Proton e.MAS 5 datang sebagai sebuah EV yang menyasarkan pengguna harian yang mahukan kereta ringan untuk bergerak dalam bandar.
Ia sesuai untuk pekerja yang berulang-alik ke pejabat, golongan bujang yang bergerak dari point A ke B tanpa banyak ragam, dan tidak terkecuali makcik-makcik atau gadis-gadis yang mahu kenderaan yang senang dipandu tanpa pening kepala fikir minyak. Secara ringkas, model ini menawarkan pakej lengkap pada harga yang sangat mesra pemilik baru.
Dari segi reka bentuk, ia berada dalam segmen B dengan bentuk badan yang rounded dan comel. Tiada front grille besar kerana ini sebuah EV, jadi pengudaraan tidak memerlukan ruang sebesar kereta ICE biasa.
Pada sisi, terdapat side fender glading berwarna hitam dan rim two-tone aerodinamik bersaiz 16 inci dengan tayar 205/60 R16.
Padanan warna two-tone dengan bumbung hitam membuatkan rupanya tampil lebih segar dan moden. Bahagian belakang pula tampil ringkas tanpa elemen keterlaluan, dengan susunan logo Proton dan emblem e.MAS 5 yang kemas dan sedap mata memandang.
Model ini menggunakan bateri CATL LFP berkapasiti 40.16 kWh yang memberikan jarak operasi sehingga 325 km mengikut kitaran WLTP.
Untuk kegunaan bandar, jarak ini sebenarnya sangat mencukupi. Pengecasan pantas DC menyokong sehingga 71 kW dan 30 hingga 80 peratus boleh dicapai dalam sekitar 21 minit, manakala pengecasan AC 6.6 kW dari kosong hingga penuh mengambil masa kira-kira enam jam, sesuai untuk pengecasan di rumah pada waktu malam.
Jika gaya pemanduan agresif, penggunaan bateri tentunya lebih cepat susut, tetapi bagi penggunaan harian biasa ia tidak membimbangkan.
Masuk ke bahagian kabin, suasananya tampak bersih dan moden. Material hard touch masih digunakan pada beberapa bahagian untuk mengekalkan kos yang lebih rendah, namun keseluruhan ruang dalaman tetap kelihatan premium.
Di tengah papan pemuka terletaknya skrin infotainment besar 14.6 inci Full HD yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto secara wireless. Sistem ini digerakkan oleh Atlas Auto OS yang menawarkan tetapan Bahasa Melayu dan English, malah voice command juga berubah mengikut bahasa yang dipilih.
Paparan tersebut turut memaparkan status bateri, sistem navigasi, serta turut mempunyai fungsi Live Charging Map untuk merancang perjalanan dan lokasi pengecasan sebelum memulakan trip.
Ruang storan dalam e.MAS 5 juga sangat praktikal. Kru Careta amat suka ruang 20 liter di bawah konsol tengah kerana ia cukup besar untuk handbag, lebih selamat daripada diletakkan di kerusi penumpang yang mudah menarik perhatian penjenayah. Dua port USB Type C dan Type A juga berada di bahagian bawah supaya kabel tidak bertaburan di atas permukaan konsol.
Butang fizikal untuk kawalan penghawa dingin, hazard dan brek parkir masih dikekalkan, memudahkan operasi tanpa perlu menekan menu pada skrin. Knob gear kristal pula menambah sentuhan premium yang minimalis.
Kerusi dibalut material leatherette, dan pilihan warna putih memang cantik walaupun sedikit tinggi risiko untuk kotor.
Tempat duduk hadapan direka bersama stereng flat bottom yang memudahkan keluar masuk terutamanya untuk individu berbadan besar.
Pada bahagian belakang, ruang kaki dan kepala terasa cukup selesa walaupun Kru Careta berketinggian 169 cm. Malah ruangnya terasa hampir seperti sebuah kereta segmen C.
Lantai pula rata menjadikan pergerakan lebih mudah, dan tambahan corong aircond belakang menambah keselesaan untuk penumpang.
Untuk ruang kargo, e.MAS 5 menawarkan 375 liter kapasiti but dan boleh mencecah sehingga 1320 liter apabila kerusi belakang dilipat rata.
Lebih menarik, bahagian depan mempunyai frunk 70 liter yang boleh digunakan untuk barang basah atau makanan berbau seperti durian tanpa menjejaskan udara dalam kabin.
Di bawah kerusi belakang pula ada satu lagi ruang simpanan 28 liter yang sesuai untuk kasut atau payung, menjadikan keseluruhan ruang penyimpanan dalam kereta ini sebanyak 32 ruang.
Dalam sesi pandu uji tersebut, laluan bermula dari Proton COE Shah Alam menuju ke Genting Highland dengan beberapa hentian termasuk di Petaling Jaya, Jalan Alor untuk mencuba durian, dan Bamboo Hills bagi tujuan pengecasan semula.
Sepanjang pemanduan, e.MAS 5 membuktikan dirinya sebagai kereta bandar yang lincah. Maneuverability dan handling terasa ringan, turning radius 4.9 meter sangat membantu sewaktu u-turn sempit atau parkir padat.
Mendaki Karak dan Genting juga tidak menjadi masalah kerana tork segera dari motor elektrik memberikan respon yang mencukupi.
Sistem suspensi menggunakan MacPherson Strut di depan dan Independent Multilink di belakang. Talaan suspensi jelas lembut dan lebih memihak kepada keselesaan.
Walaubagaimnanapun, ketika jalan bumpy, kereta terasa sedikit bergoyang dan berpotensi membuat sesetengah penumpang rasa pening, namun reka bentuk tempat duduk membantu memegang badan dengan baik.
Karakter pemanduan keseluruhan terasa smooth, linear dan sangat sesuai untuk trafik bandar.
Varian Premium yang dipandu dikuasakan motor elektrik berkuasa 116 PS dan 150 Nm dengan pacuan roda belakang.
Kuasa ini tidak mengejutkan tetapi cukup untuk kegunaan harian dan untuk pemandu berhemah ia mampu mencapai jarak yang memuaskan tanpa range anxiety.
Perjalanan pendek ke luar bandar seperti ke Melaka boleh dicapai jika tidak terlalu agresif. Tahap NVH juga sangat baik, kabin senyap tanpa gangguan bunyi luar.
Sistem keselamatan pula dilengkapi dengan enam beg udara, ADAS tahap dua serta kamera 360 darjah yang sangat membantu ketika meletak kenderaan di ruang sempit. Dua varian ditawarkan iaitu Prime pada harga RM56,800 dan Premium RM69,800, harga istimewa ini sah sehingga 31 Disember sahaja sempena pelancaran.
Kesimpulannya, Proton e.MAS 5 ialah sebuah EV harian yang sangat berbaloi dengan pakej teknologi moden, ruang dalaman bijak, prestasi yang mencukupi serta pemanduan yang santai.
Ia bukan model untuk mereka yang mencari pengalaman agresif, namun bagi sesiapa yang mahukan kenderaan elektrik praktikal yang mudah dimiliki, e.MAS 5 sememangnya antara pilihan paling masuk akal dalam pasaran sekarang.
Dengan harga yang kompetitif dan ciri lengkap untuk kegunaan bandar, tidak mustahil EV ini menjadi pintu masuk ramai pengguna kepada dunia elektrik.
KRU Careta : Hafiz Hashim