Pelaksanaan e-Invois - Bank, pengedar dijangka perkenal pakej pinjaman kereta lebih baik

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Institusi kewangan dan pengedar kenderaan dijangka tampil dengan tawaran lebih baik untuk mengimbangi pelaksanaan e-Invois mulai bulan depan, yang akan memberikan situasi 'menang-menang' kepada semua pihak.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Mohd Shamsor Mohd Zain, berkata persatuan itu percaya tidak wujud impak besar ke atas jumlah keseluruhan industri (TIV) atau jualan kenderaan meskipun e-Invois dikatakan menjejaskan tawaran pinjaman penuh yang ditawarkan kepada pelanggan.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

"MAA berpendapat tiada kesan besar disebabkan pelaksanaan e-Invois. Kami percaya pengedar dan bank akan menawarkan pakej lebih baik untuk mengimbangi tawaran tanpa pinjaman penuh.

"Kebiasannya, pinjaman penuh ditawarkan kepada kakitangan kerajaan meskipun ia tidak termaktub dalam peraturan Bank Negara Malaysia (BNM).

"Justeru, dengan pelaksanaan e-Invois, sudah pasti pengedar dan bank akan mengemukakan tawaran lain," katanya pada taklimat media prestasi sektor automotif separuh pertama dan sidang media Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (KLIMS'24) pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Shamsor berkata MAA melihat pelaksanaan e-Invois dapat meningkatkan kecekapan operasi pengeluar kenderaan.

"Sebenarnya tiada isu dengan pinjaman penuh dan bayaran pendahuluan sebab ia adalah peraturan yang ditetapkan BNM. Justeru, kita tidak melihat impak besar kepada jualan kenderaan," katanya.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, semalam menegaskan beliau tidak melihat impak ke atas jumlah keseluruhan industri (TIV) atau jualan kenderaan tahun ini berikutan pelaksanaan e-Invois secara berperingkat mulai Ogos.

Katanya, pelaksanaan e-Invois hanya membabitkan syarikat dengan jumlah jualan tahunan melebihi RM100 juta, di mana syarikat pengedar kenderaan tidak akan terjejas dengan mekanisme baharu invois berkenaan.

foto hiasan

Akhir Jun lalu, kerajaan mengumumkan akan melaksanakan penggunaan e-Invois secara berperingkat berdasarkan nilai ambang hasil jualan perniagaan mulai bulan depan.

Fasa pertama pelaksanaannya akan membabitkan syarikat besar dengan perolehan jualan tahunan melebihi RM100 juta.

Ia diikuti pelaksanaan fasa kedua, membabitkan syarikat dengan perolehan tahunan sebanyak RM25 juta hingga RM100 juta mulai Januari 2025.

Semua perniagaan, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan diwajibkan untuk mengeluarkan e-Invois, mulai 1 Julai 2025.

Baru-baru ini, ada dakwaan mengatakan kerajaan akan menggunakan sistem e-Invois dalam sistem jualan kenderaan bermula Ogos ini, yang sekali gus menghapuskan amalan pinjaman penuh pembelian kereta.

Susulan itu, pembeli perlu membayar sekurang-kurangnya 10 peratus wang pendahuluan.

Difahamkan, amalan pinjaman penuh digunakan sesetengah pengedar dengan meletakkan jumlah termasuk pakej lain atau aksesori tambahan dalam invois supaya jumlah pinjaman sepadan dengan harga kereta sebelum permohonan pinjaman dikemukakan kepada bank.

Sebagai contoh, harga atas jalan termasuk insurans kereta A adalah RM50,000 di mana mengikut peraturan sebenar, jumlah pinjaman yang diluluskan bank adalah RM45,000 (90 peratus), manakala baki RM5,000 adalah deposit 10 peratus yang perlu dibayar pembeli.

Disebabkan pembeli tiada kemampuan menyediakan pembayaran deposit 10 peratus, mereka tiada pilihan untuk bersetuju mendapatkan 'pinjaman penuh' dengan pengedar menambah beberapa aksesori dan pakej untuk melengkapkan harga atas jalan kereta A iaitu RM50,000 atau dalam situasi lain permohonan pinjaman lebih tinggi berbanding harga kereta yang mana pengedar boleh menawarkan 'pulangan tunai' kepada pelanggan.

Sementara itu, ditanya jangkaan pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95, Mohd Shamsor menjelaskan bahawa ahli MAA akan meletakkan strategi tertentu termasuk memperkenal tren kuasa hibrid dan kenderaan cekap tenaga.

"Walaupun tiada ketetapan tempoh penyasaran subsidi RON95 akan dilaksanakan, kita akan memberi tumpuan kepada pengenalan tren kuasa cekap tenaga.

"Perkara sama juga dilakukan (tumpuan kenderaan cekap tenaga) berikutan tiada lagi subsidi diesel," katanya.

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
“Langkah ini bertujuan untuk menyelaras dan meningkatkan sistem percukaian negara serta…