Pelajar ditemukan maut dalam Myvi terhidu gas karbon monoksida

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari PDRM
Seorang pelajar Politeknik Kota Bharu di Tumpat ditemukan maut dalam sebuah kereta manakala rakannya dikejarkan ke hospital akibat terhidu gas karbon monoksida.

Pelajar Diploma Pengajian Perniagaan, Fatin Ieram Bariah Muhamad Sobri, 20, dan rakannya Wan Muhamad Haris Aiman Muhamad, 20, ditemukan pekerja sebuah stesen minyak di bandar Kota Bharu selepas mendapati kereta berkenaan diparkir beberapa jam di situ.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ibunya, Rohana Ismail, 41, memberitahu, menerima panggilan telefon mengenai kejadian itu pada jam 10.45 malam dan terus memaklumkan kepada suaminya yang kemudian bergegas ke lokasi itu.

Menurut Rohana, anaknya yang mesra dengan panggilan Ieram ditemani Wan Muhamad Haris Aiman yang merupakan rakannya sejak sekolah dan turut belajar di politeknik.

"Saya dimaklumkan mereka dalam perjalanan ke kedai kakak Wan Muhamad Haris Aiman di bandar untuk membungkus barangan jualan dalam talian kakaknya itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kajang Sebidang pada Isnin.

Jelasnya, Ieram tinggal di rumah sewa berdekatan politeknik dan akan pulang setiap Khamis dengan memandu kenderaan sendiri.

Rohana memberitahu, kali terakhir bertemu anaknya pada jam 6.45 pagi Ahad ketika mahu bertolak ke politeknik.

"Kali terakhir kami berbual melalui grup WhatsApp pada jam 6.17 petang hari sama mengenai warna tema baju hari raya tahun depan dan arwah bersetuju dengan warna merah bata," katanya lagi.

Rohana juga memaklumkan, anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan sepanjang pertemuan di kediaman mereka malah menunjukkan keceriaan seperti biasa.

"Dia bersalam, memeluk dan mencium saya. Itu merupakan perkara biasa yang dilakukan setiap kali mahu keluar.

Jelasnya lagi, sebagai anak sulung, Ieram bukan sahaja sebagai seorang kakak yang penyayang terhadap adik-beradik malah sangat ringan tulang dan gemar mengemas rumah.

"Kami sekeluarga memang tidak menyangka dia 'pergi' dalam sekelip mata dan tiada sebarang petanda," katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kajang Sebidang kira-kira jam 2 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 10.17 malam.

Menurut beliau, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati mangsa yang kedua-duanya berusia 20 tahun tidak sedarkan diri dalam kereta Perodua Myvi.

"Mangsa wanita yang ditemui meninggal dunia dihantar ke Unit Forensik, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mengejut dan tiada unsur jenayah ke atas mangsa serta disahkan terhidu karbon monoksida," katanya.

Tambah beliau, polis juga mengingatkan supaya orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan menghormati privasi keluarga mangsa.

Beliau memberitahu, turut menerima maklumat daripada pihak hospital bahawa Wan Muhamad Haris Aiman kini dalam keadaan stabil.

 

SInar Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Kamarulzaman Harun, berkata empat…
Berita Domestik
Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki itu yang berada di pam nombor dua sedang membetulkan…
Berita Domestik
Kejadian tersebut tular di Facebook selepas mangsa memohon bantuan orang ramai menjejaki kereta…