Pandu Uji: Volkswagen Arteon R-Line 2.0TSI

oleh HEZERI SAMSURI|
Jika anda peminat fotografi, pasti anda tahu bahawa dalam dunia sekarang, kamera sudah mula ditinggalkan dan digantikan dengan telefon pintar. 

Teknologi adalah sebab utama, tetapi sebab sampingan juga sudah berubah. Kamera dahulu memerlukan kita memproses filem untuk kita melihat hasilnya. Bila rakan dan saudara datang ke rumah, kita usung keluar album-album gambar untuk ditayangkan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Kemudian kamera digital muncul, dan gambar sudah boleh dilihat terus dari skrin, dan kemudian dinaikan ke dalam dunia siber untuk dikongsi ke lebih ramai manusia.

Sekarang, album gambar sudah boleh disimpan di dalam gerobok di kampung, dan blog-blog untuk memuat-naik gambar pun sudah malap. Ia diganti dengan media sosial, di mana semua "rakan-rakan" kita boleh melihat dan boleh berkongsi dengan lebih ramai lagi manusia lain.

Kamera juga sudah hilang fungsi utamanya, kerana telefon pintar bukan sahaja boleh mengambil gambar, tetapi ia terus memuat-naik imej-imej itu ke media sosial pilihan kita.

Telefon pintar ialah sebuah mesin ajaib yang menggantikan pelbagai mesin lain, dan dalam kes ini - ia menggantikan komputer, dan kamera.

 

 

Namun begitu, untuk kaki fotografi, kamera besar dan berat itu masih lagi relevan. Untuk yang profesional, ia memberikan imej-imej yang boleh "dijual" kembali kepada pelanggan-pelanggan. Untuk peminat fotografi, gambar-gambar dari kamera sememangnya lebih jelas, lebih "real" dan lebih mudah untuk diproses/edit.

Tetapi untuk kebanyakan orang, gambar yang dihasilkan oleh kamera pintar sudah cukup baik dan boleh diterima. Mereka tidak perlu tahu aspek teknikal sebuah imej. Mereka tidak mahu tahu apakah relevan bukaan (apperture) dengan kelajuan "shutter". 

Yang mereka lihat ialah sebuah imej digital di dalam media sosial, dan itulah objektif utama, bukan? 

Sama juga seperti kereta. Bila saya dalam perjalanan ke Volkswagen Malaysia untuk mengambil Arteon ini, hati saya berkata Arteon ini sebenarnya adalah sebuah Passat berbaju mahal.

 

 

 

Dari segi teknikal, memang Arteon dan Passat menggunakan tren kuasa yang sama - enjin 2.0L TSI menghasilkan 190PS dan 320Nm dan transmisi DSG 7-kelajuan.

Namun begitu, Arteon menggunakan rekabentuk badan yang jauh lebih menggiurkan, dan saya kira tidak adil untuk dibandingkan dengan Passat, walaupun varian Passat R-Line. Ia umpama membandingkan Scarlett Johansson dan hmm ... Julia Roberts? 

Arteon bukan sebuah sedan, kerana bahagian belakang boleh dibukan seperti sebuah hatchback - fikir Wira Aeroback dan anda akan dapat ideanya.

Ia juga menggunakan pintu dengan tingkap tanpa bingkai - frameless door. Memang nampak cantik, walaupun anda hanya akan membuat bunyi "wow" bila pintu dibuka kerana hanya pada ketika itu anda akan nampak ciri-ciri "frameless" itu. 

 

 

Bahagian hadapan, hud "clamshell" itu mempunyai lekuk-lekuk yang seksi, dan juga lampu hadapan yang nampak agresif - atau dalam bahasa pasar, muncung Arteon ini nampak sangat mahal. 

Di bahagian belakang, efek yang sama tidak diberikan. Ia lebih ringkas, dan lebih kemas - dan pada pendapat saya, cukup seksi. Ditambah lagi dengan boot-lid spoiler kecil berwarna hitam, ia nampak mahal tanpa perlu menjerit-jerit seperti Honda Civic Type-R yang dipandu oleh anak ikan Datin di seberang rumah.

Keseksian yang wujud di bahagian luar sayangnya tidak begitu disambung ke bahagian kabin. Ya, ia masih nampak premium tetapi jika dibandingkan dengan Passat, tidak begitu banyak bezanya.

Nasib baik juga Volkswagen meletakan pelbagai mainan untuk melalaikan kita - terutama sistem aplikasi telefon pintar nirwayar. Masuk sahaja dan kita tak perlu terkial-kial menyambungkan kabel ke telefon untuk menggunakan Apple CarPlay atau Andriod Auto. Ini adalah satu fungsi yang teramat praktikal, untuk yang memang tak boleh hidup tanpa Apple CarPlay.

 

 

Mainan yang lain ialah sistem audio Dynaudio dengan 700W dan 11 pembesar suara termasuk satu subwoofer di bahagian tayar simpanan. Dikawal melalui skrin sentuh 9.2-inci, bunyi yang dihasilkan memang menarik. Lagu Apa Yang Ku Cari nyanyian Endang S. Taurina tidak pernah segemersik ini.

Sayang sekali dari segi ciri-ciri keselamatan, Perodua Myvi mungkin lebih hebat kerana wujud sistem ADAS untuk supercar marhaen itu tetapi untuk Arteon, Blind Spot Indicator pun tidak diberikan.

Okay, lupakan bunyi audio, bentuk seksi, hampehnya ciri keselamatan dan tempat duduk balutan Nappa Carbon R-Line itu dan kita fokus kepada perkara yang lebih "jantan" - prestasi dan pengendalian.

 

 

Sekarang, saya lebih suka memandu dengan kelajuan yang lebih sentimental, kerana tidak ada gunanya menyanyi lagu-lagu ganas dari Sepultura atau MegaDeath bila kita dikelilingi oleh ayam-ayam. Risiko yang tinggi itu tidak lagi saya perlukan.

Ini terbukti bila saya memandu uji Volkswagen Passat awal tahun ini. Saya tidak bernafsu langsung untuk memandu laju, lebih-lebih lagi bila Passat itu mempunyai stereng setelus pegawai-pegawai imigresen yang tertangkap baru-baru ini.

Saya suka kereta yang "bercakap" dengan saya, menerusi stereng, tempat duduk dan pedal-pedal. Passat adalah sebuah sedan mewah yang selesa, dan saya habiskan ayat saya di sini sebelum rakan-rakan di Volkswagen Malaysia terasa hati dengan saya.

Tetapi selepas sehari dengan Arteon, saya sudah tahu bahawa kelajuan maksimum 239 kmsj yang dilaporkan oleh Volkswagen sendiri untuk Arteon ini memang benar.

 

 

Saya juga tahu bahawa kadar pecutan 0-100 kmsj dalam masa 7.7 saat itu juga memang mampu dicapai, dan saya juga sedar bahawa kelajuan di selekoh boleh menyebabkan sup nasi ayam tertumpah ke lantai. Nasib baik ada Trapo, senang nak dibersihkan.

Berbalik pada cerita kamera tadi, kereta pun menerima masalah yang sama. Orang sudah tidak kisah berapa kuasa kuda dihasilkan, atau daya kilas maksimum dihasilkan 2,500 RPM lebih awal, atau DSG sekarang sudah memberikan kurang masalah tetapi masih tetap laju dan menghasilkan bunyi-bunyi kentut mahal.

Apa yang penting ialah kereta itu nampak cantik, gah dan selesa. Arteon berharga RM221,065.28 (dengan insentif cukai SST, tanpa insurans) adalah kesemua itu, dan jika ada jiran yang bertanya kenapa bayar RM20,000 lebih untuk "Passat" yang cantik ini, anda boleh diam seketika sambil menghela nafas, rapatkan kepala anda ke telinganya dan ucapkan ... 

"Kerana Arteon ini lebih sedap dipandu, dan sesuai untuk jantan seperti aku."
 

 

* Fotografi oleh Hezeri Samsuri 

Berita Berkenaan

Berita Global
Simbol ‘R’ ini kebanyakkanya telah digunakan pada model Arteon dan T- SUV Roc, Tiguan dan Touareg…
Berita Domestik
Panggilan semula produk dilakukan oleh pihak pengeluar apabila terdapat penemuan isu keselamatan…
Uncategorized
  Pelanggan ditawarkan dua jenis bateri iaitu 79 kilowatt-jam (kWj) atau 86 kWj. Dari segi…