Sebuah lagi pendatang baharu dalam kategori hatchback segmen B, Toyota Yaris sudah pun dilancarkan bagi memberikan saingan kepada model-model tempatan seperti Iriz dan Myvi, serta model paling popular, Jazz.
Yaris sebenarnya dibangunkan berdasarkan platform Toyota Vios generasi ketiga, dan didatangkan dengan kemasan front fascia daripada Yaris ATIV sedan.
Ia merupakan model kedua yang dipasang di kilang Bukit Raja selepas Toyota Vios 2019.
Apakah tanggapan awal anda terhadap model hatchback dari Toyota ini?
Usah risau, penulis sendiri tidak meletakkan harapan yang begitu tinggi, sekadar menganggap ia hanyalah versi hatchback kepada Toyota Vios baharu.
Untuk mengharapkan Janna Nick akan turun sekali memandu uji kereta ini, mungkin penulis perlu cermin diri sendiri terlebih dahulu.
Sesi pandu uji media sekali lagi dianjurkan oleh UMW Toyota bagi memberikan impresi awal bagaimana Yaris 2019 ini sebenarnya salah satu pilihan yang sangat baik untuk segmen B.
Dari Shah Alam, kami berkonvoi menuju ke Gombak namun bagi mengelakkan sebarang kesesakan, laluan dilencongkan ke arah Lebuhraya Guthrie.
Untuk pemanduan santai di lebuhraya, enjin 1.5 liter VVT-i 2NR-VE (105 hp/140 Nm) dengan transmisi CVT tujuh nisbah kelajuan sememangnya sangat lancar, namun sedikit bising (biasalah, CVT) apabila kuasa sedikit diperah.
Untuk penggunaan mod Sport tanpa sebarang penukaran gear secara manual, pada hemat penulis ia lebih sesuai digunakan ketika permulaan pergerakan berbanding ketika anda sedang meluncur laju di lebuhraya.
Keselesaan pemanduan juga sangat memadai untuk sebuah kereta aras mula, baik dari segi kesenyapan kabin, pengendalian yang ditawarkan oleh suspensi serta keluasan ruang penumpang.
Di sini, Toyota bijak memainkan peranan ruang bagi memberikan ilusi yang lebih luas, walaupun sebenarnya saiz dimensi dan jarak antara roda sedikit kurang berbanding pesaing rapat.
Tanpa sebarang bentuk tingkap yang pelik, pandangan keluar dari tempat duduk pemandu juga sebenarnya amat baik.
Setibanya di Gombak, laluan diubah supaya kami dapat merasai jalan dalam yang berliku menghala ke arah Genting Sempah.
Ya, di sini karakter tersembunyi di sebalik imej biasa-biasa Toyota Yaris mula terserlah.
Jika tanggapan awal anda menyangka Yaris sebuah kereta yang membosankan, sila pendamkan perasaan itu dan cuba pandu uji kereta ini jika diberikan peluang.
Di laluan berbukit, berselekoh dan jalan lurus yang pendek (dan Sport Mode terpasang), Toyota Yaris mampu memberikan kadar olengan badan yang minima, pengendalian yang stabil dan anda hanya perlu memfokuskan kepada kawalan kuasa yang dihamburkan.
Malah, kerap kali juga penulis perasan lampu ESC menyala-nyala tatkala tayar tidak mampu untuk menampung cengkaman terhadap jalan raya disebabkan seronoknya mengendalikan Yaris ini.
Sehinggakan dalam hati penulis, terdetik niat untuk membeli model ini sekiranya ia hadir dengan transmisi manual!
Apa yang membuatkan Toyota Yaris ini nampak mengancam ialah rim bersaiz 16 inci dua tona yang menghiasi keempat-empat ruang arca roda, di samping kit badan yang lebih sporty.
Bentuknya yang ala-ala sports wagon ini lebih mengingatkan penulis kepada model Caldina yang suatu ketika dahulu menjadi rebutan.
Namun, bagi penulis, nilai tambahan yang ada pada Yaris ini sudah tentu kelengkapan keselamatannya terdiri daripada tujuh (ya, tujuh bukan enam!) beg udara, brek anti-kunci, EBD, ESC, Sistem Pemantauan Titik Buta yang disekalikan dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang.
Dua ciri terakhir yang disebutkan tadi sangat penting terutama ketika memandu di bandar, dan ia turut dibantu dengan penggunaan kamera 360 darjah.
Walaupun sesi pemanduan ini ringkas sahaja, ia sudah cukup untuk memberikan gambaran sebenar bagaimana Toyota Yaris mampu membuktikan dirinya sebagai sebuah pesaing yang boleh digeruni oleh hatchback-hatchback segmen B yang lain.