Hadir sebagai generasi kedua, The New All-Electric MINI Cooper menampilkan prestasi dan jarak gerak yang dipertingkat berbanding generasi terdahulu sambil mengekalkan keunikannya.
MINI Cooper SE ini sememangnya sebuah jentera yang akan menjadi pilihan bagi golongan muda yang menginginkan keseronokan pemanduan.
Hampir kesemua aspek (kecuali ketiadaan enjin) pada MINI Cooper SE ni dapat memenuhi kepuasan memandu yang diperlukan untuk kehidupan seharian sambil berseronok di hujung minggu.
Walaupun hadir sebagai sebuah EV, MINI Cooper SE tetap tampil dengan legasi dan identiti asal jenama British tersebut.
Tanpa berlengah, berikut merupakan ulasan yang dapat diterjemah dalam penulisan melalui pengalaman menikmati pemanduan New All-Electric MINI Cooper:
1. Reka bentuk lebih segar, kekal ikonik
Boleh dikatakan agak ringkas, identiti rekaan MINI Cooper SE masih kekal di bahagian hadapan, dengan unit lampu LED berbentuk bulat dan jeriji berbentuk oktagon.
Sementara di bahagian belakang pula kini kelihatan sedikit agresif bersama unit lampu berbentuk segi tiga, pastinya kekal tampil dengan paparan grafik bendera Union Jack.
Menariknya untuk bahagian DRL lampu depan dan LED matrik lampu belakang, ia didatangkan dengan ciri boleh ubah di mana anda boleh memilih corak lampu mengikut mod.
Pada bahagian sisi, rekaan tiang A jauh lebih senget berbanding mana-mana MINI moden yang lain di mana ia direka untuk meningkatkan aerodinamik.
Rekaan tiang A itu membantu New All-Electric MINI Cooper mencapai pekali seret (Cd) 0.28, berbanding 0.3 Cd pada model generasi sebelumnya.
2. Ruang kabin minimalis, serba lengkap dengan teknologi terbaharu
Konsep minimalis diteruskan pada bahagian dalaman di mana rekaan serba baharu dibawakan untuk rupa yang lebih menarik perhatian.
Bahagian kabin yang lebih ringkas diperbuat dari bahan mampan dengan rekaan bercorak jahitan, tanpa sebarang permukaan plastik lembut.
Menjadi antara pembaharuan utama, bahagian tengah kabin kini dilengkapi skrin sentuh OLED 240mm berbentuk bulat, lengkap dengan MINI Operating System 9 yang mengawal pelbagai fungsi utama.
Pada bahagian bawah skrin, MINI masih memenuhi keperluan peminat butang fizikal dengan susunan butang fungsi yang telah direka semula, termasuk butang pandu mula, kawalan volum, serta punat penukaran gear PRND yang sangat kecil.
Pada permulaan penulis memandu MINI Cooper SE baharu itu, penggunaan knob gear baharu itu sememangnya terasa janggal, namun selepas beberapa hari penulis merasakan punat gear itu sangat mudah untuk digunakan.
3. Kedudukan pemanduan yang sporti
Tempat duduk bagi New All-Electric MINI Cooper terus mengekalkan ergonomik pemanduan sporti untuk menikmati pemanduan yang agresif.
Kedua-dua tempat duduk hadapan merupakan jenis kuasa yang boleh dilaras secara automatic dan mempunyai memori.
4. Tiada enjin... Tapi masih seronok untuk dipandu
Sebagai seorang petrolhead, ketiadaan enjin sememangnya perkara yang mengecewakan lebih-lebih lagi untuk menikmati pemanduan bersama deruman enjin pembakaran dalaman.
Bagaimanapun, New All-Electric MINI Cooper SE tetap seronok untuk disesah terutama sekali di jalan berselekoh, sekaligus mengekalkan reputasinya sebagai sebuah model Cooper.
Untuk memberikan pengalaman pemanduan berbeza, ia dilengkapi fungsi MINI Experience Modes atau mod pemanduan, di mana mod kegemaran penulis iaitu Go-Kart memberikannya pengalaman pemanduan yang lebih jitu.
Dalam mod Go-Kart, EV seberat 1,605 kg ini terasa lebih sporti, hasil penalaan perisian suspensi, stereng dan breknya, yang menajamkan tindak balas dan menambah bunyi elektrik agresif.
Selain mod Go-Kart, beberapa mod lain turut tersedia untuk dipilih mengikut kesesuaian pemanduan seperti Core dan Green.
5. Lebih kuasa, lebih jarak gerak
MINI Cooper SE dikuasakan oleh motor elektrik tunggal di roda hadapan (FWD) yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 214 hp dan 330 Nm, dengan pecutan 0-100 kmj dalam masa 6.7 saat sahaja.
Untuk kelajuan tertinggi, agak kecewa kerana hanya mampu mencecah 170 kmj sebelum ianya dipotong atas arahan dari ECU.
New All-Electric MINI Cooper SE kini dilengkapi pek bateri NMC lebih besar yang berkapasiti 54.2 kwj, membolehkan jarak gerak sejauh 402 km (WLTP).
Untuk pengecasan, ia mampu menyokong pengecasan pantas DC sehingga 95 kW, di mana cas 0-80 peratus boleh dicapai kurang dari 30 minit, sementara pengecasan AC menyokong 11 kW.
6. EV dengan kendalian asli MINI
New All-Electric MINI Cooper memiliki berat 1,605 kg, menjadikannya model Cooper paling berat sekaligus menimbulkan persoalan mengenai cara kendaliannya.
MINI hatchback sememangnya terkenal dengan tindak balas stereng yang sangat tajam, di mana input terkecil pun menjadi perubahan arah yang ketara.
Menariknya sebagai sebuah EV, MINI Cooper SE kekal mewarisi kebolehan itu di mana penulis dapat menikmati jalan selekoh dengan tenang dan senyap, dibantu pula dengan Go-kart mode.
Akhir kata, The New All-Electric MINI Cooper ini sememangnya sebuah EV yang patut dibeli untuk golongan muda dan yang ingin merasa muda untuk menikmati pemanduan harian.
Harga? Untuk pasaran Malaysia New All-Electric MINI Cooper ditawarkan bermula dari RM193,888 atas jalan tidak termasuk insurans, dengan tawaran pinjaman Easy Drive Financing bermula dari RM 2,021/sebulan.
Ia turut ditawarkan dengan waranti dua tahun, perbatuan tanpa had, serta jaminan empat tahun dan pakej perkhidmatan, sementara waranti bateri selama lapan tahun atau 160,000 km.
Untuk masa terhad juga, MINI Malaysia menawarkan pengecas Wallbox percuma.
Anda rasa teracun? Tempah sesi pandu uji The New All-Electric MINI Cooper di pengedar rasmi berdekatan anda melalui laman web MINI Malaysia.