Dalam kejadian kira-kira jam 2.55 pagi itu, enam individu terlibat dalam kemalangan berkenaan seorang daripadanya dilaporkan cedera parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), manakala lima lagi mengalami kecederaan ringan.
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Proton Satria yang dipandu dari arah Senawang ke Ampangan cuba mengelak sebuah kenderaan lain yang membrek secara mengejut.
“Pemandu Satria hilang kawalan sebelum melanggar tiang lampu dan pokok di tepi jalan, kemudian terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah Perodua Axia yang dinaiki lima orang termasuk pemandu,” katanya ketika dihubungi media.
Pemandu Satria hanya mengalami kecederaan ringan namun seorang penumpang Axia mengalami kecederaan parah. Mangsa kini dirawat rapi manakala empat lagi penumpang menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Tambah Mohamad Hatta, remaja terbabit hadir ke balai polis untuk membuat laporan sebelum ditahan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Insiden itu turut tular di media sosial selepas rakaman video orang awam membantu mangsa tersebar, mengundang simpati ramai terhadap keluarga penumpang Axia yang tidak bersalah.
Sumber: KOSMO! & Utusan