Pemandu Wira Aeroback langgar lari pegawai imigresen serah diri

oleh SALINA JALIL|
Pemandu Proton Wira Aeroback yang dipercayai terbabit dalam kejadian langgar lari hingga mengorbankan nyawa seorang pegawai Jabatan Imigresen di Kilometer 83.4 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara kelmarin, direman empat hari bermula hari ini (Selasa).


Perintah reman terhadap suspek yang juga lelaki warga Indonesia berusia 27 tahun itu dikeluarkan Majistret Nor Fazlina Musa selepas mendapat permohonan polis.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

 

Terdahulu, suspek yang bergari dilihat tiba di mahkamah pada 9 pagi dengan diiringi polis sebelum proses permohonan reman terhadapnya selesai kira-kira sejam kemudian.

 

Dalam kejadian 9.30 pagi kelmarin, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Muhammad Nizam Samsudin, 46, meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah kereta sehingga dia terbabas ke lorong kecemasan .

 

Susulan daripada itu, polis berjaya mengesan Proton Wira Aeroback bernombor pendaftaran TAC 5688 melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Plaza Tol Gurun.

 

Siasatan lanjut mendapati, pemandu kenderaan berwarna perak yang berjaya dirakam CCTV itu melarikan diri selepas terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan nyawa Muhammad Nizam.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, suspek ditahan polis selepas dia tampil menyerah diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada 6.30 petang semalam (Isnin).

 

Menurutnya, hasil siasatan awal suspek mendakwa dia terpaksa melarikan diri kerana bimbang dipukul selain tidak memiliki lesen memandu sah.

 

"Suspek yang takut selepas terbabit dalam kemalangan itu terus memecut kenderaan dipandunya dan pulang ke rumah di Pokok Sena.

 

"Semakan nombor pendaftaran kenderaan pula mendapati kereta dipandu suspek adalah milik abang iparnya yang berada di Kuala Lumpur," katanya ketika dihubungi.

 

Zaidy berkata, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

 

 

Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, suspek telah…
Berita Domestik
Menurutnya, kejadian bermula kira-kira jam 1 petang ketika kereta dipandu lelaki berusia 24 itu…
Berita Domestik
Mengikut kedua-dua pertuduhan, bapa tiga anak itu didakwa memandu sebuah kenderaan pacuan empat…