PDRM - Sindiket guna alat penjejak curi kenderaan pacuan empat roda bawa masuk ke Thailand

oleh Penyumbang Rencana|
Modus operandi sindiket curi kenderaan yang menyasarkan kenderaan pacuan empat roda di Lembah Klang dengan memasang alat penjejak pada kenderaan yang disasarkan sebelum mencurinya.

Sindiket didalangi individu dikenali 'Ah Ho' itu aktif menjalankan kegiatan terbabit sejak enam bulan lalu dan menerima upah RM20,000 bagi setiap kenderaan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya berjaya menumpaskan sindiket berkenaan selepas menahan dua lelaki berusia 40 dan 35 tahun di Subang Jaya dan Ampang.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

"Suspek ditahan pada 27 Disember lalu susulan laporan seorang pengadu yang mendakwa kehilangan Toyota Hilux di Jalan Selisih, Jinjang pada 4 Okt lalu.

"Setiap kenderaan yang dicuri akan dibawa masuk ke negara jiran dengan dalang utama, Ah Ho disyaki menerima pesanan daripada seorang lelaki di Thailand," katanya pada sidang media pada Khamis.

Beliau berkata, sindiket itu menyeludup kenderaan berkenaan dengan meletakkannya di tepi jalan, sebelum ia diambil individu lain yang dipercayai diupah lelaki Thailand untuk dibawa ke negara terbabit.

Ahmad Sukarno berkata, setakat ini, suspek mengaku terbabit dengan enam kes curi pacuan empat roda iaitu empat di Kuala Lumpur dan dua lagi di Selangor.

"Hasil penahanan suspek, polis merampas dua kenderaan (yang dipercayai kereta hasil curi dan kereta sewa), 26 keping nombor plat dan lapan keping cukai jalan serta peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk curi kenderaan.

"Suspek juga mempunyai nombor plat milik pacuan empat roda lain untuk ditampal di kenderaan yang dicuri bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

curi

Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Sukarno berkata, polis turut menahan lelaki yang bekerja sebagai tukang masak berusia 36 tahun ketika sedang mencuri barang dalam kenderaan yang diparkir di tepi jalan di sekitar Sentul pada Sabtu.

Katanya, susulan itu, pihaknay merampas tujuh kad TouchnGo, sebuah telefon bimbit, pam angin dan wang tunai.

"Dia mencuri barang dalam kenderaan itu ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di kawasan berhampiran dan suspek mengaku terbabit dengan kes di Sentul.

"Suspek direman selama empat hari serta dalam proses untuk sambung reman suspek," katanya.

 

Harian Metro