Pemandu Grab Malaysia memandu 200km untuk kembalikan dompet warga Singapura

oleh SALINA JALIL|
Pemandu Grab Malaysia, Sateesh Karuppusamy telah memandu kira-kira 200 kilometer untuk memulangkan dompet yang tertinggal di dalam kereta e-hailing beliau.


Dalam perkongsian di laman Facebook JB Tracer, Carney Mak, penumpang tersebut berkata beliau telah menggunakan perkhidmatan Grab di Johor Baharu sekitar pukul 9 malam pada hari Sabtu (4 Jan) apabila beliau tersalah letak dompetnya.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Keadaan bertambah buruk apabila Carney hanya menyedari bahawa dompetnya hilang ketika beliau ingin membuat pembayaran makan malam.


"Saya terus membuat laporan pada aplikasi Grab semasa menuju ke Singapura. Tidak lama selepas tiba di Singapura, saya menerima panggilan dari pemandu Grab tersebut yang memaklumkan kepada saya bahawa dia akan memeriksa kereta dan mengemaskinikan saya melalui WhatsApp."


Mereka bersetuju untuk bertemu di stesen minyak JB Sentral Caltex.


Carney telah bertemu dengan Sateesh dan dimaklumkan bahawa Sateesh telah memandu dari Melaka untuk kembalikan dompet Carney.

 

"Saya kagum kerana semuanya masih dalam keadaan asal, kesemua barang termasuk wang tunai serta kad kredit dan lain-lain tidak hilang.


"Saya rasa saya perlu berkongsi pengalaman saya ini sebagai tanda terima kasih kepada Sateesh Karuppusamy," katanya.


Sebagai penghargaan di atas kejujuran Sateesh, Carney telah menjemput Sateesh serta keluarganya untuk bercuti selama satu minggu di Singapura di mana semua perbelanjaan akan ditanggung oleh Carney. Percutian tersebut telah dirancang pada Tahun Baru Cina akan datang ini.


Bercakap kepada agensi berita China Press, Carney berkata Sateesh telah mengambil pelanggan lain selepas menghantar beliau.


"Tetapi tidak ada seorang pun yang melihat dompet saya dan mengambilnya, sebab itu saya rasa sangat bertuah, "katanya lagi.

 

 

Sumber: Today Online