Penduduk California dilarang cas kenderaan EV akibat gelombang haba

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Penduduk California kelmarin diminta untuk tidak mengecas kereta elektrik mereka pada waktu puncak, beberapa hari selepas negeri berkenaan mengumumkan akan berhenti sepenuhnya menjual kereta berkuasa petrol menjelang 2035.
AION MREC Banner Campaign May 2024

 

Perkara itu berikutan grid elektrik semakin uzur dan tidak dapat menahan gelombang haba menakutkan yang melanda California.

 

Suhu setinggi 44 darjah Celsius diramal di beberapa kawasan pinggir bandar Los Angeles ketika gelombang haba ‘membakar’ bahagian barat Amerika Syarikat.

 

Cuaca terik memberikan tekanan ke atas grid kuasa yang beroperasi secara maksimum apabila orang ramai menghidupkan pendingin hawa ketika cuaca panas terik terutamanya selepas pulang dari tempat kerja serta sekolah.

 

“Pengguna diminta menjimatkan tenaga elektrik termasuk mematikan lampu yang tidak diperlukan,” kata syarikat pembekal yang mengendalikan grid elektrik California dalam satu kenyataan.

 

“Penduduk perlu mengelak daripada mengecas kenderaan elektrik pada waktu puncak antara pukul 4.00 petang hingga 9.00 malam,” tambah kenyataan sama.

 

Gesaan itu dibuat seminggu selepas pentadbiran California mengumumkan pengharaman penjualan kenderaan baharu berkuasa petrol dan diesel mulai 2035.

 

Rayuan untuk memulihara grid elektrik kelmarin bagaimanapun disambut dengan cemuhan di laman Twitter dengan sebilangan netizen berkata, pengumuman itu adalah bukti agenda hijau negeri California ‘separuh masak’.

 

“Kita sepatutnya memikirkan cara membaik pulih grid elektrik sebelum kita mengharamkan kereta petrol…. sekadar buah fikiran,”  kata netizen menggunakan nama  @AerysGG di laman Twitter.

 

Adalah biasa untuk selatan California mengalami gelombang haba pada bulan September, namun suhu lebih 38 darjah Celsius dianggap panas walaupun untuk tempat yang hampir sentiasa ‘dibakar’ pancaran matahari.

 

Gelombang haba itu berlaku selepas barat daya California dilanda hujan lebat sejak beberapa minggu lalu. Beberapa kawasan termasuk Lembah Kematian yang terkenal berdebu, mengalami banjir, manakala seorang maut selepas dihanyutkan di Taman Negara Zion di Utah.

 

 

Agensi