Pemandu BMW geser kereta Tunku Idris disaman RM300

oleh SALINA JALIL|
Pemandu kereta bernombor pendaftaran Singapura yang dikenal pasti menggeser kereta milik Tunku Temenggong Johor (TTJ), Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim di Jalan Serampang, Taman Pelangi, 1 Ogos lalu, disaman RM300.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki berusia 62 tahun itu dipanggil hadir ke Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS untuk diserahkan saman Pol 257, hari ini (Ahad).


"Dia yang disaman mengikut Rule 10 LN 166/59 itu kemudian menjelaskan saman sebanyak RM300 pada 1.45 petang.

 

"Saman dikeluarkan di bawah Rule 10 LN 166/59 iaitu kesalahan lalai mengawal pergerakan kenderaan dengan baik yang mana saman boleh dikenakan maksimum RM300," katanya ketika dihubungi, hari ini.

 

Pada 1 Ogos lalu, Tunku Idris berkongsi insiden kereta Honda miliknya digeser sebuah BMW ketika diletakkan di hadapan sebuah kedai roti.

 

Melalui hantaran di Instagram, Tunku Idris turut berkongsi gambar bahagian keretanya yang calar dan gambar kereta yang melanggarnya, selain rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan insiden itu.

 

Daripada rakaman CCTV yang dikongsi, kejadian berlaku pada jam 2.17 petang ketika pemandu BMW bernombor pendaftaran Singapura itu hendak ke ruang tempat letak kereta yang kosong.

 

Video berdurasi 60 saat menunjukkan pemandu lelaki keluar daripada BMW dan berlalu pergi melewati kenderaan Tunku Idris tanpa melihat sekiranya berlaku kerosakan atau tidak.

 

Difahamkan, kereta dipandu Tunku Idris adalah kereta elektrik buatan Honda iaitu Honda e, yang menggunakan 100 peratus elektrik dan tidak mempunyai enjin.

 

 

Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki berusia…
Berita Domestik
  Daripada rakaman CCTV yang dikongsi, kejadian berlaku pada jam 2.17 petang ketika pemandu BMW…