Pembukaan MRT Jajaran Putrajaya Fasa Satu ditangguhkan

oleh Mohamad Hanif|
MRT Corp dalam satu sidang media mengesahkan pembukaan MRT Jajaran Putrajaya Fasa Satu akan ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang ditentukan kelak.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, ini adalah disebabkan jajaran tersebut masih lagi dalam proses operasi percubaan yang telah dijalankan sejak 29 April 2021.

“Sejumlah 16 tren telah diuji beroperasi di antara Stesen MRT Kwasa Damansara dan Stesen MRT Kampung Batu dalam keadaan perkhidmatan penuh setiap hari namun tidak melibatkan penumpang.

“Kita menjalankan operasi percubaan ini adalah mengikut jadual simulasi operasi sebenar yang ditetapkan,” katanya dalam sidang media khas mengenai perkembangan terkini projek MRT jajaran Putrajaya di Stesen MRT Pusat Bandar Damansara hari ini.

Mengikut jadual asal, MRT Jajaran Putrajaya Fasa Satu dijangka beroperasi bermula November 2021 ini.

Tambah beliau lagi, pemeriksaan terperinci akhir dan demonstrasi prestasi sistem telah dilaksanakan, namun kedua-dua aktiviti terbabit masih belum diselesaikan sepenuhnya.

“Setelah kami meneliti sendiri data-data yang diperolehi, kami mendapati bahawa antara beratus-ratus modul sistem yang telah dilaksanakan, dua modul perlu diperhalusi secara lebih mendalam lagi,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, pihak MRT Corp perlu memastikan semua lapisan sistem primer, sekunder dan ketiga adalah stabil dan kukuh sebelum mengambil alih aset tersebut dan meluluskannya untuk operasi secara rasminya.

“Kami sentiasa mengambil berat akan keselamatan penumpang, kakitangan operasi dan kru penyelenggaraan kami,” tegasnya.

Mohd Zarif juga meletakkan sasaran untuk pembukaan perkhidmatan jajaran Putrajaya menjelang suku kedua tahun 2022.

Dalam pada itu MRT juga memaklumkan progres pembinaan fasa satu MRT kini mencapai 99.9 peratus manakala fasa kedua siap 94.2 peratus dan keseluruhannya 95.3 peratus disiapkan dengan kos pembinaan berjumlah RM30.53 bilion.

Keseluruhannya jajaran Putrajaya melibatkan 36 stesen operasi MRT dengan sembilan daripadanya di bawah tanah melibatkan jarak sejauh 57.7 kilometer membabitkan 49 set tren.

Sumber: MalaysiaGazette