Pembeli Supra A91-CF Edition 2022 siap dapat kelas pemanduan percuma

oleh Mohamad Hanif|
Tahun lalu, Toyota telah mendatangkan kemaskini berbentuk peningkatan kuasa kepada kereta sports pacuan roda belakang Toyota Supra, di mana enjin asal 3.0 liter enam silinder sebaris itu kini mampu menjana 392 kuasa kuda.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Untuk tahun ini, khususnya di Amerika Syarikat (maaf peminat Supra di sini) Toyota menawarkan trim khas yang digelar sebagai A91-CF Edition dengan angka produksi dihadkan kepada 600 unit sahaja.

 


Antara perubahan yang dibawakan pada trim A91-CF ini adalah penampilan splitter hadapan, panel side rocker, sirip sisi dan belakang, dan spoiler belakang di mana kesemuanya diperbuat daripada bahan ringan gentian karbon.

Pembeli Supra A91-CF Edition ini juga boleh memilih warna pilihan yang merangkumi Absolute Zero White, Nitro Yellow atau Phantom Matte Grey, di mana kesemua warna ini digandingkan dengan kemasan rim matte-black bersaiz 19 inci.

 


Ruang kabin pula menampilkan kemasan warna hitam yang diselangi dengan trim alcantara dan kulit.

Sayang sekali, penawaran aksesori gentian karbon ini hanya dikhaskan untuk pembeli Supra 3.0 liter sahaja, di mana model Supra 2.0 liter tidak mendapat keistimewaan ini.

Selain daripada kemaskini berbentuk visual, Toyota juga turut membawakan sekali sistem suspensi Adaptive Variable Sport (AVS), diff belakang aktif, serta kit brek Brembo yang turut ditawarkan pada model tahun 2021.

 


Kesemua 600 orang pembeli Toyota Supra A91-CF Edition ini bakal ditawarkan dengan pakej latihan pemanduan percuma selama satu tahun di NASA (National Auto Sport Association) yang turut merangkumi kelas serta latihan di dalam litar.

Selain daripada trim A91-CF Edition, varian-varian Supra yang lain turut mendapat perubahan seperti opsyen dalaman merah untuk Supra 3.0 Premium, tempat duduk dengan pemanas terbina untuk Supra 3.0 liter asas, dan sambungan Apple CarPlay untuk model yang dilengkapi Premium Audio Package.

Harga jualan untuk Toyota Supra A91-CF Edition hanya akan diumumkan kelak.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Pemangku Ketua Polis Batu Pahat, Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata pemuda tempatan…
Berita Global
Program khas tersebut bakal bermula pada 15 Januari hingga 30 Jun tahun 2024, khusus untuk…
Berita Global
  Walaupun berasal dari Jepun, tidak semua kereta Toyota direka di sana. Seawal 1973 lagi Toyota…