Pandu Uji: Ranger Raptor spek Malaysia - lagi sedap! (RM199,888)

oleh HEZERI SAMSURI|
Jika kita bercerita mengenai trak pikap premium, semua jenama-jenama pikap di dalam negara akan mempunyai varian premium masing-masing.

Namun begitu, Ford Malaysia berjaya sekali lagi untuk menjadi yang pertama di dalam pasaran tempatan dengan penghasilan genre baharu - trak pikap premium berprestasi tinggi.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dan oleh kerana jenama lain tidak ada langsung sesuatu yang sepertinya, maka Raptor ialah satu-satunya pilihan di dalam kategori itu.

Kali pertama Careta memandu uji Ranger Raptor ini ialah di Darwin, Australia.

 

 

Di sana, bentuk mukabumi yang lebih cenderung kepada tanah rata savannah berpasir memang sesuai untuk sistem gantungan dengan penyerap hentak prestasi tinggi Fox.

Ia juga suka melompat - dan lompatan demi lompatan langsung tidak membuatkan trak pikap ini gusar. Malah, ia seperti bersahaja tanpa drama.

Selepas dilancarkan di Malaysia, Sime Darby Auto Connexion tidak sangka ia menerima sambutan yang hebat. Permintaan yang melebihi bekalan itu menyebabkan ada senarai yang panjang untuk trak pikap bangsawan ini.

Careta diberikan satu unit Raptor ini untuk dipandu uji di Malaysia dan kali ini, kami dapat bandingkan dengan varian yang dipandu uji di Australia tahun lalu.

 

 

Dari segi spesifikasi, kesemuanya masih sama dari segi teknikal. Tidak ada yang berbeza, cuma talaan sistem gantungan dipercayai sudah ditukar untuk lebih cenderung kepada keadaan bentuk mukabumi di Asean.

Unit yang diterima ialah warna kelabu Conquer Grey - yang pada pendapat penulis, jauh lebih garang dari warna biru Lightning Blue yang kelihatan sedikit "fancy" dan sesuai untuk "anak kesayangan ibu".

Enjin diesel 4-silinder dengan Bi-Turbo menghasilkan 213 PS pada 3,750 rpm dan 500 Nm dari 1,750 ke 2,000 rpm.

Transmisi ialah automatik dengan 10-kelajuan, sama seperti yang ada pada Wildtrak dan XLT Plus.

 

 

Yang berbeza dari Ranger lain ialah sistem komputer 4WD Terrain Management dengan mod Baja.

Ini bukan baja kompos yang diberikan oleh kerajaan untuk kebun ayah kita di Felda, tetapi Padang Pasir Baja (sebutannya ba-ha) yang terletak di California, US dan Mexico - terkenal dengan perlumbaan Baja 1000.

Bahagian luaran dan dalaman sama seperti apa yang Careta pandu di Darwin. 

Raptor adalah 150 mm lebih lebar dari Ranger biasa, dan 50 mm lebih tinggi juga.

Jarak antara roda kiri dan kanan (track width) untuk Raptor turut berbeza - 150 mm lebih lebar dari Ranger Wildtrak.

Dari segi berat, Raptor yang mempunyai berat kasar (kerb weight) 2,325 kg adalah 243 kg lebih berat dari Wildtrak 2.0L BiTurbo.

Ternyata kerangka yang lebih tegap serta saiz tayar yang besar menjadi penyumbang utama.

Saiz tempat kargo di belakang (truck bed) sama dengan Ranger yang lain dan begitu juga keluasan kabin Ranger Raptor - sama dengan Ranger yang lain.

 

 

Namun begitu, kemasan Raptor jauh lebih premium dan lebih agresif. Tempat duduk bucket dengan lapisan Alcantara, papan pemuka dengan panel meter yang jauh lebih cantik dan sporti serta fungsi-fungsi Noise Cancellation yang menjadikan kabin Raptor lebih senyap dari biasa memang membolehkan Ford memanggilnya trak premium.

Pemanduan ringkas Careta bermula dari Petaling Jaya ke Bestari Jaya, menguji cara sistem gantungan itu menyerap jalan-jalan persekutuan yang terumbang-ambing ibarat lautan dilanda gelora.

Nyata, ia selesa seperti sebuah kereta sedan segmen D. Di Darwin, penulis dapat merasakan sedikit gegaran dari tayar jenis All Terrain (AT) dari BF Goodrich (direka khusus untuk Raptor, siap dengan produk kod Ford).

 

 

Walaupun ia jenis All Terrain, corak bunga tayar BF Goodrich itu nampak agresif seakan tayar jenis Mud Terrain.

Apapun, spesifikasi di Malaysia, tayar AT ini lebih senyap dan tidak memberikan gegaran kepada penumpangnya.

Bunyi angin dari tayar tetap wujud, tetapi lebih terdengar pada kelajuan melebihi 130 kmsj. 

Sepanjang pemanduan kami, jalanraya kering dan cengkaman maksimum dari tayar-tayar "oversized" itu memadai.

Meredah ke kawasan off-road di tempat tasik-tasik lombong tinggal, Raptor menunjukan taring sebenarnya.

Tenaga dari enjin dihantar kepada semua tayar dan cengkaman baik membolehkan kami meredah pasir dan lumpur serta batu-batu dengan mudah.

 

 

Tidak langsung ia "mengeluh" atau seolah akan terbenam, walaupun di kawasan yang kami kira akan memberikan masalah kepada trak Ranger Wildtrak dengan tayar Highway Terrain (HT) standard.

Bila penulis menggunakan Baja Mode, sistem komputer membenarkan ekor Raptor ini "menggeli-geli" sedikit sebelum ia merampas kembali kawalan agar keadaan selamat.

Mod-mod pemanduan lain turut ada dan sistem ini mudah digunakan.

Dari segi pemanduan di atas lebuhraya, ia selesa seperti kereta. Tidak ada bunyi dengung dari tayar yang lebar, dan tidak ada hentakan kronik bila melanggar lubang atau bonggol kecil. 

Sistem gantungan pelbagai pegas dari Ford Everest SUV yang dipasang pada belakang pikap premium ini memang memberikan Raptor pengendalian dan keselesaan yang lebih baik dari Ranger biasa.

 

 

Ya, ia tetap trak pikap tetapi tidak teruk seperti yang anda andaikan. Kami kira semua boleh mengadaptasi diri mereka dengan Raptor ini.

Hantaran tenaga dari enjin dengan dua turbo ini memang seolah-olah tidak ada "turbo lag", walaupun cuma enjin 2.0 liter yang digunakan.

Prestasi memecut juga memadai untuk trak sebesar ini dan kemampuan untuk memotong kenderaan di atas lebuhraya sudah lebih dari mencukupi.

Di kawasan urban, parkir tidaklah menjadi masalah besar. Ia dilengkapi dengan sensor radar dan kamera undur. Cuma tidak seperti Wildtrak, ia tidak mempunyai sensor parkir di hadapan.

 

 

Begitu juga dengan alatan keselamatan "high-tech" seperti Adaptive Cruise Control, Forward Collision Warning, Lane Departure Warning and Assist, Semi Automatic Parallel Parking dan Autonomous Emergency Braking lengkap dengan Vehicle and Pederestrian Detection.

Raptor juga mempunyai "payload" atau berat muatan yang lebih rendah dari Ranger lain - 600 kg berbanding dengan 1,000 kg. Mungkin kerana Raptor tidak menggunakan sistem spring daun (leaf spring) di belakang.

 

 

Untuk offroad, Raptor masih lagi kekal "champion" - 

  • Jarak lega bumi 283 mm
  • Kebolehan meredah air sedalam 850 mm (50 mm lagi dalam dari Ranger biasa)
  • Tayar BF Goodrich selebar 285 mm,
  • Sistem gantungan Fox Racing Shocks yang memberikan 30 peratus lebih gerakan berbanding penyerap hentak biasa
  • Plet pelindung besi di bahagian bawah melindungi enjin dari hentakan batu-batu 
  • Sudut "approach" 32.5-darjah, sudut "departure" 24-darjah dan sudut "break-over" pada 24-darjah memudahkan Raptor mendaki dan menurun tanpa tersangkut pada bamper depan atau belakang.

 

 

Ya, Raptor memang sebuah trak yang berkebolehan dan juga pintar (sambungan pintar ke iPhone atau ke telefon Android), tetapi paling penting, ia memberikan anda imej yang sukar diberikan oleh trak standard lain.

Baca artikel pandu uji Careta di Darwin. 
https://careta.my/article/ranger-raptor-pandu-uji-di-darwin-australia

Di bawah ialah VLOG ringkas kami berkenaan Raptor ini.


 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Selepas itu, Latihan Kemahiran 4WD Sarawak 4x4 Training Academy (Sar4Trac) pula akan diadakan, yang…
Berita Global
Isuzu D-Max menjadi kenderaan ketiga paling popular di negara kangaroo itu, dengan jualan sebanyak…
Berita Global
  Selain itu, XR3 dijual pada harga yang berdaya saing dan gabungan ciri-ciri tersebut…