Pandu Uji Ringkas: Lexus NX300 - buang tabiat kerana harga diturunkan

oleh HEZERI SAMSURI|
Pilihan untuk crossover premium di Malaysia cukup banyak.

Untuk peminat jenama Jepun pula, crossover Lexus masih menjadi pilihan utama dan tidak salah untuk dikatakan, rekabentuk produk-produk Lexus sekarang sudah lebih agresif dan tidak lagi menitik-beratkan citarasa pakcik dan makcik.

Antara contohnya ialah model NX. Ia dilancarkan di Malaysia pada tahun 2015 dengan nama NX200t dan NX300h. 
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
lexus nx rear

Ia adalah sepuah crossover kompak dengan styling sporty, khusus untuk bersaing dengan BMW X3, Volvo XC60, Porsche Macan dan crossover idaman pengusaha tudung - Range Rover Evoque.

Untuk yang bijak, mereka tahu selepas tiga tahun, hanya Lexus yang tidak merengek minta dibelai dengan wang ringgit untuk ditaburkan di pusat servis. 

Kerana itu Lexus terus mempunyai peminat-peminatnya sendiri, terutama yang sudah serik kerana dibebani bil-bil servis yang terlalu tinggi.

Bulan lalu, Lexus Malaysia melancarkan varian terbaharu crossover NX, dan namanya ditukar kepada NX300 dan varian 300h dikorbankan.

 

 

Dari segi teknikal, NX300 masih menggunakan enjin 8AR-FTS 2.0L 4-silinder twin-scroll turbo yang memberikan 235 hp dan 350 Nm.

Sistem transmisi enam kelajuan digabungkan dengan Dynamic Torque Control AWD bagi cengkaman maksimum di jalan tar.

Prestasi NX300 ini boleh tahan menarik. Pecutan 0-100kmsj dilakukan dalam masa 7.1 saat sementara halaju maksimum ialah 200 kmsj.

Lebih dari cukup untuk 99 peratus pemilik model ini.

 

 

Lexus Malaysia juga telah menambah ciri-ciri keselamatan untuk NX ini - semua varian NX (Urban, Premium dan F Sport)  kini hadir dengan Lexus Safety System + (LSS+) yang memberi penekanan kepada perlindungan semasa kemalangan, mengelakkan kemalangan dan mengurangkan pelanggaran dari hadapan.

LSS+ ini pula bukan setakat satu teknologi, tetapi merangkumi rangkaian sistem-sistem lain seperti tersenarai di bawah:

  • Pre-Collision System (PCS) dengan Brake Collision Assist
  • Lane Tracing Assist (LTA)
  • Lane Departure Alert (LDA)
  • Active Cornering Assist (ACA)
  • Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) 

Antara kesemua sistem di atas, kami rasakan pengguna akan menghargai DRCC di mana radar dan kamera pada NX ini akan "membaca" keadaan trafik di hadapan dan menggunakan cruise-control untuk mengekori kenderaan di hadapan semasa kesesakan jalanraya.

 

 

Satu lagi teknologi yang diberikan Lexus kepada NX ini ialah lampu hadapan dengan sistem Adaptive High Beam.

Apa yang berlaku ialah lampu itu mempunyai 11 chip LED yang boleh dibuka dan ditutup secara individual bagi menerangi jalanraya di hadapan. Sukar untuk melihat 11 punca cahaya LED itu kerana ia seperti mata kumpuan yang disorok di dalam tiga kelompok. 

 

 

Lampu hadapan ini ialah antara yang paling bijak pernah kami lihat, ia boleh menerangkan keadaan di sekeliling kenderaan di hadapan tetapi menutup chip LED yang akan menyilaukan pemandu di hadapan.

Ia umpama kita memegang 11 lampu suluh yang menghala ke hadapan, tetapi yang hidup hanyalah yang menyuluh di sekeliling objek hadapan.

Sesi pandu uji dari pejabat Lexus di Damansara ke Port Dickson memberi peluang kami untuk melihat sendiri kepandaian sistem lampu itu.

Cukup terang untuk membolehkan anda memandu laju walaupun di kawasan yang gelap gelita dan paling penting, tidak menyilaukan kenderaan lain.

 

 

Dari segi pemanduan, ia selesa dan tidak "terapung" bila dipandu laju. Lexus sudah semakin mahir dengan sistem gantungan dan cara pemanduannya juga sudah semakin hampir kepada ciri-ciri pemanduan Eropah, cuma ia lebih selesa dan lancar.

Tiga varian yang ditawarkan pula direka untuk tiga genre pelanggan.

Lexus NX300 Urban - RM313,888

  • Spesifikasi paling asas, iaitu rim 18-inci dengan roda aloi dua tona warna, lampu kabus LED dengan corner light, pendingin hawa dua zon dengan corong di belakang, brek parkir elektrik, skrin sesentuh 8-inci dengan "mouse pad", tempat duduk kawalan elektrik lapan cara, serta Lexus Premium Audio dengan lapan speaker dan amplifier 8-channel Class D.

Lexus NX300 Premium - RM333,888

  • Sama seperti Urban, tetapi dengan tambahan kunci Smart Card, but belakang dibuka dengan goyangan kaki, cermin sisi dan cermin belakang jenis electrochromic, balutan kulit mewah, tempat duduk kawalan elektrik dengan 10 cara yang mempunyai liang pengaliran udara sejuk dan trim kayu/kulit untuk papan pemuka dan kulit pintu. Dari segi keselamatan, Premium mendapat Blind Spot Monitor (BSM) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA).

Lexus NX300 F Sport - RM349,888

  • Kelengkapannya kurang dari Urban dan Premium (tidak ada smart key, tempat duduk belakang kawalan elektrik dan pelbagai lagi), tidak ada BSM atau RCTA dan lain-lain. Apa yang F Sport ada ialah Adaptive Variable Suspension (AVS) di mana sistem gantungan aktif itu mempunyai 650 tetapan yang bertukar-tukar secara automatik, bergantung kepada keadaan jalanraya dan cara pemanduan.

 

 

Lexus Malaysia memastikan harga-harga varian itu semuanya jauh lebih rendah dari dahulu. 

Varian Urban kini RM12,000 lebih rendah, Premium pula dalam RM11,000 lebih murah sementara F Sport mendapat penurunan harga paling drastik, dari RM404,000 kepada RM349,888 - penurunan melebihi RM54,000.

Setelah diperiksa, memang ada kelengkapan untuk NX300 ini telah ditiadakan berbanding dengan NX200T sebelumnya.

 

 

Nasib baik juga kelengkapan yang dibuang itu tidak begitu penting - bumbung kaca kini diganti bumbung biasa, sistem audio Mark Levinson juga sudah lenyap (tetapi sistem audio yang ada sudah lebih dari memadai dan antara yang terbaik untuk kategori standard) dan skrin sesentuh digantikan dengan yang lebih berbaloi.

Terus terang kami katakan, NX ini lebih senyap, lebih selesa dipandu dan mempunyai lebih banyak kelengkapan berbanding dengan jenama-jenama premium Jerman, terutama dengan Mercedes-Benz GLC 250 yang dipasang di Pekan dan harganya lebih kurang seperti NX ini. 

Apapun, itu selera kami. Cuba pandu uji sendiri kerana mungkin anda mempunyai keperluan yang lain.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Presiden UMWT, Datuk K Ravindran, berkata komitmen syarikat melangkaui penghantaran kenderaan…
Berita Global
   Sama seperti kereta Lexus, bahagian luar adalah terjemahan kepada falsafah reka bentuk L-…
Berita Global
  Untuk NX 2024, beberapa penambahbaikan dibuat seperti pengukuhan ketegaran badan dan talaan…