaran dan Pengelakan Keluar Lorong, Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) dan enam beg udara.

Disebabkan faktor kos, mungkin agak sukar untuk menyeragamkan ciri keselamatan yang disebutkan di atas untuk semua varian.

Namun usah risau, kerana bermula dari varian terendah Axia 2023 sudah pun mendapat ciri standard seperti dua beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Kenderaan, serta Bantuan Mula Mendaki.

Perodua Axia 2023 bakal dilancarkan tidak lama lagi, dengan empat varian dan harga jualan bermula dari RM38,600 hingga RM49,500 untuk varian AV.

Baca: Perincian Perodua Axia 2023 mengikut varian

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Hadir sebagai generasi kedua, The New All-Electric MINI Cooper menampilkan prestasi dan jarak gerak…
Informasi
Minggu lalu, GWM Malaysia telah mengumumkan harga jualan bagi Tank 300 ini yang diimport sepenuhnya…
Kereta
VW Touareg merupakan SUV pertama bagi jenama VW, tetapi ia seolah-olah ‘underated’ bagi kalangan…