Pas perjalanan My30 boleh digunakan di P. Pinang, Kuantan bermula 1 Januari 2021

oleh Mohamad Hanif|
Selepas digunakan secara meluas di Lembah Klang dan Selangor, pas perjalanan tanpa had My30 kini diperkenal dan akan digunakan untuk perkhidmatan bas Rapid Penang dan Rapid Kuantan, mulai 1 Jan 2021.

Prasarana memaklumkan Pas Mutiara My30 adalah untuk perkhidmatan bas di Pulau Pinang dan Seberang Prai, manakala Pas Lestari My30 untuk perkhidmatan bas meliputi bandar Kuantan, Pekan dan kawasan sekitarnya.

“Dengan pengenalan kedua-dua pas perjalanan tanpa had ini, Prasarana berharap akan membantu mengurangkan perbelanjaaan rakyat untuk urusan pengangkutan harian dan lebih ramai akan menggunakan kedua-dua perkhidmatan bas ini,” kata Prasarana dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu menyebut Pas Mutiara My30 yang dibelanjakan dengan RM30 sebulan adalah eksklusif untuk warga tempatan dan perkhidmatan bas boleh digunakan secara berulang kali dalam sehari, namun ia tidak termasuk perjalanan menggunakan Feri Pulau Pinang.

“Menggunakan konsep yang sama, warga tempatan boleh menggunakan perkhidmatan bas Rapid Kuantan beberapa kali sehari dengan berbelanja RM30 sebulan untuk Pas Lestari My30,” menurut kenyataan itu selain menambah kedua-dua pas tersebut perlu mempunyai nilai baki kad RM5 untuk urusan pendaftaran.

Prasarana berkata bayaran RM5 akan dikenakan untuk pendaftaran pembelian kali pertama dengan tambahan RM5 sebagai harga kad berkenaan, menjadikan jumlah keseluruhan pembelian kali pertama adalah RM40, dan selepas itu pengguna hanya berbelanja RM30 untuk pembelian semula.

Untuk maklumat lanjut mengenai kedua-dua pas ini, pengguna boleh melawat kiosk perkhidmatan Rapid Penang di hab bas Weld Quay dan hab bas Rapid Kuantan di bandar Kuantan mulai 20 Dis ini.

Pas perjalanan tanpa had My30, digunakan dengan meluas oleh para pengguna perkhidmatan Rapid KL di Lembah Klang dan Selangor.

Sumber: BERNAMA

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, My50 yang terbuka eksklusif untuk warga…