Pandu Uji Ringkas: Volvo XC40 Recharge Pure Electric - jangan tertipu dengan rupa luar!

oleh Mohamad Hanif|
Hampir memasuki suku kedua tahun 2022, kita sudah pun menyaksikan kehadiran beberapa buah model kenderaan elektrik dengan penawaran yang agak menarik, biarpun tanda harganya sukar untuk diterima golongan kebanyakan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menerusi pelancaran tempoh hari, Volvo XC40 Recharge Pure Electric 2022 merupakan model EV pertama dari Volvo Car Malaysia, dan menariknya ia juga ditawarkan dalam bentuk unit pemasangan tempatan, sekaligus menjadi EV CKD pertama yang dilancarkan untuk pasaran kita.

Sehari selepas pelancaran, Volvo Car Malaysia dengan baik hatinya menjemput Careta untuk menguji sendiri pemanduan SUV yang pernah sebelum ini mencuri tumpuan penulis, namun kali ini ia tampil dalam versi elektrik.

Apa beza antara XC40 T5 yang pernah diuji sebelum ini dengan versi EV yang baru dilancarkan kali ini?

 

1. Rupa paras masih sama, dengan perubahan yang minima

XC40 EV
XC40 T5 2019


Ya, seperti yang anda lihat, Volvo XC40 Recharge Pure Electric masih lagi mengekalkan bentuk XC40 yang kita kenali sebelum ini, dan jika dipandang dari arah belakang, anda tidak akan menyangka SUV ini sebenarnya sebuah EV.

Rupa memang tak macam tipikal EV, dan dengan rekaan rim yang jauh lagi sporti berbanding rim standard Taycan 4S.

Namun bagi mata-mata yang peka, anda akan melihat rekaan gril hadapan yang kosong tanpa sebarang bukaan, menandakan ia sebuah EV sepenuh masa.
 

XC40


Disebabkan ketiadaan enjin dan bermacam-macam komponen mekanikal lain, Volvo mampu mengosongkan bahagian itu, dan menawarkan sebuah lagi ruang kargo (frunk) dengan kapasiti 31 liter.

Usah risau, ruang kargo belakang lagi besar, 413 liter.

 

2. Trenkuasa yang jauh lebih bertenaga.

TWIN


Ketiadaan enjin pembakaran dalaman telah digantikan dengan padanan motor elektrik berkembar (satu untuk setiap gandar), dengan pek bateri berkapasiti 78 kWh yang membolehkan SUV ini dipandu sejauh 418 km untuk sekali cas penuh.

Berbanding XC40 T5 2019 yang cuma berkuasa 252 hp dan 350 Nm, XC40 Recharge Pure Electric ini mampu menghamburkan kuasa hampir dua kali ganda, iaitu 408 hp dan daya kilas 660 Nm yang memacu semua roda!

Pecutan 0-100 km/j kini menyamai mana-mana model supercar, malah dalam masa 4.9 saat pemilik perlu memastikan jantung kekal berfungsi dengan baik kerana pecutan yang ditawarkan sememangnya sangat pantas.


3. Sistem infotainmen kini dengan sokongan Android

XC40


Reka bentuk dan susun atur papan pemuka Volvo XC40 Recharge Pure Electric ini boleh dikatakan sama sahaja dengan versi petrol dan plug-in hybrid yang baharu dilancarkan tahun lalu.

Skrin paparan kluster instrumen sebesar 12.3 inci itu tampil dengan grafik yang minimalis dan mudah untuk dibaca, cuma sistem infotainmen sembilan inci itu kini menyokong sistem operasi Android Automotive OS.

Bagi mereka yang sudah lazim dengan peranti pintar Android, tidak menjadi sebarang masalah untuk membiasakan diri dengan operasi Android, malah segala macam fungsi termasuk Maps, Google Assistant boleh digunakan dengan mudah.

Bagi penulis, kata sapaan Hi Google itu jauh lebih menyenangkan berbanding beberapa sistem infotainmen yang nampak gah dan moden di mata tapi langsung tidak mesra pengguna.
 

maps


Ada satu perkara yang menarik perhatian penulis adalah gabungan sistem kenderaan ke dalam aplikasi Maps.

Seperti contoh, anda dari Damansara hendak menghala ke Janda Baik untuk urusan kerja, sistem paparan peta akan menunjukkan kapasiti bateri yang tersisa setelah tiba di destinasi.

Masalah kebimbangan jarak (range anxiety) yang kerap kali dialami oleh para pemilik EV mungkin akan menjadi satu perkara yang perlahan-lahan boleh dilupakan dengan memandu Volvo XC40 Recharge Pure Electric ini.

 

4. Mudah untuk dipandu

XC40


Ketika sesi penerangan, kami diberitahu bahawa model EV ini tidak mempunyai butang pandu mula.

Ya, memang ia tidak langsung mempunyai butang tersebut, kerana Volvo telah menetapkan EV ini boleh terus beroperasi tanpa memerlukan anda menekan butang mula.

Masuk sahaja kepada posisi gear D, dan SUV ini akan meluncur pergi, tanpa sebarang gegaran dan bunyi mekanikal. Senyap sahaja kabin sepanjang pemanduan.

Pengendalian sebuah Volvo sememangnya sangat mudah untuk dijangkakan, dengan respons stereng yang memadai dan telus, cukup untuk penulis mengagak ke mana arah SUV ini akan pergi mengikut kilasan roda stereng.
 

XC40


Kawalan di atas jalan basah juga cukup meyakinkan, cuma hamburan kuasa 408 hp/660 Nm adakalanya membuatkan penulis merasakan XC40 Recharge Pure Electric ini sebenarnya sebuah supercar dalam bentuk badan SUV yang minimalis.

Atau sebuah sleeper yang sebenar.

Yang paling penting, sebagai pemandu anda perlu hormat dengan setiap kuasa kuda yang ada pada SUV ini. Silap langkah, memang buruk padahnya, walaupun anda berada di dalam SUV jenama terselamat di dunia.
 

XC40


Selain itu, pemanduan di laluan berliku menaiki kawasan Janda Baik dan Genting Highlands juga tidak mengecewakan, cuma penulis cepat sedar had dan keupayaan SUV yang ditala lebih untuk keselesaan, jadi adalah lebih baik jika penulis bersopan sahaja di selekoh.

Namun, perkara yang paling menarik ingin penulis kongsikan sebenarnya adalah poin nombor lima.

 

5. Ciri pemanduan pedal tunggal

XC40


Untuk EV, ciri pemanduan pedal tunggal (one-pedal driving) sudah menjadi satu kelaziman, di mana ia sebenarnya menggandingkan dua fungsi operasi iaitu pendikit dan brek di dalam satu kawalan pedal sahaja.

Ciri ini penulis sudah cuba pada model Nissan LEAF di mana ia boleh diaktifkan dengan hanya menekan satu butang khas di konsol tengah.

Namun tidak seperti Nissan LEAF, ciri pemanduan pedal tunggal untuk Volvo XC40 elektrik ini diaktifkan secara lalai saat kereta 'dihidupkan', dan anda boleh mematikan fungsi ini menerusi tetapan di skrin tengah.
 

XC40


Fungsi brek regeneratif ini telah ditala supaya menyerupai operasi brek pada kereta konvensional, dan bagi mereka yang tidak biasa, sistem ini akan 'membrek' secara agresif apabila kaki kanan diangkat secara mendadak daripada pedal pendikit.

Tapi bila dah dapat dan faham rentak pemanduan pedal tunggal ini, pemanduan akan jadi cukup mengujakan, ibarat seperti kaki kiri anda mengawal pedal klac pada kereta bertransmisi manual, cuma hanya perlu dioperasikan menggunakan kaki kanan.

Sepanjang sesi pandu uji, penulis langsung tidak berasa kekok walaupun pedal brek hanya sekali-sekala digunakan di dalam situasi kecemasan.

Lebih mengejutkan apabila penulis berjaya menghabiskan laluan menurun Genting Highlands dengan menggunakan ciri ini, dan boleh dibilang dengan jari beberapa kali sahaja penulis menekan pedal brek yang betul sepanjang laluan tersebut.
 

XC40


Apa yang boleh disimpulkan, Volvo XC40 Recharge Pure Electric merupakan SUV elektrik yang datang tepat pada masanya untuk para peminat Volvo yang mahu merasai pecutan berelektrik, dan dalam masa yang sama masih lagi sebuah kenderaan yang praktikal, selesa dan mudah untuk digunakan setiap hari.

Pada saat artikel pandu uji ini ditulis, harga jualan kenderaan elektrik (EV) pertama daripada Volvo Car Malaysia ini masih lagi belum didedahkan, dan hanya akan diumumkan pada 4 April nanti.

 

Berita Berkenaan

Informasi
Bukan sahaja dengan trenkuasa yang tidak mencemarkan alam sekitar, malah mereka juga komited untuk…
Berita Domestik
Berbanding model terdahulu, XC40 EV 2023 ini telah mendapat beberapa perubahan seperti berikut: -…
Berita Domestik
Sehingga kini, Volvo Car Malaysia telah menerima lebih 400 tempahan dan lebih 120 unit telah pun…