Penangguhan tarikh pelaksanaan biodiesel B20 di Sabah dan Sarawak

oleh SALINA JALIL|
Kerajaan bersetuju untuk menangguhkan tempoh pelaksanaan program Biodiesel B20 di Sabah dan Sarawak selepas mengambil kira kesan penularan wabak COVID-19 yang menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata PKP memberi pelbagai kekangan dan cabaran khususnya untuk melaksanakan projek naik taraf 35 depoh adunan yang diperlukan bagi pembekalan adunan diesel B20.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Oleh itu katanya, kementerian mengadakan perbincangan dengan syarikat petroleum untuk membincangkan Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan terutama berkaitan cadangan tarikh baharu pelaksanaan bagi Sarawak, Sabah dan Semenanjung.

 

"Hasil daripada mesyuarat ini kerajaan bersetuju melanjutkan pelaksanaan program ini untuk Sarawak kepada 1 September ini daripada tarikh asal April lalu dan Sabah kepada 1 Januari 2021 daripada tarikh asal Ogos tahun ini.

 

"Bagi Semenanjung Malaysia pula, tarikhnya adalah kekal seperti biasa iaitu pada 15 Jun 2021. Kita yakin pelaksanaan program ini di Semenanjung mampu dicapai mengikut jadual yang ditetapkan dan tidak perlu dilanjutkan.

 

"Adalah diharapkan dengan tarikh baharu yang dipersetujui oleh semua pihak bagi meluaskan penggunaan B20 dengan mengambil isu semasa yang dihadapi dapat melonjakkan industri sawit negara ke tahap yang lebih baik pada masa akan datang," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama syarikat petroleum bagi membincangkan isu semasa dan pelan pelaksanaan bagi program biodiesel B20 sektor pengangkutan di sini, hari ini.

 

Kementerian sebelum ini melaksanakan Program Biodiesel B20 (adunan 20 peratus metil ester sawit dan 80 peratus diesel petroleum) di sektor pengangkutan secara berfasa pada Januari 2020 bermula dengan Langkawi pada 1 Januari 2020 dan di Labuan 15 Januari 2020.

 

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata pelaksanaan program biodisesel B20 adalah inisiatif kerajaan di bawah kementeriannya bagi menggalakkan penggunaan minyak sawit domestik.

 

Katanya, dianggarkan sebanyak 20 juta tan setahun penggunaan minyak sawit dapat ditingkatkan menerusi program berkenaan.

 

"Dengan mengambil kira pelaksanaan Program Biodiesel B20 sektor pengangkutan dan Program Biodiesel B7 untuk sektor industri sedia ada, dijangkakan kira-kira 1.3 juta tan minyak sawit setahun akan digunakan dalam negara.

 

"Ia juga dijangka mampu menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 3.8 juta tan CO2 setara setahun. Ini juga menunjukkan komitmen kerajaan terhadap pengurangan pelepasan GHG dan penjagaan alam sekitar," katanya.

 

 

 

 

BH

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Tak rosakkah kereta kalau bertukar secara tiba-tiba ke Biodiesel B20? Bagaimana pula kesan jangka…
Berita Domestik
Langkawi dan Labuan dipilih sebagai lokasi perintis untuk pelaksanaan program Biodiesel B20 diikuti…
Berita Domestik
  Pulau Labuan pula akan menjadi destinasi kedua program Biodiesel B20, yang juga akan beroperasi…