Pemandu Proton Iswara langgar kereta peronda polis diburu

oleh SALINA JALIL|
Polis sedang memburu pemandu kereta yang merempuh sebuah kenderaan peronda polis (MPV) ketika ditahan untuk pemeriksaan di Jalan PJS 7/9, Bandar Sunway, malam Sabtu.


Dalam kejadian kira-kira jam 7.25 malam itu, anggota MPV terbabit sedang melakukan rondaan sebelum terserempak sebuah Proton Iswara Aeroback dipandu seorang lelaki tempatan dalam keadaan mencurigakan.

MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Kereta itu diarah berhenti dan ketika anggota MPV cuba membuat pemeriksaan, kenderaan itu tiba-tiba mengundur secara laju dan merempuh kenderaan polis sebelum memecut dari lokasi.

 

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman, berkata pasukan MPV mengejar kenderaan suspek dan berjaya disekat di susur keluar ke Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

 

"Bagaimanapun, suspek sekali lagi mengundurkan kenderaannya sehingga melanggar kenderaan MPV untuk kali kedua.

 

"Pelanggaran kali ini menyebabkan kenderaan MPV rosak teruk di bahagian hadapan dan tidak dapat bergerak, dan suspek berjaya meloloskan diri dengan kenderaannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

 

Katanya, anggota yang terbabit dalam kejadian itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

 

"Sejurus kejadian itu, hebahan dibuat untuk menggerakkan semua elemen yang berada di lapangan untuk mengesan dan menangkap suspek. Sehingga kini suspek dan kenderaannya belum ditemui.

 

"Siasatan awal mendapati kenderaan yang digunakan suspek pernah dilaporkan hilang pada 21 Jun lalu di Batu 9, Cheras," katanya.

 

Abd Khalid berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cubaan membunuh) dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam).

 

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan (mengingkari perintah oleh penjawat awam) dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (memandu secara melulu).

 

Pihak polis memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini atau kenderaan yang digunakan untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-56210343.

 

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau berkata, berikutan itu anggota peronda MPV Gerik kemudian melancarkan "Op Kesan" di kawasan…
Berita Domestik
Malah, pemeriksaan turut menemukan sebilah pisau, gunting, set sarung tangan, topi keledar, kad…
Berita Global
Menariknya, walaupun ia hadir dalam versi prototaip, MPV Mustang Mach-E itu sudah pun mendapat…