Pandu Uji Ringkas: Kia Carnival 2022, 'Econovan' era moden!

oleh Mohamad Hanif|
Seingat penulis, sewaktu usia masih lagi kecil, van-van seperti Ford Econovan atau Mazda Bongo kerap kali menjadi pilihan untuk bergerak bagi keluarga-keluarga besar untuk menghadiri kenduri-kenduri kahwin.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Tak semua ada kereta pada waktu itu, jadi van dengan bilangan tempat duduk yang banyak adalah pilihan yang sangat ideal untuk melakukan perjalanan bersama pakcik dan makcik, atuk dan nenek (sedekahkan Al-Fatihah kepada mereka yang sudah tiada).

Jadi, bila penulis melihat kembali susunan tempat duduk yang ada pada Kia Carnival 2022, ia seakan mengimbau kembali kenangan di zaman kanak-kanak, dan ya, pengalaman tersebut merupakan sesuatu yang sukar untuk diulang kembali pada masa kini.
 

Kia


Berita baik untuk keluarga moden dengan bilangan anak yang ramai - macam bos kami - Kia Malaysia kini menawarkan MPV generasi baharu Kia Carnival 2022 dengan konfigurasi 11 tempat duduk.

Namun, sebelum anda bergembira dengan kehadiran tempat duduk yang banyak itu, habiskan dahulu pembacaan anda pada artikel ini.

Berikut merupakan input penulis berdasarkan pandu uji ringkas yang dibuat tempoh hari:

 

1. Rekaan


Jika dibandingkan dengan anak gajah Kia yang terdahulu, rekaan Kia Carnival sudah jauh lebih moden, lebih garang dan lebih macho.

Tak salah untuk penulis simpulkan, ia amat sesuai untuk digunakan sebagai kenderaan seharian, disebabkan rupa paras yang tidak seperti tipikal MPV.

Ia masih lagi MPV namun dengan elemen SUV yang biasa kita lihat pada model-model SUV Amerika, seperti garis hud enjin yang lebih memanjang, jarak wheelbase yang lebih panjang, serta garis bumbung yang mewujudkan bayangan ruang kabin yang luas.
 

Kia


Lampu depan sememangnya kompleks, terdiri daripada unit suluhan rendah dan suluhan tinggi berasingan, diikuti dengan lampu nyalaan siang LED yang tajam.

Sayang sekali, lampu belakang masih lagi menggunakan kombinasi mentol. Tak seiring dengan penawaran moden di hadapan.
 

Kia


Namun, ia bukan satu masalah, kerana dari setiap sudut Kia Carnival masih lagi sangat cantik untuk dilihat dan diamati setiap hari.

Cuma yang merisaukan apabila posisi lampu membelok bahagian belakang diletakkan agak rendah, risau pemandu di belakang tidak sedar niat kita untuk menukar laluan.
 

2. Kuasa


Dari segi kuasa, Kia Carnival 2022 didatangkan dengan enjin Smartstream D2.2 liter diesel turbo yang mampu menghasilkan 199 hp @ 3,800 rpm dan 440 Nm @ 1,750 - 2,750 rpm.

Kuasa yang sama, namun Kia telah menggunakan blok aluminium yang menyumbang kepada penjimatan berat sebanyak 38 kg, sementara tekanan pemancit bahan api ditingkatkan kepada 2,200 bar (daripada 2,000 bar), serta tahap geseran needle bearing yang dikurangkan.

Hasilnya, enjin baharu ini mampu menjimatkan penggunaan bahan api dan masih lagi mengekalkan penawaran kuasa yang mencukupi untuk menggerakkan 'anak gajah' ini.
 

Kia


Dengan berat sekitar 2,008 kg (ditambah dengan kehadiran penumpang), ia bukanlah satu masalah besar.

Pedal pendikit ditekan, enjin ini mampu bekerja tanpa perlu bersusah payah atau menunjukkan tanda lelah, baik di dalam trafik sesak mahupun di lorong kanan lebuh raya.

Jimat? Menurut data rasmi, Kia Carnival memberikan pulangan penggunaan bahan api serendah 7.9 liter/100 km.

Setakat penggunaan dari Glenmarie ke Ipoh dan pulang semula ke Glenmarie pada hari yang sama, tidak sampai separuh pun minyak yang digunakan dalam tangki sebesar 72 liter itu.
 

3. Pengendalian


Dari tempat duduk pemandu, apa yang penulis dapat rasakan, Kia Carnival sememangnya memberikan pengalaman pemanduan seakan sebuah kereta walaupun pada zahirnya ia sebuah MPV.

Tahap respons roda stereng juga cukup memuaskan, tidak terlalu ringan sehinggakan pergerakan kenderaan sukar untuk dikawal terutama ketika kelajuan tinggi.

Pendek kata, Kia Carnival 2022 sangat mudah untuk dikawal, walaupun dimensi badan yang agak lebar dan panjang, ia bukanlah satu masalah besar bagi mereka yang sudah biasa.

Sistem suspensi turut ditala semula bagi menawarkan pemanduan yang lebih selesa sepanjang masa.


4. Anda mungkin tidak perlukan 11 tempat duduk pada satu-satu masa


Ya, konfigurasi 11 tempat duduk sememangnya agak banyak untuk standard keluarga zaman moden.

Namun usah risau, kerana baris keempat tempat duduk Kia Carnival ini boleh dilipat terus ke dalam lantai, memberikan anda ruang kargo yang jauh lebih luas.

Untuk akses ke baris ketiga (dan keempat), pengguna boleh melipat kerusi tengah (jump-seat) dalam keadaan menegak.

Berdasarkan cubaan untuk menjadi penumpang separuh masa (setelah sekian lama memegang stereng), penulis mendapati tempat duduk baris kedua dan ketiga memang selesa, namun untuk perjalanan jarak jauh, ia mungkin sedikit penat.
 

Kia


Ini kerana untuk mewujudkan ruang kepala yang luas, tempat duduk baris belakang diposisikan tidak cukup tinggi bagi menyokong bahagian peha, menjadikan kedudukan kaki agak tergantung.

Tapi setelah beberapa ketika, penulis akhirnya lena juga, mungkin kerana terlalu penat, atau terlalu selesa disebabkan hadirnya corong pendingin hawa bumbung untuk baris kedua dan ketiga.

Ditambah pula dengan kehadiran tirai di bahagian sisi, menjadikan ruang kabin lebih gelap dan selesa untuk melelapkan mata walau seketika.

 

5. Kia Carnival 2022 boleh jadi Transformers?


Antara ciri moden yang dimuatkan pada Kia Carnival adalah Smart Power Sliding Doors & Smart Power Tailgate.

Kedua-dua ciri ini menggunakan sistem operasi bebas tangan, dan hanya memerlukan kehadiran pengguna (dan kunci yang berbentuk macam mancis) itu berdekatan dengan mana-mana pintu sisi atau pintu belakang.

Hanya dalam masa beberapa saat, sistem buzzer akan berbunyi, lampu amaran bernyala dan pintu akan terbuka secara automatik.
 

Kia


Bukan itu sahaja, anda juga boleh membuka atau menutup ketiga-tiga pintu gelongsor dan pintu belakang secara automatik dengan hanya menekan butang Lock/Unlock pada kunci selama tiga saat.

Untuk mereka yang ada anak, ciri ini boleh dijadikan sebagai satu hiburan buat mereka.
 

Kia


Namun, Kia Carnival juga turut mempunyai ciri keselamatan seperti Safe Exit Assist bagi mengelakkan anak anda menjadi mangsa pelanggaran kenderaan dari arah belakang.

Dengan menekan butang khas, sistem ini akan mengesan kehadiran pergerakan kenderaan di luar sepantas 5 km/j, sebelum sistem buzzer berbunyi dan pintu tidak akan dibuka selagi keadaan di luar benar-benar selamat.
 

Kia


Ciri moden lain yang dimuatkan termasuklah tombol penukaran gear rotari (moden sangat ni!), paparan kamera keliling yang sangat-sangat jelas, diikuti dengan sistem infotainmen bersaiz 12.3 inci yang turut menyokong ciri wajib Apple CarPlay dan Android Auto.

Berapakah kos untuk kesemua ciri di dalam 'Econovan' moden ini?

Di pasaran Malaysia, Kia Carnival 2022 dijual pada harga bermula dari RM196,340 sahaja.

 

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Siapa yang tidak kenal dengan SUV Honda CRV yang merupakan SUV terbesar dalam kalangan keluarga SUV…
Telah Diuji
Varian tertinggi terbaharu ini merupakan gabungan trenkuasa hibrid antara petrol dan motor elektrik…
Telah Diuji
Selain daripada jenama automotif Jepun, mereka yang mahukan kelainan boleh mendapatkan SUV jenama…