Pemandu rentung, enam terselamat bas ekspres terbakar

oleh Hamimah Hamid|
SEORANG pemandu bas ekspres rentung setelah bas yang dipandu terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 75.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Gurun awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu turut menyebabkan dua penumpang cedera ringan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Fauzi Razali berkata, pemandu bas ekspres berumur anggaran 42 tahun terbabit maut akibat tersepit di tempat duduk pemandu dan rentung terbakar.

 

"Seorang lelaki berumur anggaran 30 tahun dan perempuan berumur 29 tahun mengalami cedera ringan.

 

"Kejadian melibatkan tujuh mangsa termasuk pemandu bas yang maut, dua cedera ringan dan empat lagi lelaki termasuk pembantu pemandu bas dan pemandu lori berumur antara 19 hingga 57 tahun dilaporkan selamat," katanya.

 

Mohd Fauzi berkata, operasi melibatkan 18 anggota dan pegawai dari BBP Guar Chempedak, BBP Amanjaya dan BBP Pendang.

 

"Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 memaklumkan menerima panggilan kecemasan kebakaran bas.

 

"PGO Kedah kemudian mengarahkan jentera empat jentera termasuk kenderaan EMRS (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan) ke lokasi kejadian selain bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Gurun yang turut dikerah ke lokasi," katanya.