PDRM - 21 hari, 295,003 saman dikeluarkan, 167,927 saman memandu melebihi had laju!

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Sebanyak 295,003 saman dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh 21 hari bermula 11 Oktober hingga Ahad lalu susulan kebenaran rentas negeri diberikan kerajaan.


Jumlah keseluruhan saman itu adalah hasil pemantauan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik (JSPT) di seluruh negara termasuk jalan persekutuan dan lebuh raya.

 

Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, kesalahan tertinggi direkodkan adalah lari deras atau memandu melebihi had laju iaitu sebanyak 167,927 saman.

 

Katanya, kesalahan kedua tertinggi adalah melibatkan melanggar tanda trafik iaitu kira-kira 36,440 saman dalam tempoh tersebut.

 

“Daripada 11 hingga 31 Oktober lalu, kita turut mengeluarkan saman terhadap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan dengan memandu atau membonceng dengan lesen yang tamat tempoh selain tidak mempunyai lesen iaitu sebanyak 30,754 saman.

 

“Bagi kesalahan lain adalah saman nombor plat kenderaan (11,851), tidak memakai tali pinggang keledar (6,541) dan melanggar lampu isyarat (4,192) saman,” katanya ketika dihubungi.

 

gambar hiasan

 

Dalam pada itu, menurut Mat Kasim, sebanyak 3,765 saman dikenakan kepada penunggang motosikal yang didapati tidak memakai topi kaledar selain 2,733 lagi terhadap pengguna jalan raya dikesan menggunakan alat komunikasi semasa memandu.

 

Ujar beliau, kompaun lain turut dikenakan adalah membawa muatan melebihi had (823); memandu pada garisan berkembar (645); potong Q (571) dan memandu di lorong kecemasan (411).

 

“Selain itu, bagi kesalahan lain-lain seperti terbabas sendiri, berhenti di kawasan larangan atau sebagainya sebanyak 28,350 saman dikeluarkan. Berdasarkan pemeriksaan, kita dapati jumlah saman yang dikeluarkan dalam tempoh itu adalah meningkat berbanding tempoh sama pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, tahun lalu.

 

“Ini kerana peningkatan aliran trafik kenderaan di jalan raya susulan kebenaran rentas negeri yang diberikan selain kebanyakan orang ramai yang mula beraktiviti seperti biasa,” ujarnya.

 

Mat Kassim berkata, Selangor mencatatkan negeri tertinggi jumlah saman dikeluarkan iaitu kira-kira 61,973 saman diikuti dengan Johor (29,826) serta Kuala Lumpur dengan 27,881 dan Pulau Pinang (27,365).

 

Jelasnya, Perak dan Pahang turut merekodkan jumlah saman di bawah 30 ribu iaitu 25,012 dan 23,180 saman dikeluarkan.

 

“Kita menyeru pengguna jalan raya merancang perjalanan agar tidak berlakunya perkara tidak diingini selain memandu dalam keadaan selamat serta mematuhi undang-undang yang ditetapkan,” katanya.

 

 

– UTUSAN ONLINE

Berita Berkenaan

Berita Global
  Insiden membabitkan basikal mengakibatkan banyak kemalangan jalan raya di Tokyo sejak beberapa…
Informasi
  Menurut Rashidi tawaran ini diberikan demi menghargai penduduk yang mungkin berdepan kekangan…
Berita Domestik
  Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, sepanjang tempoh itu…