Pandu Uji Ringkas Peugeot 3008 & 5008 Allure facelift - Singa Perancis mengaum kembali!

oleh Mohamad Hanif|
Beberapa hari yang lalu, pihak media tempatan termasuk Careta telah diberikan peluang untuk memandu uji barisan SUV Peugeot 3008 dan Peugeot 5008 versi facelift.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Meskipun boleh dikatakan agak lewat kemasukannya ke pasaran tempatan, namun pada kami, lewat bukanlah segalanya.

Di bawah pengurusan baharu, jenama Singa Perancis ini mahu membuktikan mereka kini bukanlah jenama yang boleh diketepikan dengan mudah.

Untuk permulaan, Peugeot di bawah Bermaz Auto Alliance memperkenalkan dua buah model pemasangan tempatan (CKD), di mana model Peugeot 3008 dan 5008 ini sebenarnya turut dieskport ke pasaran Asia Tenggara seperti Thailand, Indonesia, Filipina, Myanmar dan Cambodia.

Peugeot 3008 & 5008 - Apa yang berubah?

 

1. Rupa paras yang lebih agresif

Peugeot


Jika dulu kembar 3008 dan 5008 membawakan rupa paras yang mudah untuk dikenali, versi facelift kali ini membawakan reka bentuk yang lebih agresif dan lebih kompleks.

Rekaan gril hadapan tanpa bingkai tersebut sengaja disatukan dengan kemasan bahagian bawah lampu utama dan lampu nyalaan siang (DRL) LED bagi menampakkan rupa paras seakan seekor singa yang sedang mengaum.
 

3008


Ketika pegun, anda mungkin tak perasan, tapi berdasarkan pemanduan ringkas menaiki tanah tinggi kegemaran rakyat Malaysia, penulis sendiri tak menyangka rupa paras kedua-dua SUV ini sangat-sangat garang.

Di bahagian belakang, lampu berbentuk kuku singa itu telah digantikan dengan unit LED, diikuti lampu membelok dengan efek sekuential. Tampak kecil, tapi besar impaknya kepada mereka yang memerhatikan kelibat SUV ini menuruni Genting.

 

2. Kokpit yang lebih moden

5008


Model-model kenderaan moden Peugeot menggunapakai satu format yang dinamakan sebagai i-Cockpit, terdiri daripada rekaan stereng yang kompak, skrin kluster digital 12.3 inci dan skrin tengah bersaiz 10 inci serba baharu.

Paparan yang digunakan adalah sangat menyenangkan mata (kecuali paparan undur), dengan grafik yang tajam dan tidak pula terkesan dengan silau cahaya yang sangat teruk terutama ketika penggunaan pada waktu siang.

Lebih menggembirakan penulis apabila sokongan Apple CarPlay (dan Android Auto) yang didatangkan adalah amat mudah untuk digunakan, meskipun mata tidak berapa senang dengan wayar yang berselirat.

Tidak dilupakan, slot pengecasan nirwayar yang tersedia di bahagian bawah gugusan butang fungsi ala-ala piano.

 

3. SUV sesuai untuk kegunaan famili

5008


Untuk keluarga yang kecil, Peugeot 3008 sudah lebih daripada memadai, namun bagi mereka yang memerlukan ruang tambahan, Peugeot 5008 boleh dijadikan sebagai salah satu pilihan yang sesuai.

Secara asasnya, kedua-dua SUV menggunakan platform yang sama, cuma dengan dimensi yang sedikit berbeza di mana 5008 lebih panjang dan mampu memuatkan sehingga tujuh orang pada satu-satu masa.
 

5008


Ruang kargo juga lebih besar, sebesar 702 liter apabila tempat duduk baris ketiga dilipat, dan boleh mencapai kapasiti sehingga 2,150 liter, berbanding Peugeot 3008 (504 - 1,482 liter).

Bagi penulis, tepuk dada tanya selera. Lebih banyak ruang, lebih banyak muatan yang boleh dibawa terutama ketika pulang ke kampung halaman.

 

4. Pemanduan - apa yang anda harapkan dari sebuah Peugeot?

5008


Secara jujurnya, penulis tidak mengharapkan perubahan yang besar dari segi dinamik pemanduan pada model facelift ini. Dan sangkaan penulis tepat.

Apa yang berubah hanyalah rupa paras, serta penambahan ciri-ciri yang lebih moden dan memudahkan.

Dari segi pemanduan, ia masih lagi sebuah SUV dengan pengendalian yang anda boleh harapkan daripada sebuah jenama Perancis - selesa untuk seisi keluarga, respons stereng yang mencukupi dan masih lagi berupaya untuk meratah selekoh dengan cara yang sporti.
 

3008


Sporti di sini tidaklah menyamai pengalaman pemanduan model-model hatchback pantas, disebabkan sistem suspensinya ditala lebih untuk keselesaan, dan ia cenderung untuk beroleng sekiranya dipandu dengan lebih agresif terutama di jalan yang berselekoh tajam seperti Genting.

Namun, habis sahaja touge Genting dan mula memasuki lebuh raya Karak-Kuala Lumpur, Singa Perancis ini mula menunjukkan taringnya.

Kuasa yang diperah tidak putus-putus sehinggakan penulis tidak sedar jarum kelajuan mula mencecah sehingga 160 km/j. Cepat-cepat penulis sedar diri dan kaki kanan diangkat kembali sehingga jarum menunjukkan had kelajuan kebangsaan.

 

5. Berminat dengan Singa Perancis?

3008


Bermaz Auto melancarkan Peugeot 3008 dalam varian tunggal Allure, dengan harga jualan bermula dari RM161,616.66 hingga RM177,311.90 untuk Peugeot 5008 Allure.

Tidak cukup dengan jaminan selama lima tahun atau jarak perbatuan 100,000 km*, Bermaz Auto juga turut menawarkan pakej penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, atau jarak perbatuan 60,000 km*.

Mungkin dengan cara ini dilihat mampu untuk meyakinkan kembali rakyat Malaysia, berdasarkan kepada rekod Bermaz dalam mengendalikan jenama automotif di bawah kendaliannya.

*yang mana terdahulu

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Sejak daripada pandang kali pertama Hilux facelift dilancarkan di peringkat global, hati penulis…
Telah Diuji
Beberapa siri ujian telah pun dijalankan di mana separuh pertama adalah melibatkan ujian prestasi…
Telah Diuji
Sebut sahaja jenama Korea, akan muncul haters-haters (pembenci) dengan alasan-alasan lapuk kenapa…