Berikutan risiko kebakaran yang bakal menimpa sesetengah pemilik, Ferrari Amerika Utara membuat keputusan untuk memanggil kembali lebih 2,000 unit supercar seluruh Amerika Syarikat.
Kempen panggil semula itu dilakukan berikutan laporan yang dikeluarkan oleh National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA) yang mendedahkan komponen pemisah wap bahan api yang mungkin retak.
Kerosakan komponen ini memungkinkan gas-gas yang mudah terbakar terbocor keluar dan meningkatkan risiko kebakaran pada sesetengah model Ferrari.
Antara yang terjejas akibat komponen ini termasuklah:
- 488 GTB dan 488 Spider (MY 2018-2019)
- 812 Superfast (MY 2018-2019)
- GTC4Lusso (MY 2018-2019)
- GTC4Lusso T (MY 2018-2019)
- LaFerrari Aperta
*MY - tahun pembuatan
Ferrari telah menerima beberapa laporan daripada pemilik menerusi beberapa buah pengedar, dan masalah tersebut sudah pun diselesaikan di peringkat produksi lagi.
Namun, masih terdapat kira-kira 2,150 buah model Ferrari di seluruh Amerika yang perlu dipanggil semula dan dibaiki.
Proses penggantian komponen pemisah wap bahan api ini akan mula dilakukan menjelang bulan hadapan dan kos penggantian pula akan ditanggung oleh Ferrari.