Pandu Uji Subaru XV 2.0i-P EyeSight GT Edition 2022 - Makin laju, makin padu!

oleh Mohamad Hanif|
Sedar ataupun tidak, hayat generasi kedua Subaru XV (atau nama lainnya Crosstek di pasaran Amerika Syarikat) sudah kian menghampiri ke penghujungnya, sejak diperkenalkan pada tahun 2017.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Untuk menjadikan penawaran XV yang lebih malar segar, pihak TC Subaru tahun ini memperkenalkan model tahun 2022 dengan rupa paras dipertingkat, dan penambahan ciri keselamatan EyeSight secara standard untuk semua varian (tak banyak pun, dua je!).
 

XV


Sayang sekali, tidak seperti Subaru XV luar negara yang kini mendapat enjin 2.5 liter yang lebih bertenaga, Subaru XV untuk pasaran tempatan masih lagi setia dengan nadi boxer FB20 2.0 liter itu.

Namun, usah pandang rendah pada Subaru XV 2022!

 

1. Kuasa sama, tapi respons enjin dipertingkat

XV


Atas kertas, nadi FB20 itu mampu menjana kuasa setinggi 156 PS dan daya kilas 196 Nm, dipadankan dengan transmisi Lineartronic CVT dan pacuan semua roda.

Berdasarkan pemanduan terdahulu, penulis tidak berhadapan dengan masalah besar sewaktu mengendalikan SUV ini di atas jalan biasa, tapi ia sedikit lemah di lebuh raya.

Dulu-dulu, Myvi dengan sesaran enjin yang lebih kecil pun boleh selamba perasap XV ni!
 

XV


Untuk kemaskini terbaharu, Subaru telah mendatangkan satu mod pemanduan tambahan Sport (S) ke atas mod pemanduan Intelligent (I) sedia ada.

Dengan adanya mod Sport ini, tahap respons enjin sebenarnya telah dipertingkatkan, terutama ketika sedang mula memecut dari pegun, dan anda boleh rasakan sendiri perbezaan (meskipun tidak ketara) pecutan dengan menggunakan mod Sport yang sedikit pantas berbanding mod biasa.
 

XV


Tanpa disedari, mod S ini kerap kali menjadi pilihan lalai (default) penulis setiap kali XV ini keluar ke jalan raya. Muka pun ada banyak senyum maa..

Satu perkara yang penulis suka, mod S ini amat mudah untuk dicapai di roda stereng, bukannya terletak di konsol tengah yang ada kalanya mampu menyusahkan pemandu.

Kadar kecekapan transmisi CVT pula tidak banyak perubahan, ia masih lagi sebuah transmisi CVT yang boleh diharap yang mampu memberikan pemanduan yang tidak mengecewakan.
 

XV


Bab prestasi di selekoh, itu memang 'makanan ruji' XV. Seolah-olah anda sedang memandu sebuah SUV dengan karakter jentera rali.

Melekat di selekoh, dan masih lagi selesa di jalan raya Malaysia yang cemerlang gemilang dan temberang itu.

 

2. Pemanduan yang senyap sepanjang masa

XV


Satu perkara yang membuatkan penulis teruja dengan XV 2022 ini adalah tahap kesenyapan kabin yang cukup baik tidak kira apa jua kondisi jalan di luar sana.

Biarpun enjin dikerah dengan sedikit agresif sewaktu di atas jalan raya, tumpuan penulis langsung tidak terganggu memandangkan bunyi bising tersebut berjaya ditapis dengan baik daripada menerjah masuk ke dalam ruang kabin.

Itu belum kira lagi kadar bunyi bising angin di sepanjang laluan lebuh raya pada kelajuan 'yang dibenarkan', boleh dikatakan hampir tiada melainkan jika anda melepasi had kelajuan tertentu.
 

XV


Pada penulis, ia merupakan satu pengalaman yang cukup baik, malah jauh lebih mengujakan daripada model pesaing yang kini banyak melata di atas jalan raya.

Bawak laju-laju tapi tak selesa, tak guna juga kan?

 

3. Perubahan minima di bahagian luar

XV


Tidak banyak perubahan kosmetik dibawakan pada Subaru XV 2022 kali ini.

Apa yang anda akan perasan adalah rekaan jeriji hadapan yang mengingatkan kita pada corak elemen infinite weave Proton, rekaan bampar dengan penambahan cladding plastik yang lebih banyak, dan rim 17 inci dengan jejari berbentuk Y.
 

XV


Untuk mereka yang mahukan rupa paras yang lebih agresif, Subaru turut menawarkan varian GT dengan penambahan kit badan, spoiler bumbung, serta rim 17 dengan rekaan jejari berbentuk kelopak bunga, penawaran yang sama seperti apa yang ditawarkan dua tahun yang lalu.

Sudah cukup cantik tanpa perlu modifikasi keterlaluan.

Syukur setakat ini masih tidak berpeluang untuk terserempak dengan mana-mana contoh XV yang menyakitkan mata.

 

4. X-Mode dipertingkat

XV


Prestasi off-road (yang ringan) dipamerkan oleh Subaru XV sebenarnya tidak perlu dipertikaikan, malah sebelum ini kami sendiri dijemput oleh pihak Subaru untuk merasai sendiri pengendalian crossover ini di laluan yang tidak bertar, berlumpur dan berbatu.

Untuk kemaskini kali ini, Subaru turut menambahbaik ciri X-Mode dengan dua fungsi yang berbeza, iaitu Snow/Dirt dan juga Deep Snow/Mud.

Ia boleh diakses menerusi butang khas di bahagian konsol tengah, dan dalam bahasa mudah, X-Mode mampu memaksimumkan tahap cengkaman tayar di jalan yang tidak rata, dan mengawal CVT untuk nisbah gear yang lebih rendah.
 

XV


Harus diingat, sistem X-Mode ini tidaklah seperti sistem 4WD yang jauh lebih kompleks, tapi dengan XV anda sebenarnya boleh mendapatkan gambaran ringkas bagaimana cara untuk melayan jalan-jalan off-road.

Ditambah pula dengan jarak kelegaan tanah yang agak tinggi, XV akan memberikan lebih keyakinan untuk merangkak di atas jalan yang tidak rata.

Namun disebabkan sistem Symmetrical AWD yang sangat cekap, anda sebenarnya sangat sukar untuk melakukan aksi yang agresif.

 

5. XV kini lebih selamat

EyeSight


Salah satu perubahan penting pada Subaru XV 2022 adalah penambahan ciri bantuan pemandu (ADAS) EyeSight.

Ia merangkumi komponen keselamatan seperti sistem brek pra-pelanggaran, pengurusan pendikit pra-pelanggaran, kawalan jelajah adaptif, amaran pergerakan kenderaan hadapan, amaran keluar lorong dan Lane Sway Alert (bermula pada kelajuan 60 km/j).

Biarpun penambahan tersebut tidak menyeluruh seperti model pesaing, ia sudah lebih daripada memadai untuk memastikan pemanduan anda selamat sepanjang masa.
 

EyeSight


Terutama di dalam bandar, ada masa dan ketika tumpuan kita akan leka tanpa disedari.

Berdasarkan pemanduan, penulis dapati gandingan kesemua sistem itu berfungsi dengan cekap, terima kasih kepada bantuan dua mata tambahan yang ada di sebalik cermin depan.

Amaran yang dikeluarkan amat jelas didengari dan dengan serta merta tindakan lanjut boleh diambil oleh pemandu bagi mengelakkan sebarang insiden pelanggaran berlaku.

Ciri kawalan jelajah adaptif pula membolehkan kaki kanan penulis berehat seketika sewaktu melalui lebuh raya LEKAS yang sangat jarang berlaku kesesakan trafik itu.
 

EyeSight


Status kenderaan sewaktu sistem EyeSight itu diaktifkan boleh dilihat dengan jelas menerusi paparan skrin kedua di atas skrin infotainmen, di mana ia merupakan satu ciri yang sangat 'cool' untuk sebuah crossover moden.

Tidak ketinggalan, sistem kamera 360 darjah yang sangat membantu pemandu terutama ketika meletakkan kereta di tempat yang sepatutnya, dan ia juga turut memberikan peringatan untuk sentiasa memeriksa kiri dan kanan kenderaan sebelum keluar dari ruang kabin.
 

XV


Dengan harga jualan bermula dari RM139,788 dengan ciri standard EyeSight, tidak syak lagi Subaru XV merupakan satu pilihan yang patut anda pertimbangkan untuk mereka yang mencari sebuah SUV/crossover yang praktikal, sedap dipandu, selesa dan yang paling penting ciri keselamatan yang jauh lebih baik berbanding penawaran terdahulu.

Tidak ketinggalan, layan laluan off-road ringan sekali-sekala. Crossover korang boleh buat?

 

Spesifikasi ringkas Subaru XV 2022 Eyesight

 

Enjin: boxer, aspirasi natural 2.0 liter
Kuasa: 156 PS @ 6,000 rpm, daya kilas 196 Nm @ 4,000 rpm
Transmisi: Lineartronic CVT
Pacuan: Symmetrical AWD
Jarak kelegaan tanah: 220 mm
Ruang kargo: 345 liter
Ciri keselamatan: 7 beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Bantuan Mula Mendaki, Bantuan Menurun Cerun, VDC, cagak ISOFIX
ADAS: EyeSight
-Sistem Brek Pra-Pelanggaran
-Pengurusan Pendikit Pra-Pelanggaran
-Kawalan Jelajah Adaptif
-Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan
-Amaran Keluar Laluan (bermula 50 km/j)
-Amaran Pergerakan Bergoyang (Lane Sway Alert, bermula 60 km/j)
Harga: RM139,788 (RM146,788 untuk versi GT)

Berita Berkenaan

Pelancaran
Ditawarkan dalam dua pilihan, iaitu versi 2.0i-P EyeSight dan versi GT Edition, Subaru XV masih…