Ini adalah berdasarkan satu teaser yang disiarkan di laman web rasmi Toyota, di mana pengeluar tersebut turut mengadakan peraduan untuk memilih 32 orang bagi menjadi pihak pertama merasai sendiri pemanduan di dalam model baharu tersebut.
Tidak banyak informasi didedahkan buat masa ini, namun sedan Mirai tersebut bakal menampilkan konfigurasi pacuan roda belakang (RWD), serta garis badan yang lebih seksi berbanding generasi terdahulu - macam Prius!
Bukan sekadar itu, sedan generasi kedua Mirai itu juga kini memiliki dimensi yang lebih panjang, lebih rendah, dan lebih lebar menjadikan ia sebuah sedan dengan proporsi yang nampak konvensional, dan jauh lebih sporti.
Sementara ruang dalaman pula menampilkan rekaan papan pemuka dengan kehadiran skrin paparan digital 8 inci diikuti dengan skrin infotainmen 12.3 inci di bahagian tengah.
Namun, rekaan skrin bersambung pada bahagian tersebut memberikan ilusi ia dilengkapi dengan paparan yang jauh lebih lebar.
Ia juga dilengkapi dengan sistem audio 14 pembesar suara dari JBL, dan kualiti bahan yang menyamai apa yang terdapat pada model-model Lexus masa kini.
Jika Toyota Mirai generasi pertama mempunyai jarak operasi sejauh 502 km, Toyota telah meningkatkan jarak tersebut kepada 653 kilometer untuk setangki hidrogen penuh.
Disebabkan infrastruktur yang mampu menyokong penggunaan trenkuasa sel bahan api ini masih lagi terhad, Toyota Mirai ini hanya akan dipasarkan di beberapa lokasi terpilih sahaja buat masa ini, seperti Amerika Syarikat dan Hawaii.