PENAGIH LANGGAR POLIS TRAFIK HINGGA PARAH DIDAKWA

oleh Penyumbang Rencana 2|
SEORANG penagih dadah didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan menunggang di bawah pengaruh dadah dan menyebabkan anggota polis trafik cedera parah Selasa lalu.

Tertuduh, Nor Azman Mat Saleh, 35, bagaimana pun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Umzarul An-Nur Umar
AION MREC Banner Campaign May 2024

Mengikut pertuduhan, Nor Azman didakwa menunggang motosikal di bawah pengaruh dadah dan melanggar Koperal Mohd Aizal Md Lazim yang bertugas pada sekatan jalan raya (SJR) hingga cedera parah.

Tertuduh didakwa cuba meloloskan diri dari sekatan jalan raya di Jalan Silibin pada pukul 11.15 pagi 24 November lalu.

ketika kejadian pesalah melanggar pegawai trafik di sekatan jalan raya di ipoh

Koperal Mohd. Aizal yang dilanggar dari arah belakang melambung sebelum terjatuh dan diseret sejauh kira-kira lima meter hingga 
mengalami kecederaan di kepala, muka, tangan dan badan.

Nor Azman juga dilaporkan mempunyai beberapa kesalahan berkaitan dadah dan telah disabitkan dengan kesalahan mencuri.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 44 (1A) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum  RM50,000 dan penjara sehingga tidak lebih 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan lesen memandu tertuduh turut digantung sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula 14 Januari depan.

 

Artikel oleh Hamimah Hamid dan Mohd UmzarulFaiz Umar