Menurut laporan Harian Metro, pelancong yang bernama Patrick Ward, 45, maut selepas terjatuh kira-kira 10 meter di landasan kereta api maut di Gua Krasae di daerah Sai Yok dalam kejadian jam 11.50 pagi itu.
Kejadian berkenaan dirakam seorang pelancong di kawasan itu dengan mangsa dilihat jatuh terlentang keluar dari kereta api berkenaan.
Penyelamat terpaksa menggunakan sistem takal sementara untuk menarik mayat keluar dari kawasan itu.
Polis berkata, mangsa hampir tidak bernafas dan mengalami kecederaan patah lengan serta leher.
Pasukan penyelamat juga cuba menyelamatkannya selama kira-kira setengah jam tetapi usaha mereka sia-sia.

Kolonel Phuchong Narong-in, berkata pelancong itu datang dengan sekumpulan yang diketuai oleh pemandu dari jambatan Sungai Kwai dan mangsa menaiki kereta api yang dikenali sebagai Kereta Api Thai-Burma itu.
Dia dilaporkan membuka pintu dan cuba mengambil swafoto untuk menunjukkan pemandangan di luar namun tergelincir di pintu tangga.
Pengangkutan itu yang menghubungkan Thailand dan Burma dibina dari 1940 hingga 1943 oleh buruh awam dan tawanan perang Jepun untuk membekalkan tentera dan senjata kepada Jepun di Burma dalam Perang Dunia Kedua.
Sumber: Harian Metro