Pandu Uji Ringkas: Ferrari 296 GTB membelah Litar Sepang!

oleh Mohamad Hanif|
Sejujurnya, sampai sekarang penulis masih lagi memiliki perasaan gementar biarpun pengalaman membawa sebuah Ferrari yang pantas sudah pun berlalu sejak dua minggu yang lalu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ini kerana, ini merupakan kali pertama penulis diberikan peluang untuk melenjan sebuah supercar secara halal di dalam kawasan persekitaran yang terkawal, selepas kali terakhir (dan juga kali pertama) penulis diberikan peluang menguji Ferrari Roma secara sopan di atas jalan raya sekitar KL dan Putrajaya.

Setibanya di Litar Antarabangsa Sepang pagi 4 Julai, kami para pengamal media diberikan penerangan berkenaan atur cara program sebelum menunggu giliran masing-masing untuk memandu Ferrari 296 GTB.

Ferrari 296 GTB.
 

296


Rupa paras luaran Ferrari ini mengingatkan kita kepada beberapa jentera ikonik, seperti contoh kereta lumba klasik 250 LM, tidak ketinggalan supercar moden seperti SF90 Stradale.

Bahagian belakang menampilkan 'ekor' yang boleh disimpan, dan ia sebenarnya merupakan sebahagian daripada sistem aerodinamik aktif yang mengingatkan kita kepada model LaFerrari.

Menurut Ferrari, sistem aktif ini berupaya menjana downforce seberat 360 kg pada kelajuan 250 km/j, atau bersamaan berat tiga orang manusia yang diikat rapi di atas jentera ini.
 

296 GTB


Sama seperti model-model moden Ferrari, 296 GTB turut menampilkan antaramuka digital yang minimalis, di mana ia hadir dengan skrin kluster digital 16 inci di hadapan pemandu, diikuti dengan roda stereng dengan butang fungsi jenis kapasitif.

Bahagian tengah pula menempatkan kawalan transmisi gear-shift gate yang sangat klasik mengingatkan kita kepada model Ferrari terdahulu.

Disebabkan perubahan peraturan emisi semasa, tiada nadi bentangan V12, V10, atau V8 yang wujud di dalam jentera terbaharu Ferrari ini.
 

296


Sebaliknya, ia menggandingkan enjin V6 bersesaran 2.9 liter turbo berkembar dengan motor elektrik, dan secara keseluruhan mampu menghamburkan kuasa setinggi 818 hp dan 740 Nm.

Ya, ia adalah sebuah Ferrari.
Ya, ia adalah sebuah jentera plug-in hybrid.

Dan ia juga adalah sebuah jentera V6 Ferrari yang halal digunakan di atas jalan raya selepas kali terakhir nadi V6 ini muncul di dalam Ferrari Dino.

Juga selepas jentera F1 yang kini menggunakan nadi V6 hibrid.
 

296


Melihatkan kepada penglibatan Ferrari secara aktif di dalam sukan F1, sudah pasti terselit beberapa teknologi termaju pada model 296 GTB ini.

Untuk mengendalikan sebuah jentera Ferrari yang begitu berkuasa ini, setiap media akan ditemani dengan seorang tenaga pengajar yang akan memberikan 'arahan' menentukan titik mana pedal brek perlu dipijak dan titik mana pula pedal pendikit perlu ditekan sepenuhnya.

Saat pertama penulis melabuhkan punggung di atas kerusi Ferrari 296 GTB, rasa gementar semakin menggila memandangkan ia merupakan kali pertama penulis diberikan peluang untuk mengendalikan sebuah Ferrari dalam habitatnya yang sebenar - litar.
 

296


Sesi pemanduan bermula, dan Ferrari 296 GTB pada ketika ini berlepas keluar dari pit memulakan pemanduan menggunakan mod elektrik sepenuhnya (eDrive).

Tak sangka pula sebuah Ferrari boleh sesenyap begini tatkala di dalam minda penulis menggambarkan semua Ferrari mengeluarkan bunyi yang garang.

Sambil itu, tenaga pengajar Ferrari memberikan penerangan serba sedikit perbezaan di antara mod-mod pemanduan yang ada pada 296 GTB (eDrive, Hybrid, Performance, Qualify) yang boleh diakses menerusi punat eManettino pada stereng.

Menurutnya, dalam mod Performance Ferrari 296 GTB mampu menghamburkan 80 peratus kuasa manakala mod Qualify pula membebaskan 100 peratus kuasa sedia ada untuk dilenjan.
 

296


Saat mod Performance dipilih, 296 GTB ini terus menghasilkan bunyi yang garang, dan semakin jauh pendikit ditekan ke dalam, semakin garang alunan bunyi menguasai ruang kabin.

Untuk pemanduan kereta biasa di SIC, penulis biasanya sudah pun menekan brek lebih awal sebelum memasuki selekoh, namun di dalam Ferrari 296 GTB ini penulis perlu sentiasa memastikan jantung beroperasi dengan baik disebabkan tekanan G yang dirasai sewaktu brek lewat.

Di dua seksyen jalan lurus, penulis tidak melepaskan peluang untuk menikmati tujahan kuasa yang dihamburkan oleh nadi V6 + motor elektrik itu, dan untuk mencapai kelajuan melebihi 250 km/j, kacang sahaja.
 

296


Apa yang membuatkan penulis teruja dengan Ferrari 296 GTB ini bukanlah sekadar tujahan kuasa yang ditawarkan, akan tetapi pakej pemanduan yang begitu menyeronokkan lahir dari sebuah jentera bernadi V6.

Aspek tersebut dibantu dengan dimensi yang kompak (untuk sebuah Ferrari) dengan jarak antara roda yang terpendek di kalangan model Ferrari sedia ada (2,600 mm) serta disumbangkan oleh pengagihan berat badan 40.5% depan dan 59.5% di belakang.

Menawarkan pengendalian seperti sebuah go-kart yang disuap Red Bull.

Selain daripada itu, Ferrari 296 GTB turut didatangkan dengan sistem kawalan elektronik (eTC, eDiff, SCM, ABS Evo) yang membolehkan pemandu 'noob' seperti penulis ini mampu menikmati keseronokan pemanduan yang diharapkan daripada sebuah Ferrari.
 

296


Lebih mengujakan apabila Ferrari Malaysia memberikan kami peluang untuk menikmati pusingan penuh Litar Sepang sebanyak enam kali (termasuk satu pusingan 'cool lap') bagi membolehkan kami merasai sendiri pengendalian Ferrari yang mantap, kuasa yang tidak putus-putus hadir dibantu dengan sistem brek yang sangat-sangat diperlukan setiap kali muncung 296 GTB ini bertemu selekoh.

Disebabkan terlalu teruja, penulis pernah sekali hampir hilang kawalan di salah satu seksyen selekoh.

Mujur tenaga pengajar bersifat cool dan mengatakan "don't worry, don't worry" sambil membetulkan kesilapan penulis dengan menunjukkan 'racing line' yang betul sepanjang pemanduan di Litar Sepang itu.

Dalam hati, penulis menarik nafas lega kerana melakukan kesilapan ini di Litar Sepang.

Ini kerana kesilapan yang dilakukan itu sebenarnya mampu membahayakan pengguna jalan raya lain sekiranya ia dibuat di atas jalan raya.
 

296


Jadi, penulis amat menyarankan jika anda diberikan peluang untuk merasai sendiri pengalaman mengendalikan jentera berkuasa tinggi di dalam litar, gunakan peluang itu sepenuhnya untuk menajamkan lagi kemahiran pemanduan anda.

Tanpa disedari, habis sudah lima pusingan lengkap di Litar Sepang memandu sebuah Ferrari 296 GTB untuk sesi bertempoh 15 minit.

Sambil melayan perasaan 'tak puas hati' sebelum memasuki pit, penulis sebenarnya cuba membandingkan pemanduan 296 GTB ini dengan sebuah lagi Ferrari yang pernah dicuba sebelum ini - Roma.
 

296


Jika Roma sesuai dengan imej yang elegan, namun dengan 296 GTB anda mampu menikmati hamburan kuasa yang gila namun masih lagi boleh dikawal dan digunakan sebagai kenderaan harian - itu pun jika penulis mempunyai simpanan wang KWSP yang secukupnya.

Dan siapa sangka, ia juga sebenarnya sebuah Ferrari yang boleh dipandu sejauh 25 km dengan hanya menggunakan tenaga elektrik semata-mata.

296 GTB, boleh jadi sebuah supercar yang garang, dan dalam masa yang sama masih mampu menghormati jiran tetangga.
 

296


Spesifikasi Ringkas Ferrari 296 GTB
Enjin: 2.9 liter V6, turbo berkembar
Kuasa Kuda: 654 hp (218 hp per liter)
Motor elektrik: 164 hp/315 Nm
Kuasa gandingan: 819 hp, 740 Nm
Transmisi: DCT lapan kelajuan
0-100 km/j: 2.9 saat
0-200 km/j: 7.3 saat
Kelajuan maksimum: 330 km/j
Pek bateri: 7.45 kWh
Jarak gerak elektrik: 25 km (maksimum 135 km/j)

Harga jualan: RM1,228,000

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Siapa yang tidak kenal dengan SUV Honda CRV yang merupakan SUV terbesar dalam kalangan keluarga SUV…
Telah Diuji
Varian tertinggi terbaharu ini merupakan gabungan trenkuasa hibrid antara petrol dan motor elektrik…
Telah Diuji
Selain daripada jenama automotif Jepun, mereka yang mahukan kelainan boleh mendapatkan SUV jenama…