Pemandu lori maut dilanggar motosikal ketika periksa tayar bocor

oleh SALINA JALIL|
Seorang pemandu lori maut dilanggar sebuah motosikal semasa memeriksa keadaan tayar yang bocor di Kilometer 21.8 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, dekat Kulai petang semalam (Sabtu).


Pemandu lori berusia 39 tahun itu cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, anggota trafik dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima laporan kejadian pada 1.10 petang.

 

“Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila lori dipandu mangsa telah mengalami kerosakan, iaitu tayar bocor. 

 

“Mangsa kemudian memberhentikan lori di lorong kecemasan untuk turun melihat keadaan tayar lori sebelum dilanggar motosikal Honda C100 dari arah belakang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (Ahad)

 

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini untuk bedah siasat.

 

Penunggang motosikal itu turut mengalami cedera parah pada bahagian badan dan kepala turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

 

“Kenderaan terlibat akan dibawa ke Pejabat Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn. Bhd. (Puspakom) untuk pemeriksaan,” katanya.

 

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

 

– UTUSAN