Pemilik bas dan van pekerja dikompaun RM22,000

oleh SALINA JALIL|
gambar ihsan dari IPD Johor Selatan
Akibat membenarkan pekerja menaiki kenderaan melebihi kapasiti dibenarkan, tiga lelaki berusia antara 55 hingga 70 tahun dikompaun keseluruhan RM22,000.


Dua pemilik bas dan van pekerja serta pemandu dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain, berkata dua kenderaan berkenaan iaitu van dan bas kilang ditahan menerusi sekatan jalan raya secara bergerak pada jam 8 malam di Taman Daya di sini.

 

Beliau berkata, sekatan jalan raya itu dilakukan oleh Inspektor Amir Haikal Kasim bersama sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Johor Bahru Selatan.

 

Katanya, hasil pemeriksaan, dua lelaki berusia antara 55 hingga 59 tahun iaitu pemilik yang juga pemandu van kilang serta pemandu bas pekerja kilang didapati gagal mematuhi SOP PKP yang ditetapkan.

 

"Sepatutnya semua pengangkutan awam hanya dibenarkan membawa 50 peratus jumlah penumpang daripada kapasiti penuh kenderaan.

 

"Sebaliknya, penumpang yang dibawa dalam kenderaan berkenaan melebihi 50 peratus dan tiada penjarakan fizikal," katanya.

 

Mohd Padzli berkata, pihak polis menghubungi majikan pemandu bas iaitu seorang lelaki berusia 70 tahun dan diminta tampil ke IPD Johor Bahru Selatan bagi siastan lanjut.

 

Katanya, hasil siasatan lanjut, lelaki terbabit mengaku sebagai pemilik bas pekerja kilang berkenaan.

 

Berikutan itu, katanya, ketiga-tiga lelaki berkenaan ditahan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Selatan bagi tindakan kompaun mengikut kesalahan peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

 

Beliau berkata, pemilik van dan pemilik bas pekerja kilang terbabit masing-masing dikompaun RM10,000 setiap seorang manakala pemandu bas pekerja kilang dikompaun RM2,000.

 

 

 

Berita Harian