Pemandu lori didakwa sebabkan kematian tiga anggota tentera

oleh Penyumbang Rencana|
Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di Gurun, pada Khamis atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian tiga anggota tentera pada 2 Februari lalu.

Tertuduh, Muhammad Huzaifah Azhari, 31 tahun, membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Anis Suraya Ahmad.

Menikut pertuduhan, Muhammad Huzaifah didakwa memandu lori terbabit dalam keadaan berbahaya di Kilometer 77.5 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara daerah Kuala Muda sehingga menyebabkan kematian Lans Koperal Mohd Hafiz Haris, 30 tahun, Sarjan Rozali Abdull Rani, 39 tahun, dan Koperal Mohd Asri Idris, 40 tahun, kira-kira jam 10.30 pagi 2 Febuari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun, dan didenda minimum RM5,000 atau maksimum RM20,000.

Timbalan Pendakwa Raya Natasha Azmi mengemukakan jaminan sebanyak RM30,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YGBK), Ummi Kalthum Zakaria yang mewakili tertuduh merayu jaminan minimum diberikan dengan alasan anak guamnya menanggung seorang isteri serta dua anak yang masih kecil.

Anis Suraya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta lesen memandunya digantung.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Mac depan sebagai sebutan semula kes.

Sebelum ini pihak media melaporkan, tiga anggota tentera maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk tiga lori tentera dan sebuah lori Isuzu di Kilometer 77.5, Lebuhraya Utara Selatan arah utara 2 Februari lalu.

Dalam kejadian itu, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

Ketiga-tiga anggota berkenaan dari Pasukan 3 Rejimen Sempadan (RS) yang berpengkalan di Kem Pengkalan Hulu, Perak sedang dalam konvoi membabitkan tiga buah trak menuju ke Markas 30 Briged, Kem Bukit Cowder, Kangar Perlis untuk mengambil anggota yang menjalani Eksesais Satria Gagah.

- 'murahnya' nilai nyawa manusia...-

 

Astro Awani

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Norena Jaafar,…
Berita Domestik
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh cuba menyebabkan kematian ke atas seorang anggota polis…
Berita Domestik
Tertuduh, Muhammad Firdaus Shariman, 33, dan Siti Salasiah Jumaah, 25 membuat pengakuan bersalah…