Ini menunjukkan bahawa sebahagian besar pemandu sama ada tidak mempunyai insurans atau memilih untuk tidak membuat tuntutan, mungkin untuk mengekalkan diskaun tanpa tuntutan (No-Claim Discount, NCD).
Mungkin juga tuntutan dilakukan melalui insurans pihak ketiga (third party claim) dan tidak direkodkan oleh VTAREC.
Kebetulan pula dalam tahun yang sama, JPJ memperkenalkan sistem cukai jalan digital dan tidak lagi mewajibkan penampalan pelekat seperti dahulu.
Pada pendapat saya, ada kemungkinan banyak kenderaan yang tidak mempunyai insurans kerana pemilik terlupa untuk memeriksa tarikh luput cukai jalan dan insurans kerana tidak ada pelekat yang lebih mudah dilihat secara fizikal.
Saya sendiri pernah terlupa kerana culas untuk membuka aplikasi MyJPJ untuk memeriksa tarikh tamat cukai jalan dan insurans, dan sekarang ini saya gunakan peringatan kalendar dalam telefon pintar untuk mengingatkan saya.
Agen insurans saya juga aktif mengingatkan saya sebulan lebih awal untuk memperbaharui cukai jalan kenderaan-kenderaan yang bakal tamat.
Saya faham usaha Kementerian Pengangkutan untuk berusaha ke arah digital sepenuhnya dan saya juga nampak usaha pihak kementerian untuk memberikan projek-projek kepada syarikat-syarikat baharu yang lebih berteraskan teknologi tinggi.
Namun begitu, cukai jalan secara fizikal memudahkan untuk pemilik dan juga penguatkuasa dan orang awam mengecam kenderaan-kenderaan yang tidak ada dokumen asli atau yang telah ditinggalkan.
Pemeriksaan cukai jalan semasa sekatan jalanraya (SJR) juga lebih mudah dan pantas dilakukan dari terpaksa berhenti dan terkial-kial membuka aplikasi. SJR juga perlu dilakukan di kawasan yang mempunyai sambungan internet yang stabil demi untuk mengakses informasi tersebut.
Negara-negara maju sendiri masih menggunakan cara fizikal untuk menunjukan cukai jalan kenderaan itu, termasuk lokasi pendaftaran kenderaan tersebut.
Paling penting, ia menunjukan kenderaan itu mempunyai insurans agar semua pengguna jalanraya mempunyai perlindungan.
Apa yang diminta oleh pengguna dahulu ialah pelekat cukai jalan yang lebih baik, bukannya versi digital.
Ini sama juga seperti kad lesen memandu fizikal kerana ia boleh digunakan sebagai identiti fizikal pemegangnya.
Kekalutan rakyat Malaysia yang memohon kad fizikal tersebut kerana keperluan di luar negara membuktikan bahawa pihak kementerian masih tidak memikirkan kesejahteraan pengguna dan enggan mendengar keluhan mereka.
Kad fizikal yang baharu juga mengalami masalah yang sama - ia perlu dimohon untuk medapatkannya. Kenapa lesen itu tidak disekalikan terus dengan MyKad, atau mungkin sesiapa yang mempunyai lesen memandu fizikal tidak lagi perlu membawa MyKad (seperti di US dan beberapa negara lain).
Sayang sekali kerana usaha-usaha oleh Menteri ini memang jauh lebih baik dan lebih pro-aktif dari yang dahulu tetapi sayangnya, beliau mungkin gagal untuk memahami keperluan sebenar rakyat.
Paling menyedihkan ialah bila usaha ini gagal untuk menaikkan nama beliau selagi tidak ada usaha yang lebih keras dan lebih visual untuk menangani kes-kes kemalangan kenderaan berat akibat perangai segelintir dari mereka yang masih memandu laju atau memandu kenderaan yang sub-standard.
"There is no amount of digitalisation that can help to make the road users feel safer on the road."
Wallahuallam.