Pemandu warga British terbabas dan maut selepas larikan diri setelah langgar motosikal

oleh SALINA JALIL|
Lelaki warga British maut apabila pikap dipandunya terbabas di Jalan Lutong-Kuala Baram, ketika melarikan diri selepas melanggar seorang penunggang motosikal Lorong Mulia 2B, Tudan di Miri, malam semalam.


Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kejadian dilaporkan kira-kira jam 9 malam ketika mangsa berusia 38 tahun itu dalam perjalanan dari arah Senadin melalui Jalan Tudan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Katanya, apabila sampai di Lorong Mulia 2B, pikap dipandu mangsa termasuk ke laluan bersebelahan ketika mahu masuk ke satu simpang lalu melanggar seorang penunggang motosikal dari arah bertentangan.

 

Bagaimanapun katanya, penunggang motosikal terbabit, seorang lelaki berusia 54 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

 

"Mangsa kemudian terus memandu melarikan diri dan apabila sampai di Jalan Lutong-Kuala Baram, kenderaannya terbabas ke kiri jalan lalu melanggar tepi parit konkrit sebelum terbalik dan dan melanggar pagar sebuah premis," katanya dalam satu kenyataan semalam.

 

Alexson berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut.

 

Katanya, kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

 


Harian Metro